Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata penentang-penentang Islam berlaku terus-menerus hingga ke akhir zaman.
Justeru itu, katanya tauhid ‘uluhiyyah adalah menjadi kemuncak kepada mentauhidkan diri kepada Allah SWT.
“Pertama, mengikhlaskan 'ubudiyyah iaitu memperhambakan diri hanya kepada Allah, kedua, mengkafirkan semua taghut yang menentang sesiapa sahaja yang menyembah dan memberi kesetiaan kepada taghut.
“Ketiga, memelihara diri dari seberang bentuk syirik dan menutup segala lubang yang menuju ke arahnya,” ujarnya ketika menyampaikan kuliah mingguannya dari Masjid Rusila, baru-baru ini.
Hakikat Tauhid, kata Ustaz Abdul Hadi adalah mengEsakan Allah SWT yang menjadi tajuk dakwah yang dibawa oleh Nabi-nabi dan Rasul-rasul terdahulu.
Menurutnya, perkara tersebut terkandung dalam seruan 'La Ilaha illaAllah' yang bermula dari Nabi Adam sehingga Nabi akhir zaman Nabi Muhammad SAW.
Katanya, selepas kewafatan Nabi yang menyambungnya (dakwah) adalah kumpulan Islam di kalangan umat Muhammad SAW.
“Para ulama’ membahagikan tauhid berdasar al-Quran Karim dengan Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Asma’ dan Sifat.
“Bagi menegakkan tauhid ini hendaklah mengikhlaskan Ubudiyyah hanya kepada Allah SWT, ‘mengkafirkan’ yakni menolak dan mengingkari semua taghut yang melampui batas Allah SWT.
“Semua hendaklah ditolak sama ada bergelar patung yang dinamakan berhala, yang dinamakan syaitan, yang dinamakan iblis, yang dinamakan Raja-raja dan pemimpin-pemimpin yang melampaui batas Allah Ta’ala, yang merampas hak Allah SWT.
“Sama ada dalam perkara ibadat atau hukum Syariat, peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Allah. Di mana, sesiapa, apa sahaja yang dilantik yang lain daripada Allah.
“Dia buat peraturan yang lain ini dinamakan ‘taghut’. Bukan sahaja menolak tetapi menentang, hendaklah melawan taghut ini. Dan menentang sesiapa sahaja yang menyembah taghut, yang mentaati taghut, yang setia kepada taghut. Hendaklah dilawan dan ditentang,” jelasnya.
Sehubungan itu, Dato’ Seri Abdul Hadi menegaskan inilah kewajipan jihad ‘fisabilillah’ yang dilakukan oleh Nabi-nabi dan mengikut Nabi-nabi a.s.
0 comments:
Catat Ulasan