Kerjasama PAS-DAP bersifat ‘tahaluf’


HARI INI, (4 Januari 2010) masih ramai di kalangan rakyat bawahan yang tidak berparti dan ahli-ahli Umno yang ‘kurang cerdik’ tidak memahami maksud kerjasama yang dijalinkan antara PAS dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) dalam satu wadah Pakatan Rakyat.

Sama ada mereka semua itu termasuk pihak media yang pro-Umno dan Barisan Nasional (BN) benar-benar tidak faham kerana tiada penjelasan atau mereka sengaja buat-buat tidak faham untuk mengelirukan rakyat.

Awang yang agak cetek dalam selok-belok politik rasanya mudah faham dan memahami apa itu kerjasama yang dijalinkan oleh PAS dalam Pakatan Rakyat.

Apa yang Awang ingat, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah berkata PAS tetap dengan dasar dan pendirian parti (Islam) meski pun menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Katanya, kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat termasuk dengan DAP adalah bersifat ‘tahaluf’ yang berbeza Umno-Barisan Nasional (BN) bergabung dengan MCA dan MIC.

Menurutnya, kerjasama Umno-BN dengan MCA dan MIC adalah secara ‘wala’ (patuh) yang boleh menggadai maruah, harga diri serta prinsip Islam.

“Allah SWT, melarang kita (umat Islam) ‘berwala’ (patuh) dengan makna member kesetian sehingga kita (Islam) menjual harga diri, agama dan maruah kita (Islam) kepada bukan Islam.

“Sebab itu, kerjasama antara PAS dengan DAP adalah kerjasama bersifat ‘tahaluf’ dan kerjasama Umno dengan MCA dan MIC adalah kerjasama ‘wala’ yang tidak dibenarkan Islam,” jelasnya.

Ustaz Abdul Hadi berkata demikian pada satu Majlis Ceramah semperna Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu di Surau Mujahidin, Merang, Setiu, beberapa ketika dahulu.

Beliau menegaskan ‘wala’ merupakan istilah politik dalam kitab feqah yang membawa makna hubungan dengan orang bukan Islam sehingga menggadai maruah dan harga diri.

Menurutnya, ramai yang mempelajari feqah sembahyang, feqah puasa dan feqah zakat tetapi tidak ramai yang mengetahui tentang feqah politik.

“Dia (bukan Islam) kata jangan laksanakan Islam, kita (Islam) ikut dia (bukan Islam). Dia (bukan Islam) ajak kita (Islam) minum arak, kita (Islam) pun minum sama dan dia (bukan Islam) kata judi kena benarkan, kita (Islam) pun benarkan.

“Maksiat kena benarkan, kita ikut dia (bukan Islam). Ini yang dibuat oleh Umno dan kerjasama seperti ini diharamkan oleh Islam,” tegasnya.

Kata Tuan Guru Presiden dalam kerjasama PAS-DAP jelas parti tidak berganjak dari dasarnya (Islam) kerana kerjasama dengan DAP itu bersifat ‘tahaluf’.

Menurutnya, dalam perbincangan dengan DAP, PAS telah menolak permintaan parti itu supaya PAS ‘membuang’ perjuangan menegakkan Islam dalam PAS.

“Kebetulan almarhum Dr Yusuf Rawa, almarhum Dato’ Fadhil Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz banyak menugaskan saya berunding dan berdailog dengan orang-orang DAP.

“Mereka (DAP) minta supaya kita (PAS) buang perjuangan menegakkan Islam dalam parti PAS. Saya kata tak boleh, ini dasar kita (PAS) dan ini hak kita (PAS),” ujarnya,

Justeru itu, katanya PAS tidak meminta agar DAP membuang fahaman sosialis parti itu dan tidak juga menyuruh membuang bangsa (cina) dia (DAP).

“Kita (PAS) sama-sama menentang kezaliman untuk memberi hak kepada sesiapa yang berhak, untuk menolong orang miskin, membela orang kena zalim, lawan ISA yang tangkap orang tanpa bicara di mahkamah. Ini boleh kita (PAS) bekerjasama,” tegasnya.

Menurut beliau, DAP pernah bertindak keluar dari pakatan Barisan Alternatif (BA) tahun 2001 kerana pendirian PAS teguh mempertahankan dasar perjuangan parti.

Dan kini, kata Dato’ Seri Abdul Hadi parti DAP kembali menjalinkan kerjasama setelah melihat contoh pemerintahan yang adil menurut Islam yang dilaksanakan oleh PAS di Kelantan dan Terengganu.

“Ketika kita (PAS) hendak mengharamkan arak dan judi, kita (PAS) panggil orang bukan Islam dan kita tanya mereka (bukan Islam).

“Arak dalam ugama kamu (bukan Islam) bagaimana, dia (bukan Islam) kata ugama dia (bukan Islam) arak boleh…jadi itu hak dia dan dia (bukan Islam) hendak minum itu hak dia.

“Babi…dia (bukan Islam) boleh makan, kita (PAS) tidak boleh larang dia (bukan Islam) hendak makan babi. Judi ugama dia (bukan Islam) kata tidak boleh, maka kita (PAS) tutup kedai judi,” ujarnya.

Menurutnya, perbezaan antara PAS dengan Umno apabila PAS mempunyai hak dan batasan tetapi tidak dalam Umno yang boleh buat apa sahaja.

Apa yang Awang tahu, dalam Umno-BN boleh belaka ‘halal-haram’ tidak peduli kerana apa yang penting dapat kekalkan kuasa dan pemerintahannya.

Semoga kerjasama PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat yang baru terjalin serta meluluskan dasar bersama akan kekal hingga ke Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dan boleh memerintah.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top