Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi peringatan kepada pihak tertentu agar tidak melakukan provokasi hingga mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.
Menurutnya, tindakan seumpama itu tidak demokratik yang sengaja cuba dicetuskan pihak tertentu setiap kali menjelang pilihan raya.
“Saya melihat isu (agama Kristian) sehari dua ini lebih bersifat kepada satu permainan politik pilihan raya.
“Saya harap jangan provokasikan disaat hampir pilihan raya macam masa-masa lalu. Kemudian ambil tindakan ISA di kalangan orang tertentu. Ini suatu tindakan yang tidak demokratik dan tidak betul,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Yang Keempat, Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-12, di Wisma Darul Iman, bulan lalu.
Katanya, dalam Konvensyen Pakatan Rakyat semua parti menerima apa yang sudah diasaskan dalam Perlembagaan.
Menurutnya, Islam agama Persekutuan dan Institusi Raja-Raja yang termaktub dalam Perlembagaan diterima sebulat suara oleh Pakatan Rakyat.
Mengulas lanjut isu tersebut Dato’ Seri Abdul Hadi menjelaskan sebarang kenyataan mesti diambil dari pemimpin utama parti dan bukan di kalangan orang bawahan.
Menurutnya, sebarang isu yang berkaitan dengan polisi dan dasar akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat.
“Kita ada mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat. Sebarang isu, kita akan bincang di mesyuarat Pakatan Rakyat. Dengan sebab itu, saya tidak risau dengan isu ini.
“Sebab, saya melihat isu ini lebih ke arah isu ‘mainan’ politik pilihan raya. Ini satu benda yang tidak betul di kalangan pihak tertentu,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mahukan semua pihak perlu menjaga keharmonian kaum dalam negara ini.
Katanya, semua parti-parti yang berdaftar memahami asas-asas Perlembagaan yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Kita harus menjaga keharmonian. Sebabnya, semua kaum dan semua parti-parti politik termasuk dalam Barisan Nasional, MCA, MIC, Gerakan termasuklah DAP dan parti-parti di Sabah dan Sarawak.
“Mereka mendaftarkan sebagai parti politik yang berdaftar. Maknanya, mereka menerima asas-asas Perlembagaan. Antaranya, Islam adalah agama Persekutuan itu sudah diterima,” jelasnya.
Ustaz Abdul Hadi menyarankan agar diadakan siri perbincangan dan dialog dari masa ke semasa sebagaimana isu kalimah Allah sebelum ini.
Bukan, katanya diadakan perdebatan melalui media massa hingga menimbulkan ‘polimik’ yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
“Jangan kita provokasi tetapi kita adakan dialog dan bukan diadakan perdebatan melalui media massa, ‘polimik’ yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan beberapa agama dalam negara ini.
“Dan kerajaan pernah menganjur melalui IKIM, dalam isu kalimah Allah dulu, saya hadir sendiri dan melibatkan kalangan akademik, kita bincang. Itu lebih baik. Cara berilmu dan bukan lepas tangan begitu sahaja,” ujarnya.
Perasmian Sidang Dun Terengganu telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Yang Teramat Mulia, Tengku Sri Bendahara Raja.
0 comments:
Catat Ulasan