‘Dana Khas’ bukan Royalti

KUALA TERENGGANU: Terengganu disifatkan masih menerima pemberian ‘dana khas’ sebanyak RM938 juta dari Kementerian Kewangan dan bukan bayaran sebenar hasil royalti minyak oleh Petronas.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan jawapan kerajaan mengenai jumlah serta kaedah pembayaran tersebut.

Katanya, perjanjian dibuat antara kerajaan negeri dengan pihak Petronas dan kerajaan Persekutuan yang dimeterai sejak tahun 1975 atas nama bayaran “royalti”.

“Royalti atau ‘Dana Khas’, biar jelas. Saya masih tidak puas hati, perjanjian antara kerajaan negeri dengan Petronas dan yang dibayar ini cukup angka RM670 juta, RM938 juta ini angka genap.

“Semasa Petronas bayar (royalti) dahulu sampai ke ‘sen’ pun dia (Petronas) kira. Maknanya, tidak ada kaitan dengan kementerian. Kementerian Kewangan kerajaan Pusat. Dia sendiri dapat lima peratus sebagaimana negeri Terengganu dapat lima peratus itu.

“Ini dibayar bukan dalam bentuk royalti. Saya hendak minta biar dapat pengesahan bila hendak beri dalam bentuk royalti ikut perjanjian asal sebagaimana yang ditandatangani dalam perjanjian 22 Mac 1975,” tegasnya.

Beliau inginkan penjelasan dari soalan lisan Adun Rhu Rendang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan, apakah terma-terma yang dipersetujui dalam rundingan antara Kementerian Kewangan, Kerajaan Terengganu dan Petronas untuk mengembalikan semula royalti petroleum kepada kerajaan negeri dan jumlah yang telah dibayar pada bulan Mac 2011.

Berikutan itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said menjelaskan bahawa tidak ada terma baru dan perjanjian baru dibuat antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.

“Tiada terma baru dan tiada perjanjian baru akan dibuat antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan. Dan sehingga bulan Mac 2011, kerajaan Terengganu menerima wang ‘royalti’ sebanyak RM670 juta dari jumlah yang sepatut diterima sebanyak RM938 juta tahun lalu,” jelasnya.

Menurut beliau, pemberian pertama diterima sebanyak RM670 juta, minggu ini dijangka akan menerima lagi sebanyak RM150 juta.

Manakala, katanya jumlah yang berbaki sebanyak RM118 juta lagi akan diagihkan pada bulan Jun 2011.

Ahmad berkata demikian ketika menjawab persoalan tersebut pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu Ke-12, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, 10 Mei lalu.

Sementara itu, Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi juga menuntut penjelasan kerajaan tentang penggunaan wang royalti negeri Terengganu oleh badan-badan tertentu serta negeri-negeri lain.

Bagaimana, katanya tuntutan yang telah dibuat terhadap pihak terbabit seperti oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan lain-lain.

“Saya ingin mendapat penjelasan lanjut tentang penggunaan duit royalti kita yang telah digunapakai oleh badan-badan atau dibelanjakan negeri-negeri lain.

“Bagaimana untuk kita dapatkan kembali wang itu dan YAB. Menteri Besar ada berjanji pada dewan (Dun Terengganu) yang lalu menjelang bulan Mac 2011, selesai royalti minyak antara Terengganu dengan kerajaan pusat,” ujarnya.

Menurutnya, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib juga pernah berjanji untuk mengembalikan semula bayaran royalti kepada Terengganu pada tahun lalu.

Katanya, sehingga hari ini Terengganu masih belum menerima hak pembayaran royalti secara langsung dari pihak Petronas.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top