MB ‘tawar’ rasuah jika undi BN


Majlis Penjelasan Dasar Kerajaan Mengenai Pembangunan Semula Kampung Ladang dan Pangsapuri Ladang Gemilang di perkarangan Sekolah Kebangsaan Ladang, Kuala Terengganu bertukar menjadi majlis tawar-menawar ‘rasuah’ kepada rakyat.

Tawaran ‘rasuah’ kepada penduduk berkenaan dilakukan sendiri oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Haji Ahmad Said yang baru sahaja balik dari menunaikan ibadat haji di Mekah, baru-baru ini.

Beliau terpaksa berkata demikian untuk meredakan ‘kemarahan’ penduduk di Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang terutama di Kampung Ladang Mengabang dan Ladang Tok Pelam.

Ini kerana, kedua-dua buah kampung berkenaan kini terlibat dengan pengambilan balik tanah oleh kerajaan negeri bagi tujuan pembangunan dalam kawasan Bandaraya Kuala Terengganu.

Ahmad secara ‘janji politik’ tanpa hitam-putih bercakap dihadapan rakyat bahawa kerajaan tidak ada masalah untuk memberi sewa-beli bagi perumahan di Flat Ladang Gemilang kepada penduduk terbabit.

Sedangkan, pada Persidangan Dewan Udangan Negeri (Dun) Terengganu Penggal Kedua Belas yang baru selesai pada 23 hingga 25 Disember 2009, lalu kerajaan negeri belum bercadang ke arah itu.

Jawapan pihak kerajaan terutama Ahmad selaku Menteri Besar sendiri memberi jawapan kepada Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar bahawa Flat Ladang Gemilang itu kekal statusnya kediaman sementara dan sewa selama-lamanya.

Namun begitu, apabila berhadapan dengan kemarahan rakyat yang mahukan penjelasan kerajaan negeri pada malam 11 Januari 2010 lalu, lain pula ceritanya.

Bahkan, beliau sedia memberi subsidi politik kepada penduduk Ladang setanding harga sebuah kereta Proton Saga hari ini.

Rakyat kena fikir ‘umpan’ yang cuba dilemparkan oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu itu termasuk dalam ketegori ‘rasuah politik’ yang ditawarkan.

Sebabnya, secara jelas beliau berkata dihadapan ratusan penduduk yang 'mata tidak buta' dan 'telinga tidak pekak' bahawa kerajaan sedia memberi subsidi mungkin sebanyak RM30,000 atau sama harga dengan sebuah kereta Proton Saga.

Tapi ingat, kata Ahmad Said dengan syarat rakyat mesti memberi undi kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Sebab, kata beliau setiap pemberian itu ada pembalasan dan konsep keadilan itulah yang diguna-pakainya baru ‘ADIL’.

“Saya beri jaminan bahawa subsidi yang akan kita (kerajaan) beri harganya lebih dari sebuah harga Proton Saga. Tapi kita tidak beri lagi sekarang ini dan kita kena tengok juga pilihan raya ini.

“Biasalah, memberi dan menerima. Main hendak sahaja beri tidak…beratlah kita (BN). Beri subsidi RM30,000 pun maki semacam tidak ada makna.

“Bila cakap hal parti sama sahaja antara Umno, PAS, KeADILan dan DAP sama sahaja. Sebab, dia (parti) yang mendapat undi dari penyokong.

“Begitu juga, bila kita (kerajaan) bagi wang ehsan mereka kata kita (BN) tidak adil. Orang Umno boleh, orang PAS tidak boleh…tidak adil. Apa itu adil?, Adil ertinya ‘memberi’ dan ‘menerima’.

“Kita (Umno) beri (subsidi) hendak undi (balasan)tapi jika tidak beri undi kepada kita (BN) buat apa kita (kerajaan) beri kepada dia (rakyat).

“Saya ingat masa kecil lagu ibu kita ayun buai, “ayun buai kokek, kokek ulu golok…hok dia lokek, hok orang hendak”.

“Ini hak orang hendak belaka, dana hendak, bantuan hendak, beri atap hendak, rumah PPRT hendak, seluar sekolah hendak, baju sekolah hendak, itu hendak, ini hendak…hendak belaka. Tapi kepada kita (BN) satu undi (pakah) pun tidak beri…pakah (undi) dok,” jelasnya pada pertemuan tersebut.

Ahmad berkali-kali memberi peringatan kepada rakyat supaya jangan mendengar ‘hasutan’ pihak lain yang sengaja memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Apa yang kerajaan buat adalah untuk kebaikan rakyat dan pembangunan untuk rakyat. Semua rakyat akan dapat menikmatinya tanpa mengira sama ada orang Umno, orang PAS, orang KeADILan (PKR), orang Semangat 46 atau orang DAP.

Kerajaan sedia beri apa sahaja kepada rakyat tetapi rakyat mesti sokong dan beri undi kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) jika tidak segala subsidi dan kemudahan kerajaan akan diberikan kepada orang lain.

“Tapi ingatlah…. Ingatlah saya kata. Tolong itu tolong juga ‘orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’ dan bukan kita (kerajaan) ajak pergi berperang.

“Saya tidak pernah ajak pergi ‘perang’ atau pergi ‘menebas’. Bila mari pilihan raya undilah Barisan Nasional (BN). Kereta orang (BN) mari ambil sampai ke tangga pun payah juga...

“Jadi saya mintalah sungguh-sungguh. Kita minta sungguh-sungguh berilah kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional,” ujarnya.

Manakala, di akhir pertemuan itu beliau menyatakan tidak kisah ‘apa orang kata’ kepada Menteri Besar (MB) yang sedang dipikulnya hari ini.

“Saya tak ‘dok’ (tidak) hal ‘nok’ (hendak) kata Menteri Besar ‘bengong’ pun tak dok hal. MB Dok cerdik ke…tak dok hal..dok cerdik ke dok cerdiklah, asal jadi Menteri Besar sudahlah.

“Itu saya katakan tadi subsidi harga sebuah Proton Saga, jika menang Dun Ladang ini dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang ini lebih lagi dok tahu. Tapi kena menang (BN)dahululah jika hendak ‘murah’ (subsidi) lagi,” katanya.

‘DAN SEBENARNYA’….rata-rata penduduk yang hadir pada majlis penjelasan tersebut masih kurang yakin dan kurang berpuas hati dengan jawapan-jawapan yang diberikan Menteri Besar itu.

Namun begitu, suasana tidak mahu ‘dipanaskan’ kerana majlis tersebut untuk mencari jalan penyelesaian dan bukan perbalahan. Ini kerana, jika ikutkan ‘hati’ dan ‘perasaan’ penduduk masih tidak berpuas hati dengan jawapan kerajaan.

Sebab, yang akan menjadi ‘mangsa’ pembangunan kelak adalah penduduk terbabit dan cara terbaik dirasakan adalah melalui ‘Mahkamah Rakyat’.

Awang diberitahu oleh majoriti penduduk tersebut jika tidak ada jalan penyelesaian terbaik dalam kes ini. Maka, ‘Mahkamah Rakyat’ akan digunakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Kata mereka, bukan subsidi politik yang mereka pandang, bukan ‘umpan politik’ yang mereka ‘makan’ dan bukan ‘janji manismu’ yang mereka dengar.

‘DAN SEBENARNYA’….menghukum sebuah kerajaan yang dianggap gagal membela rakyat hanya boleh dibuat di ‘Mahkamah Rakyat’ dalam PRU ke-13, tidak lama lagi.

DAN SEBENARNYA….RENUNG + FIKIR = SEBENARNYA

1 comments:

su ha berkata...

Yang jelas nanti penduduk dikawasan berkenaan akan menanggung pelbagai kesusahan seperti dialami penduduk-penduduk melayu yang terlibat dengan perpindahan diseluruh negara.Janji orang politik hanya untuk sedap telinga mendengar sahaja.

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top