Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Dr Alias Razak berkata PAS sentiasa menyokong rakyat membuat laporan SPRM jika mempunyai asas yang kukuh.
Ini kerana, katanya PAS amat menentang gejala rasuah yang berlaku terutama melibatkan kepimpinan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Kita (PAS) sokong apa yang dibuat oleh penduduk Banggol Donas ini yang mereka telah membuat laporan kepada pihak SPRM terhadap isu jalan Jeram-Banggol Tuan Muda.
“Kita mendapat ‘respon’ yang baik daripada Encik Azmi (SPRM). Dia terima dengan baik penyerahan laporan itu,” jelasnya.
Katanya, terdapat beberapa perkara yang boleh menimbulkan sesuatu yang dijangka berlaku perkara yang tidak betul.
Antaranya, kata Dr Alias pihak kontraktor membuat kerja-kerja sebelum disahkan jajaran, belum diwarta dan belum dibuat perbincangan serta pembayaran kepada penduduk kampung tersebut.
“Ada sesuatu yang tidak betul dengan projek (jalan) ini, kontraktor buat kerja-kerja yang sebelum disahkan jajarannya, belum diwarta, belum dibuat perbincangan dan belum buat pembayaran kepada penduduk kampung.
“Bila orang kampung hendak diarahkan pindah, sedangkan tanah ganti tempat pindah tidak diberikan termasuk bayarannya. Bagaimana orang hendak pindah,” soalnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal mahu pihak SPRM menyiasat dengan telus laporan yang dikemukakan oleh penduduk berkenaan.
Katanya, jika terdapat kebenaran berlaku unsur penyelewengan serta rasuah tindakan tegas perlu diambil segera.
“Tugas pegawai SPRM menyiasat kebenaran laporan yang dibuat oleh Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Banggol Donas. Jika ada kebenarannya, harap SPRM ambil tindakan supaya tidak merebak lagi perkara tersebut ke tempat-tempat dan kawasan yang lain,” ujarnya.
Dr Alias menegaskan kerajaan bertanggungjawab mengutamakan kebajikan rakyat dengan slogan “Rakyat Didahulukan”.
Menurutnya, masalah rakyat yang perlu didahulukan demi kesejahteraan dan keamanan dalam sesebuah negeri.
Manakala, ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti KeADILan Rakyat, Fariz Musa mengingatkan SPRM agar tidak bersikap ‘double standard’ dalam melakukan siasatan.
“Kita minta pihak SPRM jangan ‘daouble standard’. Apabila ia melibatkan kepentingan pimpinan Umno, maka SPRM mengambil pendekatan yang tidak melakukan siasatan terperinci atau melepaskan ‘batuk di tangga’.
“Usaha penduduk membawa kepada SPRM adalah susulan daripada tindakan mereka mengadu kepada pihak Suhakam, memorandum kepada Menteri Besar Terengganu dan Perdana Menteri,” jelasnya.
Menurutnya, perjuangan penduduk Kampung Banggol Donas ini berkaitan dengan pembinaan jalan projek runding terus ‘dana khas’ sepanjang 7.6 kilometer dengan kos RM226 juta yang agak melampau.
Katanya, jajaran tersebut melibatkan 22 buah rumah serta tanah warisan nenek-moyang penduduk yang bakal dirobohkan.
“Ini projek yang dianugerahkan kepada Ketua Pemuda Umno Terengganu, Saiful Bahari Baharudin melalui Syarikat MZ Hakujaya Sdn. Bhd dengan kos RM226 juta.
“Kes ini harus disiasat secara terperinci kerana ia (projek) melibatkan juga Adun Teluk Pasu, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said disebalik projek itu,” dakwanya.
Menurutnya, Pakatan Rakyat amat kecewa dengan sikap kerajaan negeri hingga kini tidak ada sebarang perbincangan dibuat dengan penduduk.
Katanya, PAS dan PKR bukan menentang pembinaan jalan raya tersebut jika baik bagi rakyat tetapi tidak harus dijajarkan kepada rumah-rumah penduduk.
0 comments:
Catat Ulasan