Jadi Ulama’ IT


HARI INI…dunia tanpa sempadan. Maknanya, kita boleh terokai maklumat dan perkembangan semasa tanpa sekatan dan tanpa alasan lagi.

Ibarat kata, maklumat sekarang ini hanya dihujung jari dan kita tidak perlu pergi jauh mengembara ke negeri orang. Kita tidak payah bersusah lagi mengembara ke ceruk rantau untuk dapatkan maklumat.

Cukup sekadar barang kali kita berada di rumah atau di pejabat hatta di dalam tandas sekali pun mampu kita perolehi maklumat-maklumat tersebut.

Oleh yang demikian, Awang terdengar banyak rungutan, banyak teguran, banyak saranan dan banyak cadangan orang ramai, orang awam, orang PAS dan orang bukan PAS. Mereka mahu melihat sangat ulama’ lebih maju, ulama’ lebih hebat, ulama’ lebih canggih dari orang lain.

Mereka mahukan supaya persepsi ulama’ dilihat mengkagumkan dan dihormati kerana ilmunya, kerana taqwanya, kerana sikapnya, kerana hebatnya dan kerana kehadapannya dalam menangani isu semasa.

Rakyat mahu melihat persepsi ulama’ dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ini adalah kelompok manusia yang disegani kerana ilmunya, dihormati kerana pintarnya dan disanjungi kerana hujahnya.

Bahkan, semua orang mahu melihat ulama’ PAS tidak jumud, ulama’ PAS tidak lembab, ulama’ PAS tidak penakut dan ulama’ PAS tidak ada kepentingan peribadinya.

Oleh itu, di zaman teknologi maklumat dihujung jari ini. Maka, mereka mahu Dewan Ulama’ PAS disemua peringkat terutama di Pusat disarankan agar dapat mewujudkan satu blog yang tersendiri bagi menyampaikan mesej dan menyebarkan dakwahnya.

Dewan Ulama’ PAS wajar bergerak mengikut perkembangan semasa terutama di zaman teknologi maklumat yang semakin canggih ini. Sesungguhnya segala ilmu dan kitab-kitab ada di alam maya dihujung jari kita.

Seorang peminat PAS, Encik Zulkifli Abdullah, 45, dari Dungun mencadangkan supaya Dewan Ulama’ PAS mempunyai blog-blog tersendiri dalam menyampaikan mesejnya.

Katanya, melalui laman web tersebut Dewan Ulama’ PAS juga boleh menjawab pelbagai isu yang berkait dengan hukum-hakam dan politik semasa.

Menurutnya, mesej dakwah juga boleh disampaikan melalui penulisan blog serta dapat dijadikan garis panduan kepada para blogger yang tumbuh seperti cendawan.

“Kita lihat hari ini penulis blog menulis kadang-kala ikut suka apa yang hendak ditulis dan diluahkan perasaan masing-masing.

“Mereka (penulis blog) tulis tidak ada garis panduan dari segi tatacara moral, berakhlak dan berhemah.

“Ulama’ (dewan) kita kena juga ada buat blog mereka sendiri untuk sampaikan mesej atau menjawab isu-isu politik pihak lawan (Umno-BN),” ujarnya.

Seorang lagi peminat PAS, Mohamad Zaidan Abdullah dari Setiu berpendapat Ulama’ PAS wajar kedepan dalam menangani isu-isu semasa yang berlaku hari ini.

Katanya, media massa yang ada tidak memberi ruang kepada Gerakan Islam seperti PAS ini untuk menyampaikan mesej parti atau menjawab isu-isu.

“Saya rasa dengan adanya blog (Dewan Ulama’) sendiri, kita (PAS) boleh manfaatkan banyak perkara dan boleh jadi rujukan kepada para blogger.

“Kadang-kala ada isu-isu yang menghentam PAS tetapi pimpinan tidak menjawab dan penulis blog yang prihatin akan cuba buat pandai-pandai jawab,” jelasnya.

Menurutnya, kemudahan teknologi maklumat yang semakin canggih hari ini memerlukan tindakan PAS yang lebih cepat dan pantas.

Sebenarnya, Awang pun baru belajar-belajar guna kemudahan teknologi maklumat seperti ini kerana sebelum ini bukan Awang tidak berminat tetapi kerana kekangan masa dan waktu yang terbatas.

Oleh kerana, Awang menceburi bidang penulisan seumpama ini maka mesej boleh disampaikan melalui (blog) ini. Medan dakwah sangat luas dan masing-masing antara kita ada tanggungjawab tersebut.

Walau apa pun, sebenarnya Awang bersetuju dengan pandangan, setuju dengan pendapat dan setuju dengan saranan orang ramai bahawa Ulama’ PAS kena ada blognya yang tersendiri kerana mesej dakwah dan peringatan boleh disampaikan.

Awang harap Dewan Ulama’ PAS bersikap positif dan benar-benar berfungsi serta cepat menangani isu-isu semasa yang memerlukan teguran dan nasihat dari orang yang berstatus ulama’.

Ini kerana, sejak kecil kita telah diperdengarkan, kita diajar dan kita diberitahu bahawa ‘Ulama itu pewaris Nabi-nabi dan Rasul’ dalam konteks dakwah.

Nasihat Awang lagi jangan jadi seperti ulama’…‘teropah kayu’ yang kuat berbunyi tetapi tidak boleh pergi jauh sekadar berada di dalam tandas ‘kepompongnya’ sahaja.

RENUNG…FIKIR….DAN BUAT KEPUTUSAN

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top