Umno-BN Terengganu semakin ‘parah’?


Umno Terengganu sebenarnya semakin ‘parah’ menghadapi krisis dalamannya yang melibatkan pimpinan peringkat negeri dalam dua kelompok.

Ini kerana, ketika Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Ahmad Said berada di Mekah untuk menunaikan ibadat haji tetapi ‘seterunya’ bekas pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Idris Jusoh masih belum mahu ‘mengalah’.

Bahkan, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dilantik sebagai Pengerusi Umno Terengganu juga dilihat masih gagal memulihkan krisis ‘dalaman’ tersebut.

Sebenarnya, Hishammuddin juga sedikit sebanyak turut terpalit dalam krisis tersebut yang menyebabkan sebahagian pemimpin Umno di peringkat bahagian dan cawangan seolah-olah memboikot majlis yang dihadiri olehnya di negeri ini.

Sebagai contohnya, satu Majlis Qurban Sempena Aidiladha bersama Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang diadakan di perkarangan Masjid Kampung Tok Jembal, Seberang Takir pada 28 November 2009, lalu kurang mendapat sambutan rakyat.

Bahkan, pemimpin Umno peringkat negeri, bahagian dan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) juga tidak kelihatan ‘galak’ hadir kecuali hanya beberapa orang tertentu sahaja.

Antara wakil rakyat BN Terengganu yang hadir bersama meraikan majlis tersebut iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Ahmad Razif Abd. Rahman, Dato’ Abdul Rahin Said (Teluk Pasu), Din Adam (Bukit Besi), Zakaria @ Ariffin Abdullah (Paka) dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Majlis tersebut merupakan Program Pemimpin Bersama Rakyat yang sepatutnya disertai oleh ribuan ahli-ahli Umno setempat kerana yang datang ke kampung mereka adalah ‘Pak Menteri’.

Namun begitu, agak mengecewakan Naib Presiden Umno itu apabila jumlah kehadirannya hanya sekitar 150 orang yang dibilang secara rawak sedangkan Umno Bahagian Kuala Nerus sahaja mempunyai 180 buah cawangannya.

Program tersebut bagi menyempurnakan sejumlah 11 ekor sembelihan lembu kurban untuk diagihkan kepada orang ramai dan penduduk setempat.

Sumber Awang memaklumkan selepas majlis tersebut diadakan satu mesyuarat tertutup Umno Bahagian Kuala Nerus di sebuah Chalet bertaraf enam bintang di Pulau Duyong.

Dikhabarkan juga bahawa, Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir telah dikecam hebat oleh Dato’ Hishammuddin yang kecewa dengan jumlah kehadiran orang ramai.

Kesimpulannya, inilah bahananya jika asyik bercakaran sesama sendiri kerana kepentingan politik tertentu hingga mengabaikan kehendak serta suara ‘keramat’ rakyat.

PAS dan Pakatan Rakyat pula dilihat pemerhati politik seperti tunggu dan lihat dengan tidak melakukan penyusunan gerak-kerja yang lebih efision. PAS-PR jangan bergantung harap dengan perpecahan sementara mereka (Umno-BN).

Sebab itu, ada ‘ahli nujum pak belalang’ ramalkan situasi politik di Terengganu hari ini merupakan satu peluang cukup baik untuk PAS-PR maju dan mara kedepan sebagai juara. Tetapi sayang 1001 kali sayang…PAS-PR masih tidak bersungguh menambah pecah-belahkan pakatan Umno-BN itu.

Bahkan, jika ditakdirkan berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 sekarang ini belum tentu PAS-PR boleh menang dengan majoriti mudah. Belum tentu PAS-PR boleh kembali berkuasa memerintah. Belum tentu PAS-PR akan diberi mandat oleh rakyat yang ‘muak’ dan ‘jelek’ dengan parti Melayu Umno-BN.

Habis itu, siapa yang menang..?? sudah tentu jika bukan Umno-BN kekal PAS-PR akan menang. Tetapi sejauh manakah PAS-PR ini bersedia untuk menang dan mengisi kemenangan yang bakal ditinggalkan oleh parti lawan itu.

Bayangkan, Parti KeADILan Rakyat (PKR) pun masih ‘kurang berbisa’ ibaratnya seperti orang mengidap penyakit ‘saraf’ yang agak kronik. Manakala, parti DAP pula hanya popular di kalangan masyarakat tionghua (Cina) tetapi masih dibayangi ‘badi’ MCA.

Seolah-olah, pergantungan harap masyarakat tionghua masih kepada MCA walau pun mereka sudah jemu dan bosan dengan karenah pemimpin MCA. Barang kali mungkin kerana mereka (Cina) merupakan masyarakat minoriti dan ‘tekanan’ terlalu hebat buat mereka.

Apa pun persepsinya, Awang harapkan ada perubahan sikap di kalangan pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat yang terdiri dari PKR dan DAP. Jika PR mahu jadi pengganti BN, usaha dan kerja bersungguh-sungguh perlu dimulakan dari sekarang. Kita cuma ada masa antara satu hingga satu setengah tahun lagi tempoh bertenang sebelum PRU Ke-13, Insya’Allah.: Renung-renung dan fakir-fikirlah wahai pemimpinku.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top