Sekali pun, program itu diberi nafas baru atas nama Karnival Sukan Pantai dan Kebudayaan 2011 tetapi hakikatnya bersifat maksiat serta melalaikan yang diadakan pada bulan Rejab ini.
Mantan Timbalan Pesuruhjaya (I) PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik mendakwa Umno dan kerajaan BN Terengganu mahu menghidupkan semula budaya “khurafat” di negeri ini.
Ini kerana, katanya berdasarkan ucapan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri yang mahukan program karnival tersebut dimasukkan dalam kalendar tahunan Kebudayan negeri Terengganu.
“Umno dan kerajaan Barisan Nasional mahu menghidupkan semula budaya ‘khurafat’ dalam pesta “main pantai” yang telah lama ‘berkubur’. Budaya tradisi yang dimaksudkan itu seperti wayang kulit, menora, makyung, ulit mayang.
“Saya membantah keras program seperti ini dan mengajak masyarakat membantah sekeras-kerasnya supaya tidak berlaku lagi perkara bersifat maksiat secara terbuka yang dianjurkan oleh kerajaan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penganjuran Karnival Sukan Pantai dan Kebudayaan 2011 yang diberi nafas baru dari pesta “main pantai” yang terkenal di negeri Terengganu suatu masa dahulu.
Ustaz Abu Bakar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit melahirkan rasa dukacita kerana penganjuran pesta tersebut berlaku dalam kawasan wakil rakyat Umno-BN berstatus ‘ustaz’.
Katanya, program “main pantai” itu berlaku dalam kawasan Adun Tepoh, Mohammad Ramli Nuh dan berjiran dengan Adun Batu Rakit, Karzan Che Mat.
“Malangnya, pula program ini dalam kawasan wakil rakyatnya ‘ustaz’ iaitu Ustaz Muhammad Ramli Nuh (Yang Berhormat) dibuat di pantai Kampung Tanjung Gelam dalam Dun Tepoh.
“Dan kampung yang bermain ini seketariatnya adalah kampung asal di mana tempat Yang Berhormat, Ustaz Kazan Che Mat selaku Exco Agama negeri Terengganu.
“Jadi bagaimana orang yang menjadi wakil rakyat berstatus ustaz pun tidak ‘reti’ (tahu) dan tidak faham apa yang harus diberi kepada masyarakat,” ujarnya.
Menurutnya, penganjur program seumpama itu juga menjadikan anak-anak muda berpoya-poya, leka serta tidak menjaga syariat Islam.
Katanya, pihak penganjur menyajikan dengan hiburan karaoke, dikir barat, wayang kulit serta permainan tidak berfaedah.
“Mereka yang turun berpesta pantai ini sebenarnya tidak mempedulikan dari segi syariat seperti menjaga ibadat, sembahyang lima waktu, cara berpakaian dan pergaulan.
“Saya sendiri pun ada pergi melihat dan meninjau ke tempat program itu untuk melihat suasana. Program-program yang dibuat menjadikan anak-anak muda berpoya-poya dan leka,” jelasnya.
Ustaz Abu Bakar menyifatkan penganjuran program seumpama itu seperti “melacurkan” masyarakat bagi kepentingan politik Umno-BN.
Maka, katanya program ini merupakan suatu penganjuran yang fasik dan sangat buruk kesan kepada masyarakat dan umat Islam.
“Penganjuran ini seumpama “melacurkan” masyarakat supaya leka dan tidak mempedulikan soal agama.
“Budaya bermain dan tidak berfikir. Apa yang disogok oleh Umno dan Barisan Nasional, dia terima. Maka, tidak keterlaluan jika dikatakan program melacurkan masyarakat untuk mengekalkan sokongan kepada Umno-BN pada pilihan raya,” tegasnya.
Menurutnya, parti Islam PAS bekerja keras sejak puluhan tahun lalu bagi menghapuskan amalan ‘khurafat’ dan maksiat di negeri ini.
Katanya, apa yang berlaku di Kampung Tanjung Gelam ini sebaik sahaja masuk bulan Rejab terus dianjurkan pesta “main pantai” yang maksiat selama lima malam.
Sepatutnya, kata beliau pada bulan Rejab ini diprogramkan masyarakat dengan program yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan bukan program maksiat.
Tinjauan di lokasi penganjuran karnival tersebut mendapati berpuluh-puluh buah pondok yang dibina daripada daun kelapa kering didirikan sebagai tempat “bermalam” oleh peserta berkenaan selama lima hari.
Pada sebelah malamnya, diadakan pertandingan karaoke, persembahan dikir barat berbayar, wayang kulit dan sebagainya.
Majlis penutup program tersebut disempurnakan oleh Ketua Umno Bahagaian yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri.
0 comments:
Catat Ulasan