Hakisan tanah di Taman Seri Desa, Bukit Chendering


Sejumlah 22 buah rumah teres dua tingkat yang dihuni oleh 70 orang penduduk di Taman Seri Desa Bukit Chendering kini tidak lena tidur malam.

Ini kerana, rumah kediaman tersebut terbabit dengan hakisan tanah yang semakin teruk sejak beberapa minggu ini.

Kejadian tanah runtuh serta hakisan di lereng bukit berkenaan berlaku akibat hujan lebat, pembangunan tidak seimbang serta sistem perparitan yang tidak sempurna.

Bahkan, penduduk mendakwa terancam tidak lena tidur serta bimbang kejadian yang tidak diingini bakal berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengambil langkah segera meninjau ke lokasi terbabit.

“Saya sebagai wakil rakyat (Adun Batu Buruk) di sini. Hari ini, melawat, meninjau dan akan mengambil langkah lanjut dari apa yang telah dibuat oleh penduduk di sini.

“Saya akan berhubung dengan Dato’ Bandaraya dan Menteri Besar sendiri. Saya akan bangkitkan dalam Sidang Dun untuk kepentingan penduduk di sini walau pun penduduk di sini majoriti adalah berbangsa Cina tetapi kita (PAS) tidak mengira kaum dan parti politik.

“Walau pun ada orang MCA atau MIC itu kita (PAS) tidak ambil kira. Apa yang penting kita (PAS) hendak bantu penduduk di sini,” jelasnya kepada Awang selepas melawat lokasi tersebut.

Penduduk berkenaan telah memaklumkan petisyen rayuan kepada Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Mat Razali Kassim melalui surat bertarikh 1 Disember 2009, lalu.

Mereka (penduduk) mendakwa penghuni di kediaman Taman Seri Desa Bukit Chendering dari lot 1636 hingga 1658 dan lot 1670 hingga 1673 menghadapi tanah runtuh yang semakin teruk.

Hakisan tersebut akan menjadi semakin ‘buruk’ (teruk) jika tidak ada tindakan segera oleh pihak berkuasa.

Seorang penghuninya yang Awang temui iaitu Encik Chan Eey Keea, 58, mendakwa kejadian hakisan tanah di lereng bukit Chendering ini berlaku sejak setahun lalu.

Katanya, hakisan semakin teruk berlaku dua bulan kebelakangan ini akibat hujan lebat serta sistem perparitan yang tidak berfungsi dengan baik.

“Gelombang musim tengkujuh (hujan) tiga kali melanda negeri (Terengganu) ini dan berlaku hakisan yang teruk.

“Kami (penduduk) semua tidak lena tidur malam, risau, bimbang dan takut berlaku kejadian yang tidak diingini,” ujarnya.

Menurutnya, surat aduan dan rayuan tentang masalah ini telah dibuat kepada pihak Bandaraya Kuala Terengganu pada 1 Disember 2009 lalu.

Bahkan, katanya salinan aduan turut dihantar kepada Menteri, Menteri Besar Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk.

Rakannya, Encik Chueng Ching, 69, memohon pihak kerajaan negeri mengambil langkah segera mengenai masalah rakyat.

Katanya, nasib nyawa 70 penghuni di Taman Seri Desa serta beberapa buah rumah kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang berada di bawah lereng juga terancam.

“Kami (penduduk) mahu kerajaan Terengganu ambil langkah segera kerana kami bimbang, risau dan takut sepanjang waktu.

“Penghuni ada 70 orang yang melibatkan 22 buah rumah teres dua tingkat dan bberapa buah rumah kakitangan LKIM di lereng bukit ini,” jelasnya.

Menurutnya, langkah pencegahan lebih baik dari merawat setelah berlaku kejadian yang tidak diingini nanti.

Manakala, Encik Chan Lim Tiong, 63, pula mendakwa sistem perparitan yang tidak sempurna serta pembangunan di lerengnya antara punca hakisan berlaku di Bukit Chendering.

“Kami (penduduk) sudah tinggal di sini (Taman Seri Desa) lebih 20 tahun dan kejadian hakisan berlaku sejak setahun dua ini.

“Kita lihat sistem perparitan (longkang) yang tidak sempurna, rosak dan berlaku resapan air di bawah tanah,” ujarnya.

Tambah beliau, pembangunan yang semakin rancak di lereng bukit tersebut serta sekitarnya turut menyumbang kepada hakisan.

Ng Geok Ting, 77, merakamkan ucapan terima kasih kepada Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman yang turun ‘padang’ melihat lokasi kejadian di taman tersebut.

“Kami (penduduk) ucap terima kasihlah kepada Yang Berhormat (Dr. Syed Azman) dan harap dia (Adun) boleh ketengahkan masalah ini kepada pihak ‘atas’ (kerajaan),” ujarnya.

Deretan rumah teres dua tingkat tersebut juga sebenarnya berlaku retakan terutama di bahagian dapur masing-masing akibat hakisan serta runtuhan lereng bukit berkenaan.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top