Perkembangan mutakhir ini tindakan kerajaan Mesir menghalang pasukan sukarelawan Viva Palestin Convoy 3 yang dikendalikan oleh Palestine Solidarity Campaign untuk masuk ke Gaza, Palestin atas nama bantuan kemanusiaan. Awang cuba mendapatkan sedikit kupasan, jawapan serta pandangan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di rumah kediamannya di Rusila, Marang pada 8 Januari lalu dalam beberapa isu berkaitan dengannya.
A: Perkembangan di Gaza Palestin dan Rafah di sempadan Mesir agak tegang. Boleh beri sedikit ulasan?
DSTG: Apa yang berlaku di sempadan mesir itu suatu perkembangan yang sangat menyedihkan. Itu (tindakan Mesir) bercanggah dengan Islam dan semangat kemanusiaan. Ini kerana, kita tahu itu bantuan kemanusiaan. Gaza di Palestin telah dikepung dalam masa dan tempoh yang begitu lama.
Mereka (Palestin) dipilih oleh sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokratik. Hari ini, demokrasi telah diterima di seluruh dunia. Kita (PAS) merasa hairan kenapa pemilihan secara demokrasi yang berlaku di Palestin dinafikan. Dan mungkin kerana dia (rakyat) berpihak kepada Hamas (kerajaan). Maka, dia (Palestin) tidak diiktiraf dan ini suatu sikap ‘double standard’ dan sikap yang sangat tidak adil terhadap Islam.
A: Jadi, apakah yang sepatutnya dilakukan oleh dunia hari ini?
DSTG: Sepatutnya, Negara-negara Islam dan khususnya Negara-negara Arab dan juga Islam. Al-Quran turun dalam bahasa dia (Arab) dan Nabi Muhamad SAW juga dari bangsa dia (Arab). Sepatutnya, lebih menjadi contoh dari Negara-negara Islam yang lain.
Apa yang ‘malang’ terdapat negara di Amerika Latin iaitu Venezuela, dia bukan Negara Islam dan bukan orang Islam tetapi lebih bersimpati kepada rakyat Palestin lebih daripada orang Arab sendiri. Ini suatu perkara yang memalukan kita umat Islam.
A: Kenapa jadi begitu pada pandangan Tuan Guru?
DSTG: Apa yang berlaku di Mesir ini menandakan bahawa tidak ada perubahan dan tidak insaf. Kita (umat Islam) diajar oleh Nabi Muhamad SAW bahawa penduduk di Baitul Maqdis dan penduduk di sekeliling Baitul Maqdis tidak boleh dikalahkan. Ini dijamin oleh Nabi Muhamad SAW. Dan orang yang mengecewakan mereka (Palestin) yang akan kecewa sebenarnya. Walau pun mereka adalah sebuah kerajaan yang besar dan dibantu oleh kuasa-kuasa besar dunia. Mereka akan kecewa kerana ini ‘janji’ Nabi Muhamad SAW.
Oleh kerana itu, kita (PAS) yakin tindakan (sekatan) yang dibuat itu tidak boleh melemahkan semangat rakyat dan pejuang Palestin. Bahkan, mereka (musuh) yang akan kecewa kelak.
Kita (PAS) percaya bahawa rakyat Mesir tidak semuanya bersama dengan kerajaan dia (Mesir) dan majoriti rakyat Mesir hari ini membantu rakyat Palestin. Kita kena ingat akan tiba masanya, mereka (boneka) tidak akan mampu menghalang ‘gelombang rakyat’ yang akan berlaku di Mesir, Insya’Allah.
A: Apakah kerajaan-kerajaan Arab di sekeliling Palestin itu ‘boneka’ Amerika?
DSTG: Saya tidak mahu sebut (boneka) itu. Apa yang berlaku ialah dia (Mesir) melaksanakan projek-projek yang ditaja oleh barat. Antaranya, ialah mengadakan tembok di sempadan Mesir. Kita (PAS) dimaklumkan tembok itu dibiayai oleh Amerika dan sudah tentu dibelakangnya ada Israel bersama mereka. Ini suatu perkara yang jelas dan sudah menjadi suatu penyelewengan terhadap perjuangan orang Islam dan perjuangan orang Arab itu sendiri.
A: Dari segi hukum tindakan membina tembok itu bagaimana, Tuan Guru?
DSTG: Hukumnya adalah ‘haram’. Haram dan tidak boleh kerana itu kita menghalang bantuan sampai kepada orang Islam dan orang yang lemah di Palestin. Mereka (rakyat Palestin) ditindas dan dizalimi oleh tentera Zionis Israel. Itu satu kezaliman dan doa orang yang kena zalim diperkenankan oleh Allah Ta’ala.
A: Pemuda PAS akan mengadakan demontrasi pada hari ini (Jumaat-8 Januari) di kedutaan Mesir. Komen Tuan Guru?
DSTG: Ya, kita (PAS) selaras dengan seluruh dunia dan saya telah dihubungi oleh pemimpin-pemimpin Gerakan Islam di seluruh dunia supaya kita (Gerakan Islam) sama-sama mengadakan ‘protes’ (demontrasi) ini. Apa yang berlaku di Kuala Lumpur hari ini adalah tindakan bersama daripada orang Islam dan orang bukan Islam di seluruh dunia yang cintakan hak keamanan dan kemanusiaan supaya ianya diberikan dengan cara yang seadil-adilnya.
A: Nasihat dan harapan Dato’ Seri Tuan Guru kepada kerajaan Malaysia?
DSTG: Kita (PAS) mengharapkan kerajaan (Malaysia) akan melakukan satu dasar yang adil, suatu sikap yang positif terhadap rakyat Palestin untuk tidak menyusahkan mereka (Palestin). Sebagaimana, yang terbaru sikap kerajaan Malaysia terhadap isu Nuklear Iran. Ini satu sikap yang kita (PAS) hargai dan kita (PAS) tidak nafikan sesuatu yang baik itu. Kita (PAS) harap sikap-sikap yang seperti ini diteruskan. Kita (PAS) bersama dalam masalah isu Palestin. Sebagaimana, sejarah almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah berada di atas satu pentas dengan Perdana Menteri pada waktu itu dan bercakap dalam soal isu Palestin. Saya rasa dalam isu Pelestin ini, kita (PAS) tidak bermasalah walau pun kita (parti) berselisih pendapat dengan Umno, berselisih faham, kita (PAS) bertentangan dalam soal-soal politik dalam negeri tetapi dalam isu Palestin kita (PAS) lebih bersatu, Insya’Allah.
0 comments:
Catat Ulasan