9 tahun royalti minyak Terengganu RM15.847 bilion ‘dirampas’


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahukan penjelasan kerajaan negeri terhadap usaha yang dilakukan bagi mengembalikan semula royalti seperti perjanjian asal yang dimeterai 30 tahun lalu.

Beliau berkata demikian susulan dari soalan lisannya mengenai perkembangan terkini proses pembayaran royalti Petroleum kepada kerajaan negeri Terengganu.

Tok Guru itu, wajar bertanya soalan demikian kerana beliau sendiri pernah terlibat sebagai ketua kerajaan dan wang royalti Petroleum dan Gas berjumlah jutaan ringgit waktu itu ‘dirampas’ oleh kerajaan Persekutuan pada tahun 2000.

Berikutan itu, Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu Ke-12 (Bajet 2010) diberitahu bahawa sepanjang tempoh dari tahun 2000 hingga Mac 2009, Petronas telah membayar sejumlah RM15.847 bilion kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said mendedahkan Kerajaan Persekutuan pada dasarnya hanya bersetuju untuk mengembalikan semula baki royalti sebanyak RM1.686 bilion sahaja.

Sedangkan, katanya tuntutan kerajaan negeri pada ketika ini berjumlah RM2.7922 bilion setelah ditolak perbelanjaan yang dibelanjakan di negeri Terengganu.

Menurutnya, mesyuarat terakhir yang diadakan di Kuala Terengganu pada 18 Ogos 2009 telah dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Katanya, sepanjang tempoh 2000 hingga Mac 2009 lalu pihak Kementerian Kewangan telah menerima sebanyak RM15.847 bilion daripada Petronas.

Menurutnya, bayaran terus kepada negeri Terengganu dalam pelbagai bentuk termasuk bajet, dana khas dan lain-lain berjumlah RM7.1 bilion, melalui pelbagai kementerian untuk projek di Terengganu RM7.6 bilion.

Tambahnya, projek Syarikat Perumahan Nasional Berhad di negeri ini berjumlah RM102 juta, pelbagai tujuan di negeri lain RM914 juta dan melalui SPNB untuk negeri lain sebanyak RM771 juta.

“Jumlah yang dibayar terus kepada kerajaan negeri Terengganu sama ada dalam bentuk bajet negeri, Majlis Tindakan Dana Khas Terengganu, projek-projek khas di Terengganu seperti Taman Tamadun Islam, Pembangunan Pulau Duyong dan lain-lain sebanyak RM7,164,577,081 bilion.

“Melalui pelbagai Kementerian untuk pelbagai projek dan program di Terengganu berjumlah RM7,624,021,064 bilion.

“Projek Syarikat Perumahan Nesional Berhad (SPNB) di negeri Terengganu berjumlah RM102,056,000 juta.

“Pelbagai tujuan di negeri-negeri lain sebanyak RM914,910,000 juta dan melalui SPNB untuk pembinaan rumah rakyat di negeri-negeri lain seluruh Negara berjumlah RM771,344,000 juta,” jelasnya ketika menjawab soalan Ustaz Abdul Hadi di Sidang Dun Terengganu Ke-12, di Wisma Darul Iman, 23 Disember lalu.

Menurut beliau hingga Julai 2009 Kementerian Kewangan dianggarkan masih mempunyai komitmen sebanyak RM552,250,000 juta ke atas projek yang telah lulus dan sedang berjalan.

Bahkan, katanya sejumlah RM313,600,000 juta juga perlu ditambah bagi tuntutan ‘Variation of Price’ (VOP).

Ahmad menjelaskan amaun tersebut akan ditolak terlebih dahulu oleh Kementerian Kewangan sebelum bakinya disalurkan sebagai royalti kepada kerajaan negeri Terengganu.

Menurutnya, kerajaan Terengganu hanya akan menandatangani perjanjian serta menarik balik kes (saman) di mahkamah setelah berpuas hati segala hak dan kepentingan negeri terlaksana.

“Kerajaan akan hanya menandatangani perjanjian dan menarik balik kes (saman) di mahkamah hanya setelah kerajaan berpuas hati sepenuhnya, bahawa segala hak dan kepentingan kerajaan negeri Terengganu berkaitan royalti minyak dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian (baru) itu,” tegasnya pada Sidang Dun Terengganu.

Sementara itu, ketika ditemui di luar Sidang Dun tersebut beliau menjelaskan beberapa projek SPNB yang di jalankan di negeri ini wajar dibayar semual kepada kerajaan negeri.

Antara lain, katanya projek pembinaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan projek Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Gong Kedak, Besut.

Menurutnya, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri masih lagi berunding bagi menyelesaikan pembayaran royalti petroleum kepada kerajaan Terengganu.

Sebenarnya, pendirian Ahmad Said ini disokong dan dipuji oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat atas dasar prinsip hak dan keadilan.

Oleh itu, MB Terengganu wajar mempertahankan dan meneruskan saman kepada pihak Petronas dan Kerajaan Pusat selagi hak royalti itu tidak dikembalikan dengan sebaik-baiknya.

Dilemanya, adakah ‘Dato’ Haji Ahmad Said’ ini berani melawan ‘bosnya’ di Putrajaya atau akhirnya juga akan ‘cair’ serta mengikut telunjuk Perdana Menteri. Sama-samalah kita melihatnya kelak.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top