Ustaz Kassim dalam kenangan (1937-2011)

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Kelab Veteran PAS Terengganu, Ustaz Kasim Ahmad, 74, telah kembali ke rahmatullah pada 19 Mei lalu di rumahnya di Kampung Alor Terbol, Batu 8, Jalan Kelantan, Kuala Terengganu.

Allahyarham disahkan meninggal dunia jam 10.30 pagi dihadapan isteri kedua, Puan Zainab Awang, 41, serta sebahagian dari anak-anaknya setelah diserang penyakit angin ahmar (stroke) hampir sebulan lalu.

Ustaz Kasim yang juga Bendahari Dewan Ulama’ PAS Terengganu meninggalkan dua balu iaitu Puan Noraidah Sulaiman dan Puan Zainab Awang bersama 13 orang anak hasil perkongsian hidup dengan kedua-dua isterinya.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Ustaz Kasim semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT.

Menurutnya, pemergian Allahyarham umpama kehilangan sebutir permata yang begitu bermakna kepada parti dan perjuangan Islam.

Ini kerana, katanya Allahyarham Ustaz Kasim dikenali sebagai seorang pemimpin parti yang sangat komited dan bertanggungjawab dalam membangunkan PAS Terengganu ini.

“Ia (Ustaz Kasim) merupakan kehilangan besar, kehilangan tenaga yang bermanfaat kepada parti (PAS).

“Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu dan kita (PAS) kehilangan tokoh yang amat bermakna,” ujarnya.

Kata Ustaz Harun, Allahyarham banyak menyumbang jasa, berkorban dari segi kewangan, tenaga dan fikiran bagi memastikan PAS terus bergerak maju ke depan menjayakan matlamat parti.

Ketua Penerangan PAS Kuala Nerus, Ustaz Ismail Dagang menyifatkan Allahyarham Ustaz Kasim seorang yang istiqamah dalam perjuangan Islam PAS.

Katanya, kali terakhir beliau bersama dengan Allahyarham ketika menghadiri Mesyuarat Dewan Ulama’ PAS Terengganu pada 1 Mei lalu.

“Dia (Ustaz Kasim) pada saya seorang yang istiqamah dalam perjuangan Islam. Pada 1 Mei lalu, kami sama-sama hadir dalam Mesyuarat Ulama’ PAS Terengganu dan 3 Mei, dia jatuh sakit hingga membawa kematiannya,” ujar Ustaz Ismail dengan sebak.

Menurutnya, Allahyarham Ustaz Kasim terus berada dalam perjuangan PAS sejak diawal usia muda hingga akhir hayat.

Seorang anaknya, Mohd Saiful Islam, 19, berkata pada pagi tersebut Allahyarham kelihatan sihat dan masih boleh makan.

“Pagi itu, ayah kelihatan sihat dan masih boleh makan-minum dan jam 10.00 pagi emak ada beritahu ayah untuk tinggal (ayah) sekejap untuk ke dapur mencuci pakaian dan ayah izinkan.

“Tiba-tiba beberapa minit selepas itu, ayah kelihatan sakit (nazak) yang ibu ada disisi ayah untuk mengajarnya mengucap kalimah syahadah. Kami semua redha pemergian ayah,” jelasnya ketika ditemui di rumahnya.

Jenazah Allahyarham dimandikan di rumahnya jam 3.00 petang dan disembahyangkan oleh 1000 para jemaah di Masjid at-Taqwa, Batu Enam selepas solat asar yang diimamkan oleh Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Husin Awang.

Allahyarham Ustaz Kasim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Che Limah, Batu Enam, pada 19 Mei lalu.

Mengimbas kembali sejarah penglibatan beliau diarena politik PAS bermula tahun 1958 secara rasminya melalui PAS Cawangan Pekan, Pahang.

Ustaz Kasim dilahirkan pada 11 September 1937 di Kuala Rompin, Pahang. Anak sulung dari enam adik-beradik. Bapanya, Ahmad Idrus atau dikenali “Che Mat JP” sangat dikenali ramai. Ibu allahyarham pula bernama Fatimah Sulaiman.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Rompin, Pahang. Kemudian melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Menengah Agama Mersing dan Sekolah Menengah Agama Al-Attas, Johor Bharu. Pada tahun 1958, beliau berjaya memasuki Kolej Islam Kelang.

Selepas tamat pengajiannya, beliau bertugas sebagai guru agama di Pahang sebelum berhijrah ke Terengganu.

Ketika bertugas di Dungun, Ustaz Kasim pernah berada dalam Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Kawasan Dungun dan dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Dungun dalam usianya 20-an ketika itu.

Pada tahun 1966, Ustaz Kasim telah ditukarkan ke sebuah sekolah di Hulu Terengganu. Namun, beliau masih bergiat aktif dalam politik serta istiqamah dalam perjuangan PAS. Bahkan, beliau pernah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu.

Setahun kemudian, allahyarham Ustaz Kasim ditukar sekali lagi ke Marang. Apabila Marang dijadikan sebagai kawasan Parlimen yang baru, beliau turut memindahkan keahliannya ke kawasan Parlimen Marang.

Ustaz Kasim juga pernah menerajui PAS Kawasan Marang sebagai Yang Dipertuanya. Antara jawatan penting yang pernah diamanahkan kepada beliau iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu dari tahun 1971 hingga 1974.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Bendahari PAS Terengganu, Ketua Penerangan PAS negeri, Yang Dipertua PAS Dungun, Hulu Terengganu dan Marang.

Allahyarham Ustaz Kasim juga pernah menjadi wakil rakyat PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Marang pada tahun 1969. Beliau memperolehi sebanyak 3,775 undi menewaskan Abdullah Haji Mohamad dari Perikatan dengan majoriti 1,075 undi.

Apabila berlaku Kerajaan Campuran antara PAS-Perikatan tahun 1972, Ustaz Kasim yang juga Adun Marang ketika itu dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Campuran Negeri Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1974, beliau berjaya mempertahankan kerusi Dun Marang tetapi atas tiket Barisan Nasional (BN) apabila PAS menyertai BN pada tahun tersebut. Beliau menang bersama lapan orang lagi calon BN dari parti PAS di kerusi Dun masing-masing.

Allahyarham Ustaz Kasim turut bertanding dalam pilihan raya umum lain tahun 1978, 1982, 1986 dan akhir sekali 1990.

Prinsip perjuangan semasa hayatnya, “Berpegang teguh pada aqidah. Perjuangan tanpa aqidah tidak dapat bertahan dan mungkin gugur di tengah jalan” ujarnya ketika menjadi YDP PAS Marang.

Selain itu, beliau juga merupakan Bendahari Pembangunan Ma’ahad Darul Quran (MDQ) Rusila dan Pengerusi Koperasi Insaf Negeri Terengganu (KoINSAF).

Allahyarham mula mendirikan rumahtangga pada tahun 1959 bersama isteri pertamanya Puan Noraidah Sulaiman yang juga seorang guru agama. Hasil perkahwinan tersebut dikurniakan lapan orang anak dengan tiga lelaki dan lima perempuan.

Pada tahun 1990, beliau berkahwin pula dengan Puan Zainab Awang dan dikurniakan cahaya mata seramai lima orang iaitu dua lelaki dan tiga perempuan. Kesemua anak-anaknya berjaya dalam kerjaya masing-masing seperti peguam, pendidik dan usahawan.

Antara pimpinan PAS yang menziarahi jenazah Allahyarham Ustaz Kasim di rumahnya iaitu bekas Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ketua Muslimat PAS Terengganu dan Setiausahanya, Safinah Jusoh dan Raja Endun Raja Abdul Rahman, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr B.Chandran dan Ketua Penerangan PAS Kuala Nerus, Ustaz Ismail Dagang.

Manakala, hampir semua pimpinan PAS negeri dan kawasan hadir ketika solat jenazah Allahyarham Ustaz Kasim di Masjid at-Taqwa kecuali Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berada di Kedah.

Umno-BN ‘main’ pantai?

KUALA NERUS: PAS membantah sekeras-kerasnya sebarang bentuk penganjuran program yang bersifat maksiat seperti pesta “main pantai” yang cuba dihidupkan kembali oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Sekali pun, program itu diberi nafas baru atas nama Karnival Sukan Pantai dan Kebudayaan 2011 tetapi hakikatnya bersifat maksiat serta melalaikan yang diadakan pada bulan Rejab ini.

Mantan Timbalan Pesuruhjaya (I) PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik mendakwa Umno dan kerajaan BN Terengganu mahu menghidupkan semula budaya “khurafat” di negeri ini.

Ini kerana, katanya berdasarkan ucapan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri yang mahukan program karnival tersebut dimasukkan dalam kalendar tahunan Kebudayan negeri Terengganu.

“Umno dan kerajaan Barisan Nasional mahu menghidupkan semula budaya ‘khurafat’ dalam pesta “main pantai” yang telah lama ‘berkubur’. Budaya tradisi yang dimaksudkan itu seperti wayang kulit, menora, makyung, ulit mayang.

“Saya membantah keras program seperti ini dan mengajak masyarakat membantah sekeras-kerasnya supaya tidak berlaku lagi perkara bersifat maksiat secara terbuka yang dianjurkan oleh kerajaan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penganjuran Karnival Sukan Pantai dan Kebudayaan 2011 yang diberi nafas baru dari pesta “main pantai” yang terkenal di negeri Terengganu suatu masa dahulu.

Ustaz Abu Bakar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit melahirkan rasa dukacita kerana penganjuran pesta tersebut berlaku dalam kawasan wakil rakyat Umno-BN berstatus ‘ustaz’.

Katanya, program “main pantai” itu berlaku dalam kawasan Adun Tepoh, Mohammad Ramli Nuh dan berjiran dengan Adun Batu Rakit, Karzan Che Mat.

“Malangnya, pula program ini dalam kawasan wakil rakyatnya ‘ustaz’ iaitu Ustaz Muhammad Ramli Nuh (Yang Berhormat) dibuat di pantai Kampung Tanjung Gelam dalam Dun Tepoh.

“Dan kampung yang bermain ini seketariatnya adalah kampung asal di mana tempat Yang Berhormat, Ustaz Kazan Che Mat selaku Exco Agama negeri Terengganu.

“Jadi bagaimana orang yang menjadi wakil rakyat berstatus ustaz pun tidak ‘reti’ (tahu) dan tidak faham apa yang harus diberi kepada masyarakat,” ujarnya.

Menurutnya, penganjur program seumpama itu juga menjadikan anak-anak muda berpoya-poya, leka serta tidak menjaga syariat Islam.

Katanya, pihak penganjur menyajikan dengan hiburan karaoke, dikir barat, wayang kulit serta permainan tidak berfaedah.

“Mereka yang turun berpesta pantai ini sebenarnya tidak mempedulikan dari segi syariat seperti menjaga ibadat, sembahyang lima waktu, cara berpakaian dan pergaulan.

“Saya sendiri pun ada pergi melihat dan meninjau ke tempat program itu untuk melihat suasana. Program-program yang dibuat menjadikan anak-anak muda berpoya-poya dan leka,” jelasnya.

Ustaz Abu Bakar menyifatkan penganjuran program seumpama itu seperti “melacurkan” masyarakat bagi kepentingan politik Umno-BN.

Maka, katanya program ini merupakan suatu penganjuran yang fasik dan sangat buruk kesan kepada masyarakat dan umat Islam.

“Penganjuran ini seumpama “melacurkan” masyarakat supaya leka dan tidak mempedulikan soal agama.

“Budaya bermain dan tidak berfikir. Apa yang disogok oleh Umno dan Barisan Nasional, dia terima. Maka, tidak keterlaluan jika dikatakan program melacurkan masyarakat untuk mengekalkan sokongan kepada Umno-BN pada pilihan raya,” tegasnya.

Menurutnya, parti Islam PAS bekerja keras sejak puluhan tahun lalu bagi menghapuskan amalan ‘khurafat’ dan maksiat di negeri ini.

Katanya, apa yang berlaku di Kampung Tanjung Gelam ini sebaik sahaja masuk bulan Rejab terus dianjurkan pesta “main pantai” yang maksiat selama lima malam.

Sepatutnya, kata beliau pada bulan Rejab ini diprogramkan masyarakat dengan program yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan bukan program maksiat.

Tinjauan di lokasi penganjuran karnival tersebut mendapati berpuluh-puluh buah pondok yang dibina daripada daun kelapa kering didirikan sebagai tempat “bermalam” oleh peserta berkenaan selama lima hari.

Pada sebelah malamnya, diadakan pertandingan karaoke, persembahan dikir barat berbayar, wayang kulit dan sebagainya.

Majlis penutup program tersebut disempurnakan oleh Ketua Umno Bahagaian yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

‘WIRA’ masuk Parlimen

KEMAMAN: Pakatan Rakyat menyifatkan empat wakil rakyat yang digantung enam bulan dari menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen sebagai ‘wira’.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata Anwar Ibrahim, Karpal Singh, Azmin Ali dan R.Sivarasa disambut sebagai ‘wira’ rakyat di Parlimen.

Katanya, empat wakil rakyat berkenaan digantung selama enam bulan hanya kerana kesalahan mendedahan ‘penyelewengan’ Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, isu pendedahan tentang perlantikan sebuah Syarikat Yahudi oleh kerajaan Malaysia secara berfakta menjadi punca penggantungan tersebut.

“Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh (DAP-Gelugor), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan R.Sivarasa (PKR-Subang) telah kembali semula ke Dewan Rakyat setelah digantung selama enam bulan lalu.

“Mereka disambut sebagai ‘wira’ apabila masuk semula ke Parlimen. Apa salah Anwar, apa salah Pakatan Rakyat hanya kerana mendedahkan penyelewengan Umno dan kerajaan Barisan Nasional.

“Isunya, apabila Dato’ Seri Anwar mendedahkan tentang perlantikan kerajaan Malaysia yang melantik sebuah Syarikat Yahudi APCO Worldwide sebagai penasihat kepada kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Isu Semasa di Kampung Dusun Nyior, Chukai, Kemaman, 16 Jun lalu.

Katanya, PAS dan Pakatan Rakyat mendedahkan segala penyelewengan Umno-BN secara berfakta dengan realiti yang berlaku dalam negara.

Menurutnya, pendedahan yang dilakukan PAS dan Pakatan Rakyat selama ini ada kebenaran dan mula dirasai oleh rakyat hari ini.

“Mereka (Umno-BN) cukup bimbang bila pendedahan demi pendedahan. Kita (PAS) bercakap, kita (Pakatan Rakyat) dedahkan ‘benda’ (perkara) fakta yang memang realiti berlaku dan rakyat sekarang sudah mulai rasa.

“Kita bercakap soal kenaikan harga barang sekarang ini semakin parah. Apabila berlaku kenaikan harga minyak, gas, tarif elektrik dan sebagainya.

“Kesan kenaikan harga barang-barang juga berlaku akibat penyelewengan dan rasuah yang berlaku dalam negara,” tegasnya.

Beliau yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu melahirkan rasa kebimbangan berlaku peningkatan mendadak rakyat Malaysia yang bangkrap dan muflis.

Katanya, kerajaan yang menjadikan rakyat bangkrap dan muflis sebaik sahaja menamatkan pengajian di Universiti.

“Sebab apa muda-muda bangkrap, keluar Universiti sahaja sudah berhutang dengan kerajaan, kerja tidak ada lagi sudah berhutang RM20,000 hingga RM30,000 seorang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Sampai ke peringkat jumlah rakyat Malaysia yang sekarang ini tiap-tiap hari 41 orang bangkrap. Jumlah muflis di kalangan anak muda sekarang ini yang berumur 25 hingga 34 tahun yang telah diistiharkan bangkrap seramai 13,128 orang.

“Mereka yang berumur 25 hingga 44 tahun, meningkat lagi telah menjadi bangkrap seramai 38,357 orang dalam tempoh 65 bulan sehingga bulan Mei 2010,” ujarnya.

Menurutnya, pemberian biasiswa oleh kerajaan serta pihak-pihak tertentu tidak lagi menyeluruh hingga menyusahkan rakyat.

Oleh itu, katanya rakyat perlu membuat perubahan dengan memberi mandat dalam pilihan raya kepada Pakatan Rakyat bagi membetulkan kepincangan tersebut.

Tambahnya lagi, usia pemerintahan Umno-BN yang terlalu lama penuh dengan penyelewengan dan rasuah menuntut kepada perubahan.

Dato’ Ku ucap takziah…


KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar bergegas ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, sebaik sahaja menerima berita kematian seorang mangsa lemas di Pantai Pandak, Chendering, 12 Jun lalu.

Mangsa, Vijaya Varma a/l Krisnhnan, 47, dari Seremban Negeri Sembilan yang disahkan meninggal dunia akibat mati lemas kira-kira jam 1.00 petang, 11 Jun lalu di laut pantai Chendering.

Mendiang Vijaya meninggalkan seorang balu serta tiga orang anak berusia lima hingga 14 tahun.

Adik mendiang iaitu John Moses, 46, berkata abangnya (Vijaya) mati lemas ketika mandi di laut Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu.

Menurutnya, mendiang Vijaya datang bercuti ke Terengganu dengan membawa bersama seorang anak lelaki berusia lima tahun.

“Dia (Vijaya) pandai berenang dan sudah biasa mandi di laut dan sungai. Saya pun tidak tahu macam mana boleh ‘sangkut’ (lemas) di pantai ini.

“Kami ucap terima kasihlah kepada pihak pengurusan hospital (HSNZ) dan Majlis Ugama Hindu Terengganu,” ujarnya ketika ditemui di HSNZ.

Sementara itu, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Vijaya Varma serta mengharapkan banyak bersabar.

“Saya ucap takziah kepada isteri, anak-anak dan ahli keluarga mendiang Vijaya Varma yang disahkan mati lemas di laut Pantai Pandak, Chendering.

“Saya harap ahli keluarga mendiang dapat bersabar dan terima takdir (kematian) ini dengan tenang,” ujarnya.

Justeru itu, beliau mengingatkan orang ramai dan pelancong luar agar berhati-hati ketika mandi laut serta bermain di tepi pantai tersebut.

Manakala, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr. Balachandran turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Vijaya Varma.

Katanya, hidup dan mati adalah ketentuan Tuhan yang tidak ada siapa sangka boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Kami dari DHPP Terengganu ucap takziahlah kepada ahli keluarga mendiang (Vijaya Varma) yang kehilangan orang tersayang.

“Ucapan terima kasih juga kepada pihak Majlis Ugama Hindu Terengganu yang membantu menguruskan jenazah mendiang di HSNZ ini hingga selesai,” ujarnya.

Hadir sama menziarahi keluarga mendiang, wakil Indian Assouation Kuala Terengganu iaitu Encik Harry dan Encik Holey di bilik pengurusan mayat Unit Forensik HSNZ, Kuala Terengganu.

33,880 unit sejadah berharga RM1 juta

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu dibawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said didedahkan telah membeli sebanyak 33,880 unit sejadah bernilai hampir RM1 juta.

Malangnya, kesemua sejadah-sejadah tersebut tidak diagihkan ke masjid-masjid atau surau tetapi masih tersimpan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, sejak beberapa bulan lalu.

Hal tersebut, diberitahu oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu dalam jawapan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

Soalan asalnya, berapa banyakkah sejadah untuk kegunaan umat Islam menunaikan solat yang dibeli oleh kerajaan negeri dan sila nyatakan syarikat pembekalnya serta berapakah kos pembiayaan yang ditanggung kerajaan negeri Terengganu.

Menjawab soalan tersebut, pihak kerajaan menjelaskan jumlah sejadah untuk kegunaan umat Islam menunaikan solat yang telah dibeli oleh kerajaan negeri ialah 33,880 unit.

Manakala, syarikat yang membekalkan sejadah tersebut adalah BIBI HAWA & SONS yang beralamat di No.33, Aked MARA, Jalan Danby, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan kos sebanyak RM999,460.00.

Kerajaan negeri turut menjelaskan bahawa sejadah tersebut masih lagi disimpan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu sementara menunggu untuk diagihkan kepada masjid-masjid seluruh negeri ini.

Sementara itu, Ustaz Wan Hassan melahirkan rasa dukacita kerana jumlah sejadah yang banyak telah dibeli tetapi tidak diagihkan ke masjid-masjid atau surau.

Bahkan, beliau turut sangsi dengan jawapan tersebut kerana hampir keseluruhan masjid-masjid yang terdapat di Terengganu telah berkarpet.

“Kita (PAS) rasa dukacita kenapa sejadah yang telah dibeli begitu banyak tetapi tidak diagihkan lagi ke masjid-masjid atau surau di seluruh negeri ini.

“Saya rasa sangsi dengan jumlah sejadah yang banyak dengan kos hampir RM1 juta dibelanjakan oleh kerajaan. Hampir semua masjid di Terengganu dipasang dengan karpet yang tidak lagi menggunakan sejadah,” ujarnya.

Menurutnya, jika sejadah yang dibeli itu dimanfaatkan dengan baik untuk masjid dan surau tidak menjadi masalah tetapi dibimbangi sebagai projek kroni.

Katanya, terlalu banyak projek kroni yang dilaksanakan di negeri ini dengan mengenepikan kepentingan rakyat.

Pelaburan ‘Pak Pandir’ RM250 juta


KUALA TERENGGANU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang dikatakan cekap memerintah negeri telah membuka ‘pekung di dada’ sendiri.

Ini kerana, pelaburan kerajaan negeri ketika dibawah pemerintahan mantan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Idris Jusoh terhadap Taman Tamadun Islam (TTI) bernilai RM249.3 juta langsung tidak membawa pulangannya.

Pelaburan bernilai ratusan juta itu disifatkan oleh pembangkang PAS sebagai pelaburan ‘Pak Pandir’ sahaja.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu yang lalu, Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak bertanyakan soalan jumlah pungutan hasil yang diperolehi oleh kerajaan negeri dari Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu mengikut tahun sejak 2008.

Namun begitu, jawapan bertulis yang dikemukakan oleh kerajaan negeri sendiri menjelaskan bahawa tidak pernah memungut hasil dari Taman Tamadun Islam tersebut.

Dr Alias menyifatkan jawapan pihak kerajaan itu sebagai membuka ‘pekung di dada’ sendiri yang selama ini mendakwa pandai memerintah negeri.

Katanya, kerajaan BN Terengganu hanya pandai membazirkan wang rakyat hingga ratusan juta tetapi langsung tidak membawa hasil pulangan.

“Kerajaan negeri tidak pandai memerintah macam ‘Pak Pandir’. Dia (pemimpin) hanya pandai membazirkan wang rakyat sahaja.

“Ratusan juta wang rakyat dibazirkan untuk pelaburan projek Taman Tamadun Islam (TTI) hingga RM250 juta tetapi tidak ada hasil pulangan untuk negeri,” jelasnya.

Malah, beliau diberitahu bahawa bahan-bahan yang digunakan bagi membina Pusat Konvensyen dan Masjid Kristal tidak mengikut spesifikasi asal yang tercatat dalam pelan.

Dr Alias mendakwa kos pembinaan Masjid Kristal itu sahaja sebenarnya tidak lebih RM30 juta, bahkan ada laporan yang menyatakan bahawa kos pembinaan masjid tersebut RM22 juta.

Selain itu, katanya kos pembinaan Pusat Konvensyen adalah RM 9 juta dan Perumahan Khas Imam serta Bilal adalah RM3 juta.

Menurutnya, pembinaan 21 replika yang terdapat dalam kompleks TTI itu dianggarkan tidak melebihi RM1.5 juta setiap satu dengan menjadikan kos keseluruhan RM31.5 juta.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Nerus berkata majoriti rakyat Terengganu menyifatkan pelaburan kerajaan terhadap TTI sebagai satu projek yang membazir.

Ini kerana, katanya kontrovesi kos perbelanjaan yang terlalu tinggi dan tidak munasabah dengan keadaan realiti yang sebenar.

MB berbohong lagi?


KUALA TERENGGANU: Persidangan Yang Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu pada 9 hingga 12 Mei 2011 lalu sekali lagi mendedahkan pembohongan ‘bersiri’ Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.

Dewan didedahkan melalui jawapan bertulis yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar mengenai Strawberry Park yang bakal dijadikan Institut Jantung Negeri Terengganu.

Pada 10 Julai 2010 tahun lalu, Ahmad berkata Institut Jantung Negeri Terengganu dijangka mula beroperasi tahun 2011 sebaik sahaja proses pengubahsuaian bangunan Strawberry Kijal Resort Apartment di Senajang Teluk selesai.

Katanya, proses pengubahsuaian bangunan yang telah dibeli oleh kerajaan negeri itu dijangka dilakukan dalam tempoh sebulan dua.

“Selain menempatkan Institut Jantung, kami juga bercadang untuk menempatkan dua lagi pusat perubatan iaitu Institut Kanser dan Institut Strok,” ujarnya ketika berucap pada sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kemaman.

Namun begitu, pada jawapan bertulis kerajaan menjelaskan bahawa Strawberry Park Resort di Kijal dibeli oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) melalui perjanjian jualbeli pada November 2009.

Manakala, harga belian ialah RM27 juta dan cadangan menjadikan Strawberry Park sebagai Institut Jantung negeri masih di peringkat “perancangan”.

Allahyarham Ustaz Sham kembali ke rahmatullah

MARANG: PAS Hulu Terengganu, khususnya Pemuda PAS kawasan kehilangan ‘sebutir’ permata perjuangan yang komited serta istiqamah dalam perjuangan parti.

Allahyarham Ustaz Mohd Sham Abu Bakar, 38, dari Kampung Gelugor Haji Tahir disahkan meninggal dunia pada jam 5.50 petang 20 Jun lalu, setelah empat hari koma di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat kemalangan jalan raya.

Suasana pilu dan sedih menyelubungi ahli keluarga serta sahabat handai apabila melihat isteri serta anak-anaknya hadir di Masjid Gelugor Haji Tahir ketika jenazah Allahyarham disembahyangkan.

Manakala, bapa Allahyarham Ustaz Sham iaitu Abu Bakar Pandak, 68, yang mengidap penyakit angin ahmar hampir sebulan lalu turut hadir di tempat pengkebumian anaknya itu.

Awang dimaklumkan, kemalangan tersebut berlaku ketika menyertai rombongan konvoi motosikal berkuasa tinggi di Rantau Abang, Dungun, pada hari Jumaat 17 Jun lalu.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, apabila tiba di hadapan stesyen minyak Petronas Rantau Abang, Allahyarham dari arah Kuala Terengganu ke Dungun cuba masuk ke pam minyak tersebut.

Dalam sekelip mata, tiba-tiba berlaku pertembungan dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan yang mengakibatkan berlakunya perlanggaran tersebut.

Allahyarham Ustaz Sham yang cedera parah di kepala ‘koma’ setelah topi keledar yang dipakainya pecah dalam kemalangan yang berlaku sekitar jam 6.00 petang.

Konvoi bermotosikal tersebut dalam perancangan mereka untuk ke Kota Bharu, Kelantan dengan menggunakan motosikal jenis berkuasa tinggi.

Allahyarham merupakan seorang aktivis PAS yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PAS kawasan dan Bendahari Pemuda PAS Hulu Terengganu Sesi 2011/2013 serta bekas Exco Pemuda PAS negeri Terengganu.

Ketika pemerintahan kerajaan PAS Terengganu, Allahyarham Ustaz Sham pernah dilantik sebagai Mubaligh Unit Pembangunan Insan (UPI) dari tahun 2000-2004.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Zanariah Mamat, 38, serta tujuh orang anak berusia 50 hari hingga 12 tahun yang terdiri dua lelaki dan lima perempuan.

Isterinya, Puan Zanariah berkata pemergian Allahyarham Ustaz Sham diterima dengan perasaan redha dan takdir Allah SWT.

Kata beliau, Allahyarham Ustaz Sham telah ‘pergi’ buat selama-lamanya dan jika ada berhutang diminta hubungi keluarga tersebut.

“Jika masa (ketika) arwah suami saya hidup ada buat silap, tolong maafkan dia dan jika dia (Mohd Sham) berhutang dengan dengan sesiapa, sila datang berjumpa dengan kami untuk diselesaikan hutang itu,” ujarnya dengan nada sedih.

Apa yang membuatkan Awang terharu setelah mendengar ucapan isteri Allahyarham ketika memujuk serta memberitahu anak-anaknya yang kesedihan di hadapan jenazah Ustaz Sham.

“Assalamualaikum, abah (arwah)….ini anak-anak abah datang. Abah kita tak ada doh, abah sudah meninggal. Semua orang akan mati tapi kita dok lagi. Ini abah kita…abah kita tak ada doh…” ujar dengan sebak kepada anak-anaknya.

Jenazah Allahyarham Ustaz Sham dimandikan di HSNZ dan dibawa pulang untuk disembahyangkan di Masjid Gelugor Haji Tahir serta diimamkan oleh Mudir Ma’ahad Darul Quran (MDQ) Rusila, Ustaz Mohd Yassin Soleh bersama 200 ahli jamaah.

Selepas itu, Allahyarham dikebumikan pada jam 10.30 malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugor Haji Tahir bersebelahan dengan masjid berkenaan.

Antara pimpinan PAS negeri yang hadir Timbalan Pesuruhjaya (II) PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali serta ramai lagi termasuk Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran.

Mengimbas kembali antara kenangan bersama Allahyarham Ustaz Sham yang masih Awang tidak dapat lupakan, apabila ‘arwah’ sudi hadir ke majlis Malam Anugerah Kewartawanan ExxonMobil (Kawat) yang diadakan pada 5 Januari lalu.

Kehadiran beliau bagi meraikan kemenangan para wartawan media yang menyertai pertandingan penulisan dan kewartawan negeri Terengganu.

Allahyarham duduk semeja sebagai tetamu undangan khas bersama Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dan Adun BN Tepoh, Mohammad Ramli Nuh.

Terengganu sedia hantar 50,000

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu menyifatkan tindakan 418 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang membuat laporan polis bagi membantah perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 0.2 di seluruh negara sebagai tidak faham demokrasi.

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata NGO terbabit tidak faham makna demokrasi serta ‘double standard’ (berat sebelah).

“Mereka (NGO) yang buat laporan polis untuk bantah perhimpunan Bersih 0.2 ini tidak faham makna demokrasi dan bersikap ‘double standard’ dalam hal (demontrasi) ini.

“Kita tengok mereka akan bersikap ‘double standard’ bila orang lain buat khususnya Pemuda Umno, Perkasa dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa NGO yang membuat laporan polis berhubung penganjuran perhimpunan Bersih 0.2 di seluruh negara.

Justeru itu, katanya Pemuda PAS tetap akan menyertai perhimpunan tersebut yang dijangkakan seramai 50,000 ahli PAS sertai Bersih 0.2 di Kuala Lumpur.

Menurutnya, meski pun banyak NGO yang pro-Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) membuat laporan polis khusus di Terengganu, PAS tetap tidak berganjak dengan keputusan tersebut.

Katanya, perhimpunan Bersih menjaminkan keamanan dan pihak polis kena memainkan peranan dengan baik.

“Kita tahu, kekacauan yang berlaku dalam mana-mana demontrasi sebelum ini adalah akibat provokasi pihak tertentu termasuk yang menyembur air, gas dan sebagainya hingga menakutkan orang ramai.

“Kita (PAS) sedia hantar 50,000 ahli sertai Bersih 0.2 dan pihak keselamatan polis kena main peranan dengan baik supaya tidak ada provokasi,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong menjelaskan perhimpunan Bersih 0.2 kali ini bertemakan ‘Walk For Democracy’ (berjalan untuk demokrasi).

Perhimpuna tersebut bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil yang dijadualkan bermula jam 2.00 petang di beberapa lokasi yang ditetapkan oleh penganjur Bersih berkenaan.

Umno-BN ‘final’ dalam PRU 13?

KEMAMAN: Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) kini berada di ambang detik-detik kehancuran dan finalnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran berkata DHPP akan bersama dengan PAS bagi menumbangkan Umno-BN di negeri ini.

Katanya, rakyat dan pengundi di seluruh negara wajib mengantikan Umno-BN dengan PAS dan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, kemuncak pertembungan bagi rakyat menukar pemerintahan Umno-BN adalah dalam pilihan raya akan datang.

“Kita (DHPP) telah lihat Umno dan kerajaan Barisan Nasional kini berada dalam detik-detik kehancurannya. Kemuncak ‘finalnya’ rakyat akan buat perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Isu Semasa di Kampung Dusun Nyior, Chukai, Kemaman pada 16 Jun lalu.

Sehubungan itu, katanya gagasan Buku Jingga Pakatan Rakyat mampu menggoncangkan tampuk pemerintahan Umno-BN.

Menurutnya, rakyat perlu diberi pendedahan yang meluas oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat tentang peranan Buku Jingga tersebut.

“Saya lihat dan teliti isi kandung Buku Jingga ini mampu menumbangkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional.

“Rakyat akan diberi pembelaan yang saksama dan adil jika Pakatan Rakyat diberi mandat hingga ke Putrajaya,” ujarnya.

Katanya, rakyat dan para pengundi perlu memilih mana dasar parti benar-benar boleh membawa kemakmuran serta kesejahteraan.

Hadir sama pada majlis tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dan Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, Hanafiah Mat.

Jalan RM226 juta lapor SPRM

KUALA TERENGGANU: PAS dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) Terengganu memberi sokongan penuh kepada mana-mana pihak yang sedia membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Dr Alias Razak berkata PAS sentiasa menyokong rakyat membuat laporan SPRM jika mempunyai asas yang kukuh.

Ini kerana, katanya PAS amat menentang gejala rasuah yang berlaku terutama melibatkan kepimpinan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita (PAS) sokong apa yang dibuat oleh penduduk Banggol Donas ini yang mereka telah membuat laporan kepada pihak SPRM terhadap isu jalan Jeram-Banggol Tuan Muda.

“Kita mendapat ‘respon’ yang baik daripada Encik Azmi (SPRM). Dia terima dengan baik penyerahan laporan itu,” jelasnya.

Katanya, terdapat beberapa perkara yang boleh menimbulkan sesuatu yang dijangka berlaku perkara yang tidak betul.

Antaranya, kata Dr Alias pihak kontraktor membuat kerja-kerja sebelum disahkan jajaran, belum diwarta dan belum dibuat perbincangan serta pembayaran kepada penduduk kampung tersebut.

“Ada sesuatu yang tidak betul dengan projek (jalan) ini, kontraktor buat kerja-kerja yang sebelum disahkan jajarannya, belum diwarta, belum dibuat perbincangan dan belum buat pembayaran kepada penduduk kampung.

“Bila orang kampung hendak diarahkan pindah, sedangkan tanah ganti tempat pindah tidak diberikan termasuk bayarannya. Bagaimana orang hendak pindah,” soalnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal mahu pihak SPRM menyiasat dengan telus laporan yang dikemukakan oleh penduduk berkenaan.

Katanya, jika terdapat kebenaran berlaku unsur penyelewengan serta rasuah tindakan tegas perlu diambil segera.

“Tugas pegawai SPRM menyiasat kebenaran laporan yang dibuat oleh Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Banggol Donas. Jika ada kebenarannya, harap SPRM ambil tindakan supaya tidak merebak lagi perkara tersebut ke tempat-tempat dan kawasan yang lain,” ujarnya.

Dr Alias menegaskan kerajaan bertanggungjawab mengutamakan kebajikan rakyat dengan slogan “Rakyat Didahulukan”.

Menurutnya, masalah rakyat yang perlu didahulukan demi kesejahteraan dan keamanan dalam sesebuah negeri.

Manakala, ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti KeADILan Rakyat, Fariz Musa mengingatkan SPRM agar tidak bersikap ‘double standard’ dalam melakukan siasatan.

“Kita minta pihak SPRM jangan ‘daouble standard’. Apabila ia melibatkan kepentingan pimpinan Umno, maka SPRM mengambil pendekatan yang tidak melakukan siasatan terperinci atau melepaskan ‘batuk di tangga’.

“Usaha penduduk membawa kepada SPRM adalah susulan daripada tindakan mereka mengadu kepada pihak Suhakam, memorandum kepada Menteri Besar Terengganu dan Perdana Menteri,” jelasnya.

Menurutnya, perjuangan penduduk Kampung Banggol Donas ini berkaitan dengan pembinaan jalan projek runding terus ‘dana khas’ sepanjang 7.6 kilometer dengan kos RM226 juta yang agak melampau.

Katanya, jajaran tersebut melibatkan 22 buah rumah serta tanah warisan nenek-moyang penduduk yang bakal dirobohkan.

“Ini projek yang dianugerahkan kepada Ketua Pemuda Umno Terengganu, Saiful Bahari Baharudin melalui Syarikat MZ Hakujaya Sdn. Bhd dengan kos RM226 juta.

“Kes ini harus disiasat secara terperinci kerana ia (projek) melibatkan juga Adun Teluk Pasu, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said disebalik projek itu,” dakwanya.

Menurutnya, Pakatan Rakyat amat kecewa dengan sikap kerajaan negeri hingga kini tidak ada sebarang perbincangan dibuat dengan penduduk.

Katanya, PAS dan PKR bukan menentang pembinaan jalan raya tersebut jika baik bagi rakyat tetapi tidak harus dijajarkan kepada rumah-rumah penduduk.

Pemuda Dun Chukai lancar dana PRU ke-13

KEMAMAN: Pemuda PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, Kemaman akan menganjurkan satu majlis Pelancaran Dana Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 pada 12 Julai, depan.

Setiausahanya, Wan Muhammad Zawawi berkata sempena pelancaran tersebut akan diadakan majlis makan malam bagi mengumpul dana PRU ke-13.

Katanya, Pemuda PAS di Dun Chukai telah bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya yang dijangka akan diadakan pada tahun ini.

“Kami (pemuda) di Dun Chukai ini dalam keadaan siap sedia dan hanya tunggu ‘wisel’ pilihan raya.

“Pelbagai aktiviti diadakan dan kami (PAS) masih memerlukan sumber kewangan yang banyak untuk hadapi pilihan raya ini,” ujarnya.

Menurutnya, semangat kerja Pemuda PAS Dun Chukai semakin kuat selepas Muktamar PAS Pusat Ke-57 dengan saf kepimpinan baru dipilih.

Katanya, Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dilihat semakin gerun dengan saf kepimpinan PAS kali ini yang disifatkan sebagai “kabinet perang”.

Harakah dimaklumkan, majlis makan malam tersebut dihadiri oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebagai tetamu khas di Restoran Cahaya Mesra, Geliga Besar, Chukai, Kemaman.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat menyertainya sila hubungi Ustaz Zawawi ditalian 019-984 7288, 019-967 1409 atau Ahmad Sabree (013-931 8061) bagi tempahan meja berharga RM50.00 seorang.

DHPP ucap tahniah PAS

KUALA TERENGGANU: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu merakamkan ucapan penghargaan tahniah kepada saf kepimpinan PAS Pusat yang baru dipilih pada Muktamar PAS ke-57 yang lalu.

Pengerusinya, Dr B.Chandran berkata saf kepimpinan PAS yang baru dipilih oleh para perwakilan tersebut mampu membawa perubahan dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, DHPP negeri Terengganu yakin perubahan tersebut merupakan gandingan mantap kepimpinan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

“Saya ucap tahniah dan syabas kepada saf kepimpinan PAS yang terpilih pada Muktamar PAS ke-57 di Kuala Lumpur.

“Saya cukup yakin saf kepimpinan PAS ini adalah gandingan mantap parti untuk hadapi pilihan raya umum tidak lama lagi,” ujarnya ketika ditemui di pejabat DHPP Terengganu.

Selain itu, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu yang baru.

Katanya, kepimpinan Abdul Wahid diyakini mampu mengembalikan semula negeri ini ke pangkuan PAS dalam pilihan raya akan datang.

“Beliau (Abdul Wahid) seorang Ahli Parlimen Kuala Terengganu, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam dan Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu.

“Kita (DHPP) cukup yakin dengan kepimpinan Yang Berhormat (Wahid) untuk menarik sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Apa yang penting, kata Dr. Bala, kerajaan Barisan Nasional (BN) mesti ditumbangkan dalam pilihan raya sesuai dengan agenda “PAS Ganti Umno” (PGU).

Menurutnya, ‘senjata’ utama yang mampu menjatuhkan Umno-BN adalah penghayatan kepada Buku Jingga Pakatan Rakyat.

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top