Pesara kerajaan dapat perhatian PAS

KUALA NERUS: PAS telah merealisasikan tema ucapan dasar Muktamar PAS Pusat ke-57 bagi “Membangun Negara Berkebajikan” apabila bersikap prihatin terhadap rakyat yang ditimpa musibah.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah serta rombongannya telah menziarahi mangsa-mangsa kebakaran rumah di Kampung Raja, Tepoh, Kuala Nerus.

Tinjauan dibuat mendapati dua buah rumah berjiran terbabit dengan kebakaran rumah akibat litar pintas yang berlaku pada pertengahan bulan Mei lalu.

Mangsanya, Syed Dol Islam Syed Ali, 56, merupakan pesara Risda yang mempunyai seorang isteri Zalilah Che Rani, 49, serta tujuh orang anak.

Mengimbau kejadian kebakaran tersebut ia disedari oleh isterinya yang ketika itu mahu menunaikan solat Asar di sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan.

Kata Syed Dol, kejadian berlaku begitu pantas hingga gagal menyelamatkan harta benda yang ditaksir kerugian lebih RM300 ribu.

“Saya bersyukur kerana tidak ada kemalangan jiwa berlaku meski pun waktu kejadian berlaku terdapat isteri dan anak-anak di rumah.

“Saya anggap ini (kebakaran) takdir Allah SWT dan kami kena bersabar dengan ujian yang getir ini,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan PAS yang menghulurkan sumbangan meski pun tidak seberapa.

Dimaklumkan bahawa rumah dua tingkat itu mempunyai keluasan 9.5 x 10.4 meter daripada binaan kayu di bahagian atas dan 9.1 x 9.5 meter di bahagian bawah diperbuat daripada batu simen.

Jirannya, Che Wan Sulong Che Wan Ahmad, 62, pula seorang petani yang ketika kejadian berlaku tidak ada di rumah.

“Masa berlaku (kebakaran) itu saya tidak ada di rumah, (ada) di kebun dan dapat lihat asap tebal dari jauh. Rumah saya tidak banyak yang kena (terbakar) dan kerugian sekitar RM3000 sahaja,” ujarnya.

Beliau tinggal di rumah tersebut bersama dua buah keluarga yang berjumlah 9 orang termasuk dan cucu-cucunya.

Sementara itu, Ustaz Abu Bakar yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Tepoh melahirkan rasa simpati terhadap keluarga malang tersebut.

Katanya, PAS amat prihatin dan merakamkan ucapan takziah meski pun tidak berlaku kemalangan jiwa.

“Kita (PAS) sentiasa prihatin dengan masalah rakyat yang ditimpa musibah. Kita harap keluarga ini bersabar dengan ujian Allah SWT.

“PAS sebuah parti Islam yang amat menitik-berat soal kebajikan yang menjadi tuntutan dalam Islam. Ini sesuai dengan tema Muktamar PAS Ke-57 ke arah Membangun Negara Berkebajikan,” jelasnya.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan terhadap mangsa-mangsa kebakaran rumah tersebut di Kampung Raja, Tepoh, baru-baru ini.

Hadir sama mengiringi lawatan tersebut Setiausaha MTD Tepoh, Mohamad Fauzi Muda, Ketua Unit Peti Undi (UPU) Dun Tepoh, Wan Abdullah Lutfi Muhamad, Ketua dan Setiausaha Kebajikan Muslimat Dun Tepoh, Hajah Zainun Ali dan Hasimah Abdullah.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top