Media BN burukkan imej PAS-Pakatan Rakyat


HULU TERENGGANU: PAS menyifatkan sokongan orang Melayu seakan mahu kembali kepangkuan Umno dan Barisan Nasional (BN) angkara peranan media yang dikuasai kerajaan.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa berkata berdasarkan kajian yang dibuat mendapati berlaku sedikit ‘peralihan’ sokongan orang Melayu kepada Barisan Nasional.

Ini kerana, katanya disebabkan peranan pihak media yang terus-menerus ‘menyerang’ dan memburukkan imej PAS.

“Kita telah buat kajian melalui badan-badan tertentu sama ada oleh badan luar dan oleh parti (PAS) sendiri.

“Kajian mendapati semacam ada sedikit peralihan sokongan orang Melayu yang mahu patah kembali kepada Barisan Nasional.

“Sebabnya, terus-menerus mainan media menyerang kita (PAS) dengan isu-isu untuk memburukkan imej kita. Antaranya, isu kononnya PAS diperalatkan oleh DAP, PAS kuda tunggangan DAP,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Hulu Terengganu Kali Ke-27, di di Dewan Besar Kolej Darul Quran Islamiah (KUDQI) Kubang Lembek, Manir, April lalu.

Namun begitu, katanya peralihan tersebut tidak melibatkan sokongan kaum bukan Islam dan bukan Melayu kembali kepada BN.

Ustaz Nasaruddin yang juga Ahli Parlimen Bachok menegaskan pembahagian kerusi antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat tidak sama sebagaimana dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, yang lalu.

Menurutnya, Pakatan Rakyat hanya ditubuhkan selepas PRU ke-12 dan pembahagian kerusi tersebut adalah agihan sebelum pakatan.

Katanya, formula-formula yang digunakan pada tahun 2008 turut berubah selepas penubuhan Pakatan Rakyat dan juga beberapa pilihan raya kecil yang berlangsung sejak itu.

"Hanya selepas PRU ke-12, barulah tertubuh Pakatan Rakyat, PRU ke-13 merupakan pilihan raya umum yang pertama disertai atas nama Pakatan Rakyat.

"Formula yang digunakan untuk PRU ke-13 tidak akan sama dengan apa yang digunakan dalam PRU ke-12 tahun 2008,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis perasmian tersebut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib, Bendahari PAS Terengganu, Muyiddin Abdul Rashid.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top