Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Bala Chandran berkata DHPP akan bersama dengan PAS bagi menumbangkan Umno-BN di negeri ini.
Katanya, rakyat dan pengundi di seluruh negara wajib mengantikan Umno-BN dengan PAS dan Pakatan Rakyat.
Menurutnya, kemuncak pertembungan bagi rakyat menukar pemerintahan Umno-BN adalah dalam pilihan raya akan datang.
“Kita (DHPP) telah lihat Umno dan kerajaan Barisan Nasional kini berada dalam detik-detik kehancurannya. Kemuncak ‘finalnya’ rakyat akan buat perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Isu Semasa di Kampung Dusun Nyior, Chukai, Kemaman pada 16 Jun lalu.
Sehubungan itu, katanya gagasan Buku Jingga Pakatan Rakyat mampu menggoncangkan tampuk pemerintahan Umno-BN.
Menurutnya, rakyat perlu diberi pendedahan yang meluas oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat tentang peranan Buku Jingga tersebut.
“Saya lihat dan teliti isi kandung Buku Jingga ini mampu menumbangkan Umno dan kerajaan Barisan Nasional.
“Rakyat akan diberi pembelaan yang saksama dan adil jika Pakatan Rakyat diberi mandat hingga ke Putrajaya,” ujarnya.
Katanya, rakyat dan para pengundi perlu memilih mana dasar parti benar-benar boleh membawa kemakmuran serta kesejahteraan.
Hadir sama pada majlis tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli dan Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, Hanafiah Mat.
0 comments:
Catat Ulasan