Dato’ Ku ucap takziah…


KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar bergegas ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, sebaik sahaja menerima berita kematian seorang mangsa lemas di Pantai Pandak, Chendering, 12 Jun lalu.

Mangsa, Vijaya Varma a/l Krisnhnan, 47, dari Seremban Negeri Sembilan yang disahkan meninggal dunia akibat mati lemas kira-kira jam 1.00 petang, 11 Jun lalu di laut pantai Chendering.

Mendiang Vijaya meninggalkan seorang balu serta tiga orang anak berusia lima hingga 14 tahun.

Adik mendiang iaitu John Moses, 46, berkata abangnya (Vijaya) mati lemas ketika mandi di laut Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu.

Menurutnya, mendiang Vijaya datang bercuti ke Terengganu dengan membawa bersama seorang anak lelaki berusia lima tahun.

“Dia (Vijaya) pandai berenang dan sudah biasa mandi di laut dan sungai. Saya pun tidak tahu macam mana boleh ‘sangkut’ (lemas) di pantai ini.

“Kami ucap terima kasihlah kepada pihak pengurusan hospital (HSNZ) dan Majlis Ugama Hindu Terengganu,” ujarnya ketika ditemui di HSNZ.

Sementara itu, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Vijaya Varma serta mengharapkan banyak bersabar.

“Saya ucap takziah kepada isteri, anak-anak dan ahli keluarga mendiang Vijaya Varma yang disahkan mati lemas di laut Pantai Pandak, Chendering.

“Saya harap ahli keluarga mendiang dapat bersabar dan terima takdir (kematian) ini dengan tenang,” ujarnya.

Justeru itu, beliau mengingatkan orang ramai dan pelancong luar agar berhati-hati ketika mandi laut serta bermain di tepi pantai tersebut.

Manakala, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr. Balachandran turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Vijaya Varma.

Katanya, hidup dan mati adalah ketentuan Tuhan yang tidak ada siapa sangka boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Kami dari DHPP Terengganu ucap takziahlah kepada ahli keluarga mendiang (Vijaya Varma) yang kehilangan orang tersayang.

“Ucapan terima kasih juga kepada pihak Majlis Ugama Hindu Terengganu yang membantu menguruskan jenazah mendiang di HSNZ ini hingga selesai,” ujarnya.

Hadir sama menziarahi keluarga mendiang, wakil Indian Assouation Kuala Terengganu iaitu Encik Harry dan Encik Holey di bilik pengurusan mayat Unit Forensik HSNZ, Kuala Terengganu.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top