Akhirnya MB setuju jumpa rakyat


Isu pengambilan balik tanah di Kampung Ladang Tok Pelam dan Ladang Mengabang, Kuala Tererngganu terus berhadapan dengan konfliknya.

Meski pun, isu pengambilan balik tanah di kawasan berkenaan dijangka selesai Februari 2010 depan tetapi penduduk masih tidak berpuas hati .

Rakyat diberitahu bahawa tujuan pengambilan balik tanah tersebut bagi pembangunan serta penyusunan semula Bandaraya Kuala Terengganu.

Manakala, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAW) melalui Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (Maidam) pula telah dipertanggungjawabkan mengurusnya.

Suatu hal yang perlu diketahui, Kampung Ladang Tok Pelam merupakan tanah wakaf zuriat yang tidak boleh dijual-beli atau diwarisi oleh mana-mana pihak kecuali bagi kegunaan zuriat keturunannya.

Sumber Maidam memaklumkan bahawa tanah wakaf zuriat Ladang Tok Pelam yang terlibat dengan pengambilan balik oleh kerajaan negeri akan dibayar ganti-rugi serta pampasannya.

Pampasan akan dibayar kepada Maidam bagi pihak zuriat Tok Pelam sebagai pemiliknya tanah yang sah dan Maidam perlu mencari tanah ganti lain yang sesuai sebagai tanah ganti wakaf zuriat tersebut.

Persoalannya, timbul rasa tidak puas hati di kalangan 500 penduduk dikedua-dua buah kampung terbabit mengenai jumlah pampasan yang dibayar oleh kerajaan negeri.

Penduduk mendakwa tidak pernah menolak pembangunan dan kemajuan tetapi ‘menolak’ penilaian ganti-rugi serta pampasan yang tidak setimpal sebagai lot berstatus bandaraya.

“Saya benar-benar tidak puas hati dengan jumlah pampasan yang akan dibayar. Macam mana dia (penilai) kira, tanah saya mahu dibayar RM60 sekaki persegi tetapi tanah bersebelahan dibayar RM120 sekaki persegi,” jelas seorang warga emas, Mansor Awang, 72, dari Kampung Ladang Mengabang.

Beliau amat tidak berpuas hati dengan harga penilaian tanah oleh kerajaan negeri yang dianggap murah serta berat sebelah.

Katanya, kerajaan negeri membayar tanah di lot pertama RM120 sekaki persegi tetapi tanah bersebelahan dibayar RM60 sekaki persegi.

Rakannya, Salleh Embong, 65, dari Kampung Ladang Mengabang turut menyokong pendapat tersebut kerana tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan.

“Kami (penduduk) minta pihak kerajaan dan jabatan penilai membuat penilaian semula dengan jumlah pampasan.

“Kami (penduduk) bukan tolak pembangunan tetapi tidak bersetuju dengan harga pampasan oleh kerajaan negeri,” ujarnya.

Namun begitu, beliau terpaksa menerima jumlah bayaran tersebut dengan bantahan di mahkamah.

Manakala, Encik Roslan Zakaria, 48, dari Kampung Ladang Tok Pelam mendesak kerajaan negeri membuat penilaian semula tentang harga.

Menurutnya, pembangunan dan kemajuan negari diperlukan tetapi tidak sampai kepada rakyat ‘merempat’ di tanahair sendiri.

Selain itu, beliau memohon agar kerajaan negeri dapat menyediakan penempatan baru secara berkelompok serta tidak jauh dari Bandaraya Kuala Terengganu.

“Kami (penduduk) memohon jasa baik kerajaan supaya dapat sediakan satu kawasan baru secara berkelompok untuk tempat ganti (perpindahan).

“Kerajaan telah ambil tanah kami di Bandar untuk tujuan pembangunan dan berilah kami satu penempatan baru yang sesuai,” jelasnya.

Sebelum ini, satu majlis pertemuan serta penjelasan pernah diadakan antara penduduk berkenaan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar di Surau Tok Pelam, dekat sini, pada 2 Januari lalu.

Manakala, malam ini (Isnin-11 Januari) pada jam 9.00 malam. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said sedia mengadakan pertemuan dengan penduduk dikedua-dua kampung berkenaan.

Dialog isu pengambilan balik tanah-tanah tersebut akan diadakan di Dewan Sekolah Rendah Ladang bagi mencari jalan penyelesaiannya.

Sejumlah 130 buah rumah penduduk di kampung berkenaan terbabit dengan pengambilan balik semula tanah oleh kerajaan negeri.

Awang Cuma mahu ingatkan kepada semua penduduk yang terlibat bahawa pembangunan mahu dikecapi tetapi jangan sampai ‘Menang Sorak, Kampung Tergadai’.

Ini kerana, sejak dari ‘Dulu, Kini dan Selamanya’ dan mutakhir ini rakyat sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada Umno-BN untuk terus memerintah negeri dan negara ini.

Secara jujurnya, Umno dan kerajaan BN dijangka akan menerima hukuman mereka di ‘Mahkamah Rakyat’ atau lebih mudah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, akan datang.

Masa sudah tidak lama, masa telah semakin dekat dan persiapan oleh mana-mana parti yang bakal bertanding harus dimulakan dari sekarang. Ini kerana, kita hanya ada masa paling cepat pun setahun hingga setahun setengah lagi.

RENUNG DAN FIKIR…FIKIR DAN RENUNG APA ORANG KATA

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top