Catatan Perjalanan Ke-Mindanao Islam terasing di bumi sendiri


COTABATO;- Perjalanan ke Mindanao sehari sebelum hari raya Adiladha lalu memberikan suatu pengalaman baru buat anggota rombongan dari tiga kumpulan berasingan.

Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad mewakili Muslim Care Malaysia dan Jundi Resausess, Ustaz Haji Awang Ibrahim Embong mewakili Lepasan Siswa-Siswi Institut Berakan Negeri Terengganu (Sisbakti) dan seorang Wartawan dari Terengganu, Khairul Azlam Mohamad.

Pesawat Air Asia yang berlepas dari LCCT pada jam 8.35 pagi telah mendarat dengan selamat sekitar jam 12.00 tengahari di Lapangan Terbang Clark, Manila.

Kami bergegas ke Airport Antarabangsa, Manila menaiki teksi dengan bayaran yang agak tinggi sekitar 4,350 peso (RM350.00). Semalaman di airport, melihat serta menyaksikan kesibukan manusia yang dengan tujuan dan halatuju masing-masing.

Kami bertiga bersolat jamaah di laluan umum sehingga ditegur oleh pihak keselamatan dengan mengarahkan kami ke satu penjuru lain. Alhamdulillah solat subuh pagi itu kami tunaikan di satu ruang solat yang masih belum siap sepenuhnya tetapi cukup untuk memberikan sedikit keselesaan.

Solat sunat hari raya Aidiladha yang diadakan pertama kali di lapangan terbang Manila telah diimamkan oleh Ustaz Awang Embong. Manakala, Ustaz Wan Azhar berkhutbah dengan penuh bersemangat dengan fokus khusus terhadap pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail serta mengajak para hadirin mengimplimentasikan peristiwa tersebut dalam kehidupan.

Selesai solat dan khutbah disampaikan, rombongan bergegas untuk meneruskan penerbangan ke Cotabatu, Mindanao. Kami difahamkan pengurusan di airport berkenaan (Cotabato) telah diambi-alih oleh pihak tentera bagi mengawal keselamatan ekoran peristiwa pembunuhan yang berlaku dua hari sebelum hari raya.

Dilaporkan, seramai 57 orang terbunuh termasuk 12 orang wartawan. Setelah melalui soal siasat oleh pihak tentera kerajaan di airport Cotabato rombongan tidak membenarkan keluar dari airport sehinggalah mereka dapat pastikan ada rakan (kenalan) yang akan mengambil kami.

Setelah menunggu hampir 30 minit, akhirnya rakan yang akan menguruskan kami tiba. Rombongan terus dibawa ke sebuah perkampungan di Mindanao serta diberikan taklimat perjalanan program sepanjang dua hari kami di sana.

Ustaz Awang Embong dan Ustaz Wan Azhar kemudiannya dijemput menyampaikan ceramah kepada masyarakat kampung tersebut sebelum majlis korban diadakan. Selesai solat zohor, dua ekor lembu disembelih di mana ustaz Wan Azhar telah menyembelih seekor daripadanya.

Difahamkan masyarakat yang berada di kampung bersebelahan turut hadir untuk menyaksikan majlis tersebut yang julung kali diadakan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) luar dari Filipina. Daging korban kemudiannya diagihkan kepada masyarakat dan sebahagiannya dimasak untuk jamuan.

Rombongan tersebut telah membawa amanah untuk melaksananakn ibadat korban sebanyak 12 ekor lembu yang kemudiannya telah diagih-agihkan secara terus kepada masyarakat. Difahamkan acara tersebut tidak dilakukan secara berpusat atas faktor keselamatan.

Secara keseluruhannya misi kali ini dianggap amat berjaya khususnya dalam melaksanakan penghayatan konsep ibadat korban.

Sepanjang tempoh rombongan kami di sana (Mindanao) berkesempatan mengadakan kunjungan hormat menemui Naib Presiden Bahagian Politik MILF, Ghazali Jaafar.

Pada pertemuan ringkas itu beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kerana masih terdapat NGO-NGOs di kalangan orang Islam mengambil peduli terhadap nasib umat Islam di Mindanao.

Menurutnya, bangsa Moro di Mindanao merupakan satu kelompok di kepulauan Melayu di rantau ini.

Apa yang penting, katanya persefahaman Islam perlu dipupuk melalui kunjungan dan ziarah-menziarahi seperti ini.

“Kita (Islam) seperti adik-beradik dan perlu bekerjasama. Kita perlu berjihad untuk menegakkan kalimah (syariat) Allah SWT dimuka bumi ini,” ujarnya.

Katanya, kepulauan Mindanao termasuk Filipina pernah dijajah oleh Sepanyol selama lebih 488 tahun.

Bahkan, kata Ghazali masyarakat dan umat Islam di kalangan bangsa Moro di Mindanao selalu dipinggirkan oleh kerajaan Manila.

Selepas itu, kami sempat mengunjungi sebuah madrasah yang dikendalikan 100 peratus oleh penduduk setempat untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak di Mindanao.

Nama sekolah tersebut Ma’ahas Salih al-Islame Shariff di Kabunsuan, Cotabato yang mempunyai seramai 450 orang pelajarnya.

Harakah difahamkan sebahagian besar pelajar-pelajar berkenaan terdiri dari kalangan anak-anak yatim dan keluarga miskin.

Tinjauan selama dua hari rombongan kami di sana (Mindanao) mendapati masalah kemiskinan rakyat, kurang pendidikan serta kemudahan asas yang serba kekurangan cukup memeritkan.

Namun begitu, masyarakat umat Islam terutama di kalangan pejuang dan penyokong MILF cukup menitik beratkan soal keagamaan dan siasah.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top