Mat Said tolak memorandum rakyat

KUALA TERENGGANU: Wakil penduduk Kampung Banggol Donas yang tanah warisan mereka ‘dirampas’ secara terhormat atas nama pembangunan kecewa dengan tindakan kerajaan negeri Terengganu menolak memorandum rakyat.

Malah, slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan hanya ‘omong-omong’ kosong yang tidak membawa erti, apabila Menteri Besarnya, Dato’ Seri Ahmad Said menolak memorandum rakyat yang dihantar kepada beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Banggol Donas, Salleh Embong amat kecewa kerana Menteri Besar membuat keputusan menolak memorandum Jawatankuasa terbabit sebelum membaca isi kandungannya.

“Saya amat kecewa, saya kecewa kerana YAB Menteri Besar, belum baca dah (sudah) buat keputusan tak boleh ubah, saya amat kecewa sebagai pemimpin kerajaan negeri, tidak sepatutnya membuat keputusan sebelum membaca apa yang terkandung.

“Dia (MB) baca dululah, kalau tak boleh, tak bolehlah. Dia tak perlu buat ‘jump in to conclusion’..tak boleh. Ini bukan rakyat didahulukan, kalau rakyat didahulukan, kami ini rakyat mari (datang) ‘entertaint’ (rai) juga,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said di Lobi U2 Dewan Undangan Negeri (Dun) Wisma Darul Iman, 11 Mei lalu.

Ahmad Said ketika menerima serahan memorandum tersebut menjelaskan kerajaan negeri Terengganu tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana projek jalan tersebut sedang berjalan.

Katanya, kerajaan negeri hanya bertanggungjawab menyediakan kos projek dan berkaitan jajaran adalah dibawah pengurusan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kita (kerajaan) sudah tidak boleh buat apa-apa lagi kerana projek ini telah berjalan dengan kerja-kerja menambung tanah dan sebagainya.

“Jika awal dulu boleh kita tengok dan itu (jajaran) tugas JKR yang tentukan dan kita hanya keluarkan kos projek, sekarang tak boleh buat apa-apa lagi,” ujarnya kepada wakil penduduk tersebut.

Namun begitu, kata Encik Salleh harapan rakyat kepada kerajaan negeri cukup tinggi agar dapat dibuat pengubahsuaian terhadap jajaran yang melibatkan penempatan penduduk.

Katanya, kerajaan wajar mengambilkira tanah warisan orang Melayu yang melibatkan 22 buah rumah penduduk berkenaan.

“Harapan kami (penduduk) kepada YAB Menteri Besar, dia baca dulu baru buat keputusan. Ubah balik (semula) jajaran yang melibatkan penempatan supaya pergi (tukar) kepada kawasan yang tidak ada rumah.

“Kami orang Melayu, kerajaan pun Melayu…jadi kena ambil kiralah. Sebab, ini kampung warisan yang melibatkan 22 buah rumah penduduk,” jelasnya dengan penuh harapan.

Menurutnya, bantahan dan pengaduan pernah diajukan kepada Perdana Menteri, Kementerian Luar Bandar dan Menteri Besar Terengganu sendiri sebelum ini.

Bahkan, katanya aduan pernah dibuat kepada pihak SUHAKAM yang turut mendapat ‘respons’ agar dihentikan sementara projek tersebut.

“Bulan April 2010, saya tulis surat kepada Perdana Menteri. Jabatan Perdana Menteri melalui Setiausaha Sulit Kanan dia hantar kepada Setiausaha Sulit Kanan MB suruh ambil tindakan. Salinan kepada saya tetapi tidak ada tindakan.

“Bulan April 2011 lepas, saya tulis sekali lagi kepada Perdana Menteri. PM jawab surat dan dihantar kepada Kementerian Luar Bandar, salinan kepada saya tetapi tidak kepada MB (Terengganu). Saya tidak tahu apa maksud Perdana Menteri.

“Kita pergi ke SUHAKAM dan dia menerima komplen kita sebab pertama, menganiayai penduduk kampung. Kedua, melanggar peraturan Akta Pengambilan Tanah,” ujarnya.

Salleh turut mendakwa pihak SUHAKAM sendiri telah menulis surat kepada kerajaan negeri (Terengganu) agar menghentikan kerja sementara dan berbincang dengan penduduk kampung.

Beliau menegaskan penduduk kampung terbabit bukan “samseng” yang menolak pembangunan tetapi mahukan perbincangan yang adil.

“Kita (kerajaan) mentadbir negeri untuk rakyat kita bincang dengan rakyat. Kami (penduduk) bukannya orang ‘samseng’…tak ada (bukan). Jika samseng (sudah) lama kita bakar lori dia (pemaju).

“Inikah cara sebuah kerajaan bertindak, dengan orang kampung tidak pernah berjumpa, tidak pernah adakan dialog dengan orang kampung. Kenapa takut hendak jumpa dengan orang kampung. Ingat, kuasa rakyat akan tiba…kita (rakyat) akan menentukan kerajaan,” tegasnya.

Dimaklumkan, Projek Jalan dari Kampung Jeram ke Banggol Tuan Muda melalui Kampung Banggol Dona situ dimiliki oleh Ketua Pemuda Umno Terengganu, Saiful Bahari Baharudin.

Projek “OKU” (Orang Kuat Umno) itu hanya sepanjang 5.6 kilometer tetapi menelan belanja RM226 juta yang dianggap tidak manasabah.

Hadir sama mengiringi penyerahan memorandum tersebut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Fariz Musa, Ketua Cabang PKR Kuala Nerus, Muzafeq Affyulzaifuzan Muhammad, Ketua Wanita PKR Kuala Terengganu, Ruzita Ismail serta beberapa orang penduduk kampung berkenaan.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top