Perpaduan dan persefahaman di kalangan pemimpin Umno Terengganu semakin rapuh serta diibaratkan ‘telunjuk lurus kelingking berkait’.
Kemelut ‘dalaman’ politik Umno bermula selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lagi berikutan keengganan pihak Istana merestui perlantikan Dato’ Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar (MB) Terengganu bagi penggal keduanya.
Nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Dato’ Ahmad Said menjadi pilihan ‘bidang terjun’ bagi jawatan Menteri Besar kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu.
Selepas itu, bermulalah sekumpulan Adun-adun BN yang pro-mantan MB Dato’ Seri Idris Jusoh membuat protes terhadap Ahmad sebagai calon MB tersebut.
Kesemua 23 orang Adun-adun BN itu pernah bercadang akan memboikot majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Tetamu, Batu Burok Kuala Terengganu jika Idris tidak dilantik semula memegang jawatan tersebut.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Rosol Wahid ketika itu berkata kesemua wakil rakyat BN terbabit tidak bersetuju dengan perlantikan Ahmad sebagai MB Terengganu.
Bahkan, katanya ada di kalangan wakil rakyat terbabit yang sanggup meletak jawatan jika Idris tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar.
"Pada hari ini (22 Mac 2008) kami semua wakil rakyat BN Terengganu kecuali Adun Kijal telah mengadakan perjumpaan dan kami ingin menegaskan bahawa kami sebulat suara menyokong dan berdiri teguh di belakang Dato’ Seri Idris sebagai Menteri Besar Terengganu. Tiada calon lain yang kami sokong.
"Jadi mana-mana perancangan untuk menamakan selain daripada Dato’ Seri Idris, kami (Adun BN) tidak akan menerimanya. Kami sebulat suara tidak akan menghadiri majlis tersebut (angkat sumpah jawatan Menteri Besar) jika Dato’ Seri Idris tidak dilantik sebagai Menteri Besar," kata Rosol pada sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar Seri Iman, tahun 2008 lalu.
Rosol yang juga wakil rakyat Ajil pernah berkata kesemua wakil rakyat itu juga akan membuat ‘undi tidak percaya’ pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) jika Idris tidak dilantik semula ke jawatan berkenaan.
Beliau berkata mereka (Adun BN) juga telah menandatangani satu surat menyatakan sokongan kepada Idris dan ianya telah diserah kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu dan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR).
Pada 23 Mac 2008, Ahmad yang juga Ketua Umno bahagian Kemaman itu menerima watikah perlantikan jawatan Menteri Besar dari Yang DiPertua, Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Baderulzaman pada jam 8.20 pagi di Istana Tamu (Istana Al-Muktafibillah Shah) Jalan Persiaran Hakim, Batu Burok, Kuala Terengganu.
Ahmad menyifatkan perlantikan beliau ke jawatan (MB) itu sebagai ‘takdir’ yang bukan dipinta tetapi diberi amanah menggalasnya atas kehendak Allah SWT.
Sementara itu, pemimpin Umno negeri Terengganu dan penyokong-penyokongnya yang tidak bersetuju dengan pilihan Istana melantik Ahmad Said berkumpul di kediaman rasmi Menteri Besar Seri Iman.
Maka, sekali lagi bermulalah siri-siri ‘penderhakaan’ di kalangan pemimpin serta penyokong Umno-BN Terengganu terhadap Tuanku Sultan dan pihak Istana Terengganu.
Mereka (Umno) turut menaikkan kain rentang dan sepanduk menyokong Idris Jusoh bekas MB yang tidak dilantik semula selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 itu.
Antaranya, ‘Kami nak Idris, Natang’, ‘Terengganu Masih Perlukan YAB Dato’ Seri Idris Jusoh’,’Sokongan Kami Tak Berbelah Bagi Kepada YAB Dato’ Seri Idris Jusoh’ dan ‘Kami Menyokong Penuh Kepimpinan YAB Dato’ Seri Idris Jusoh’.
Berikutan kemelut tersebut, Setiausaha Agung Umno, Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga pernah memberi amaran keras kepada Ahmad yang boleh dikenakan tindakan tatatertib oleh parti.
Katanya, jika Ahmad menerima jawatan Menteri Besar bermakna mengingkari arahan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan Idris dikekalkan sebagai MB Terengganu.
Dalam masa yang sama Idris juga menerima surat tauliah daripada Abdullah sebagai Menteri Besar Terengganu.
Hari ini, (4 Januari 2010) genaplah 21 bulan krisis itu ‘reda’ tetapi pernuh bergelora yang boleh disifatkan ‘api dalam sekam’ antara penyokong Idris dengan Ahmad dalam Umno di negeri ini.
Sekali pun, Ahmad dilantik sebagai pemimpin nombor satu negeri iaitu Pengerusi Umno-BN Terengganu tetapi ‘walad’ di kalangan Adun-adun BN tidak kepadanya.
Maka, beberapa bulan kemudian dilantik pula Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Menteri Dalam Negeri sebagai pengerusinya.
Justeru itu, pelbagai usaha dilakukan ‘dalam gelap’ oleh pemimpin Umno sendiri bagi memberi gambaran buruk terhadap Ahmad serta kononnya tidak mendapat kepercayaan di kalangan Adun-adun BN Terengganu.
Menurut sumber ‘dalam’ Umno Terengganu ‘khabar angin’ yang bertiup sejak setahun lalu bermain di kalangan ahli Umno sendiri kononnya akan ada ‘usul undi tidak percaya’ terhadap Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.
Bila tiada siapa yang tahu kerana masih ada sifat ‘penakut’ di kalangan pemimpin Umno tersebut.
Bimbang dengan gelombang tersebut menjadi kenyataan satu amaran ‘keras’ dibuat oleh MB tersebut terhadap mana-mana Adun Barisan Nasional (BN) yang berhasrat berbuat demikian.
Menteri Besar itu berkata mana-mana di kalangan Adun BN Terengganu yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya akan berdepan dengan tindakan disiplin termasuk dipecat.
“Ya, jika usul itu datang dari pihak pembangkang (PAS) kami (BN) dalam kerajaan akan menolaknya. Tetapi jika, ia (usul) dibawa (kemukakan) oleh wakil rakyat Barisan Nasional, dia (Adun) akan dipecat, itu biasalah.
“Jika usul (undi tidak percaya) itu dapat sokongan, kita (saya) akan bubar dewan (Dun Terengganu) itu sahaja. Kita (BN) terpaksa menerimanya kalau dia nak (hendak) buat…apa nak kata,” tegasnya kepada pihak media selepas merasmikan Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman, di Bukit Takal, 11 April 2009 lalu.
Katanya, usaha mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap seorang Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) adalah satu perkara yang serius.
Khabar angin itu rupa-rupanya ‘menghantui’ Ahmad yang kononnya akan dibawa oleh Adun Barisan Nasional (BN) pro-mantan MB Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh.
Pada 12 April 2009, jurucakap kumpulan pro-Idris yang juga bekas Setiausaha Umno Terengganu, Dato’ Rosol Wahid segera memberi reaksi agar Ahmad tidak ‘cemas’.
Ini kerana, katanya isu ‘undi tidak percaya’ yang hangat diperkatakan itu tidak pernah dibincangkan oleh mana-mana Adun BN sebelum ini.
Menurutnya, MB Terengganu itu tidak perlu takut kepada bayang-bayang sendiri sehingga sanggup mengeluarkan amaran keras memecat mana-mana wakil rakyat BN yang membawa usul tersebut.
“Tidak timbul sebarang hasrat (undi tidak percaya) di kalangan Adun BN dan kenyataan beliau (Ahmad) untuk pecat mana-mana Adun BN yang berbuat demikian tidak tepat.
“Beliau (Ahmad) tidak berhak untuk memecat mana-mana Adun kerana seseorang Adun (wakil rakyat) itu dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya.
“Sebaliknya, Menteri Besar itu boleh dipecat kerana dia (Ahmad) dipilih oleh Adun-adun BN,” jelasnya.
Manakala, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang menyifatkan spekulasi mengenai usul tersebut hanyalah khabar angin.
Beliau selaku Speaker Dun Terengganu tidak pernah menerima sebarang notis dari mana-mana Adun yang ingin mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Ahmad sebagaimana didakwa sebelum ini.
Katanya, mengikut peraturan persidangan Dun, mana-mana ahli dewan sama ada dari kerajaan (BN) atau pembangkang (PAS) perlu mengemukakan notis untuk membangkit sebarang usul sebelum mesyuarat berlangsung.
“Semua agenda mesyuarat (sidang Dun) kita telah disusun. Setakat hari ini (13 April) saya belum terima notis berkaitan usul (undi tidak percaya) itu. Semua ahli dewan tahu peraturan itu,” jelasnya pada waktu itu.
Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-12 Terengganu bermula dari 13 hingga 15 April 2009 dan dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Kata-kata keramat bekas MB Terengganu, Idris Jusoh kepada rakyat di negeri ini sebagai ‘janji’ jika rakyat memilih serta memberi mandat kepada Umno-BN Terengganu memerintah negeri.
Slogan Idris kepada rakyat Terengganu ‘Sesuatu yang tidak pernah dilihat’,’tiada halangan hanyalah peluang’,’generasi ulul albab’ dan ‘Islam hadhari Terengganu bestari’ akhirnya memakan tuan.
Ini kerana, tiga Adun BN yang menghayati serta terdidik dengan slogan-slogan tersebut masing-masing menerima SMS (Sistem Pesanan Ringkas) yang berbaur ugutan bunuh sesama sendiri.
Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh dan Adun Paka, Mohd Ariffin @ Zakaria Abdullah terpaksa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan Adun Ajil, Dato’ Rosol Wahid turut berbuat demikian di Balai Polis Daerah Hulu Terengganu.
Masing-masing ‘ketakutan’ dan membuat laporan polis selepas satu jam mereka menerima SMS tersebut yang didakwanya dari seorang Pegawai Tinggi Kerajaan Negeri yang pro-Ahmad.
Mesej dari SMS itu bunyinya ringkas sahaja iaitu “Baik jangan teruskan niat YB. YB tak sayang nyawa?” yang diterima oleh tiga Adun BN terbabit pada jam 11.30 malam (13 April) 2009 lalu.
Mereka (Adun BN) mendakwa SMS berbaur ugutan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan isu ‘undi tidak percaya’ yang bakal ditujukan kepada Menteri Besarnya, Dato’ Ahmad Said.
Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Haji Wan Ahmad Wan Muda dikaitkan dalam laporan polis tersebut kerana nombor si pengirim SMS itu adalah miliknya berdasarkan rekod di pejabat Wisma Darul Iman.
Keesokkannya, pada 14 April 2009 satu sidang media dibuat oleh Ketua Kelab Penyokong Kerajaan Terengganu, Dato’ Rosol bersama 10 Adun BN yang sepakat memboikot serta tidak menghadiri Sidang Dun Terengganu hari keduanya.
Faktor ‘keselamatan’ diri Adun-adun yang menerima SMS berbaur ugutan dijadikan alasan bagi 10 Adun BN itu tidak hadir ke sidang dewan serta mahukan jaminan pihak polis.
Adun-adun BN yang tidak hadir persidangan dewan pada hari tersebut iaitu Adun Ajil, Dato Rosol Wahid, Dato’ Din Adam (Bukit Besi), Alias Abdullah (Alor Limbat), Ramlan Ali (Jabi), Mohd Ariffin @ Zakaria Abdullah (Paka), Muhammad Ramli Nuh (Tepoh), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Muhammad Pehemi Jusoh (Kota Putera) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) kecuali Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih) dan Dato’ Seri Idris Jusoh (Jertih) masuk semula pada sesi petang dewan bersidang.
Rosol berkata beliau bersama rakannya yang lain tidak akan hadir ke sidang Dun selagi tidak diberi jaminan keselamatan oleh polis.
“Ugutan (SMS) ini serius dan saya kesal kerana keselamatan kami (Adun) terancam dan keadaan tidak kondusif kepada kami (Adun),” tegasnya.
Ketika ditanya reaksi Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menyerahkan kepada polis untuk menyiasat laporan dakwaan wakil rakyat BN itu yang menerima ugutan bunuh daripada seorang pegawainya.
“Biarlah polis melakukan siasatan terperinci mengenai tiga Adun BN itu kerana mereka (Rosol, Halim dan Zakaria) telah membuat laporan polis.
“Saya tidak tahu-menahu tentang hal (ugutan) itu. Oleh itu, saya tidak berani nak komen,” jelasnya.
Ditanya usaha beliau sekiranya semua wakil rakyat BN itu tetap dengan pendirian enggan hadir ke sidang Dun, Ahmad berkata beliau tidak akan memujuknya.
“Tak usahlah saya beritahu (usaha) itu ‘no komen’. Saya biasalah, dulu lagi teruk,” ujarnya yang menganggap perkara biasa bagi orang politik.
Sejurus kemelut tersebut, Setiausaha Kelap Penyokong Kerajaan Terengganu yang juga Adun Alor Limbat, Alias Abdullah menafikan pembabitan Idris sebagai ‘dalang’ kecelaruan politik dalaman Umno itu.
Katanya, Idris yang juga Ketua Umno bahagian Besut itu tidak tahu menahu tentang rancangan 10 Adun BN memboikot sidang Dun Terengganu pada hari keduanya.
“Kalau tidak ada Idris, kami pun boleh buat juga seolah-olah kami tidak berwibawa.
“Kenapa anda ingat kami (Adun-adun BN) wakil rakyat ‘cap ayam’ macam Menteri Besar (Ahmad) sekarang,” tegasnya.
Hakikatnya, Alias cuba ‘berbohong’ kerana selepas kumpulan 10 Adun BN itu membuat sidang media di tingkat 18, di Hotel Felda Resedence, pada jam 9.45 pagi itu (14 April).
Kumpulan wartawan diraikan minum pagi di lobi café hotel di tingkat 17 dan didapati Idris Jusoh berada di situ serta dipercayai menyertai kumpulan 10 Adun tidak hadir ke sidang Dun tersebut.
Namun begitu, kecuali Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dilihat hadir semula ke dewan pada jam 10.20 pagi, Adun Jertih, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Adun Kota Putra, Muhammad Pahemi Yusof memasuki dewan pada sesi petang sekitar jam 3.30 petang.
Manakala, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak mengarahkan kesemua Adun-adun BN yang memboikot persidangan Dun tersebut hadir semula ke dewan.
Ini kerana, katanya laporan yang diterima dari Ahmad (MB) menafikan SMS yang dihantar berbaur ugutan itu dari pejabatnya.
“Krisis politik Umno-BN Terengganu bukan sesuatu yang luar biasa sehingga tidak dapat diselesaikan dan ianya bukan satu krisis yang besar,” ujarnya di Putrajaya, baru-baru ini.
Menurutnya, kesahihan SMS yang berbaur ugutan kepada tiga Adun BN itu belum dapat dipastikan lagi.
Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner I, Dato’ Mohd Syukri Dahlan mengesahkan menerima laporan tiga Adun BN terbabit serta memberi jaminan menyelesaikan kes tersebut secepat mungkin.
Menurutnya, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana mengugut.
Pada 15 April 2009, kesemua Adun-adun BN yang memboikot persidangan Dun Terengganu hadir semula dalam keadaan aman dan selamat.
Adun Jertih, Idris Jusoh berkata kesemua Adun-adun terbabit hadir semula ke dewan (Dun) setelah diarahkan oleh Perdana Menteri berbuat demikian.
“Polis dah (telah) bagi jaminan, PM pun dah beri arahan datang (sidang Dun), kita (Adun) datanglah. Kita ini patut tidak ada apa-apa masalah dan daripada dulu lagi patuh.
“Tapi janganlah kita (Menteri Besar) jadi macam orang takut pada bayang-bayang, paranoid dan takut pada bayang-bayang itu hak mereka (Ahmad),” ujarnya dengan nada menyindir.
Reaksi balas, Ahmad Said ketika ditanya menegaskan tidak pernah takut pada bayang-bayang sendiri berikutan timbulnya isu ‘undi tidak percaya’ sebelum ini.
“Saya tak pernah takut pun dan dulu pun saya begini. Sebagaimana yang saya katakana dulu, saya bersikap positif.
“Perkaranya, sangat mudah kalau orang lain (Adun) datang (sidang Dun) takkan kita (Adun BN) tak boleh datang,” ujarnya.
Sehubungan itu, Adun Manir, Dato’ Harun Taib ketika berucap membahaskan titah ucapan Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (YDP MPPR) Tengku Badrulzaman Sultan Mahmud ‘mempelawa’ Menteri Besar dan Ahli Exconya menyertai PAS serta menubuhkan kerajaan baru di negeri ini.
“Kalau Yang Amat Berhormat Menteri Besar ‘berasa’ (alami) sulit untuk menghadapi dalam keadaan kerajaan yang macam ini (hilang kepercayaan), Yang Amat Berhormat (Dato’ Ahmad) dan sahabat-sahabat (ahli Exco) boleh menyeberangi ke sebelah kami (PAS).
“Yang Amat Berhormat (Ahmad) ada sebelas (wakil rakyat) dan kami (PAS) ada lapan…jadi 19 orang, jadi kerajaan yang kukuh. Kita (pakat) tubuh kerajaan baru,” ujarnya merujuk kepada tindakan Adun BN terhadap kepimpinan Dato’ Ahmad.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang di Dun Terengganu mempelawa Menteri Besar serta ahli Exconya bersama-sama dengan PAS bagi membentuk kerajaan baru (pakatan) yang lebih kuat.
Hakikat yang perlu disedari krisis hilang keyakinan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu terhadap Menteri Besarnya, di bawah kepimpinan Dato’ Ahmad Said sudah tidak dapat dibendung lagi.
Tindakan Adun-adun BN ‘memulau’ Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada sebelah pagi hari keduanya membayangkan perpecahan dan keretakan di kalangan pemimpin Umno Terengganu semakin parah.
Tragedi ‘hitam’ tiga orang Adun BN menerima ugutan ‘bunuh’ melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang dipercayai berhubung kait dengan khabar angin ‘undi tidak percaya’ terhadap MB Terengganu itu dijadikan alasannya.
Kumpulan Adun BN yang tidak sehaluan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu itu mendakwa SMS berbaur ugutan itu diterima dari seorang pegawai tinggi kerajaan yang pro-Menteri Besar.
Kesimpulannya, adakah kemelut serta krisis politik Umno-BN Terengganu selesai begitu sahaja atau sebagai ‘bunga-bunga’ politik yang sedang mekar berkuntum memungkinkan MB pilihan Istana itu berpaut pada dahan PAS.
Apakah Terengganu bakal menjadi sebuah kerajaan ‘Perpaduan’ yang boleh merintis ‘onak dan duri’ keraguan di kalangan sebahagian pemimpin dan ahli PAS yang sangsi dengan ‘kejujuran’ Umno-BN.
Oleh itu, kerajaan Perpaduan yang dilontarkan ideanya oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang usah dilihat dari sudut negatifnya sahaja tetapi wajar diperhalusi tanpa prejudis.
Sebenarnya, pengalaman serta ‘parut’ yang tercalar pernah dilalui oleh PAS ketika menyertai kerajaan campuran PAS-Umno 1978 dalam satu kapal Perikatan membuatkan PAS serik untuk duduk semeja dengan Umno-Barisan Nasional (BN).
0 comments:
Catat Ulasan