PAS cadang tambah buku bina peribadi

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir, Dato’ Harun Taib mencadangkan agar kerajaan memperbanyakkan buku-buku berbentuk ilmiah di perpustakaan awam negeri.

Ini katanya, boleh membina keperibadian rakyat negeri Terengganu melalui buku-buku dan pengarang yang baik.

“Saya lebih tertarik jika pihak kerajaan dapat memperuntukkan kewangan untuk menambahkan buku-buku bacaan yang boleh membina keperibadian rakyat negeri Terengganu.

“Dengan penambahan buku-buku yang bernilai maka ia akan menjadi satu daripada ‘channel’ untuk membantu anak-anak kita mempelajari ilmu pengetahuan dengan secara yakin.

“Insya’Allah, dengan pembacaan yang baik daripada buku-buku yang baik dari pengarang-pengarang yang baik. Maka, tentunya kita dapat membina generasi kita yang akan datang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian membahaskan Enakmen Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (Pindaan) 2011 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-12, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Seharusnya, kata Ustaz Harun bahan-bahan bacaan itu disediakan dengan pelbagai ilmu dan pengarang-pengarang yang terkenal khususnya dari sudut Islam.

Menurutnya, rakyat perlu memahami Islam dari sudut politik, ekonomi, pendidikan dan sosial dengan dibekalkan buku-buku pendidikan.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dun Terengganu mahukan kebebasan berfikir diterapkan di kalangan rakyat di negeri ini.

Katanya, dalam negara yang mengamalkan demokrasi bahan bacaan seperti surat khabar wajar dipelbagaikan.

“Kebebasan berfikir hendaklah disediakan dan surat-surat khabar hendaklah dipelbagaikan.

“Saya dapat faham semasa saya mengunjungi perpustakaan yang surat-surat khabar tidak begitu terbilang. Surat khabar pilihan sahaja yang dipamerkan dan disediakan di perpustakaan kita.

“Sepatutnya, dalam sebuah negara demokrasi surat-surat khabar itu mestilah dipelbagaikan supaya rakyat negeri Terengganu ini dapat mempelbagaikan pandangan, pendapat dan pendirian mereka berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang tepat dan betul,” ujarnya.

Ustaz Harun secara berseloroh menyarankan agar Yang Dipertua Dewan (Speaker) Dato’ Tengku Putera Tengku dan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said membaca akhbar Harakah.

Katanya, dengan hanya membaca akhbar-akhbar harian seperti Utusan Malaysia, Harian Metro dan Berita Harian menyebabkan fikiran tidak begitu berkembang.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top