Ustaz Kassim dalam kenangan (1937-2011)

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Kelab Veteran PAS Terengganu, Ustaz Kasim Ahmad, 74, telah kembali ke rahmatullah pada 19 Mei lalu di rumahnya di Kampung Alor Terbol, Batu 8, Jalan Kelantan, Kuala Terengganu.

Allahyarham disahkan meninggal dunia jam 10.30 pagi dihadapan isteri kedua, Puan Zainab Awang, 41, serta sebahagian dari anak-anaknya setelah diserang penyakit angin ahmar (stroke) hampir sebulan lalu.

Ustaz Kasim yang juga Bendahari Dewan Ulama’ PAS Terengganu meninggalkan dua balu iaitu Puan Noraidah Sulaiman dan Puan Zainab Awang bersama 13 orang anak hasil perkongsian hidup dengan kedua-dua isterinya.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Ustaz Kasim semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT.

Menurutnya, pemergian Allahyarham umpama kehilangan sebutir permata yang begitu bermakna kepada parti dan perjuangan Islam.

Ini kerana, katanya Allahyarham Ustaz Kasim dikenali sebagai seorang pemimpin parti yang sangat komited dan bertanggungjawab dalam membangunkan PAS Terengganu ini.

“Ia (Ustaz Kasim) merupakan kehilangan besar, kehilangan tenaga yang bermanfaat kepada parti (PAS).

“Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu dan kita (PAS) kehilangan tokoh yang amat bermakna,” ujarnya.

Kata Ustaz Harun, Allahyarham banyak menyumbang jasa, berkorban dari segi kewangan, tenaga dan fikiran bagi memastikan PAS terus bergerak maju ke depan menjayakan matlamat parti.

Ketua Penerangan PAS Kuala Nerus, Ustaz Ismail Dagang menyifatkan Allahyarham Ustaz Kasim seorang yang istiqamah dalam perjuangan Islam PAS.

Katanya, kali terakhir beliau bersama dengan Allahyarham ketika menghadiri Mesyuarat Dewan Ulama’ PAS Terengganu pada 1 Mei lalu.

“Dia (Ustaz Kasim) pada saya seorang yang istiqamah dalam perjuangan Islam. Pada 1 Mei lalu, kami sama-sama hadir dalam Mesyuarat Ulama’ PAS Terengganu dan 3 Mei, dia jatuh sakit hingga membawa kematiannya,” ujar Ustaz Ismail dengan sebak.

Menurutnya, Allahyarham Ustaz Kasim terus berada dalam perjuangan PAS sejak diawal usia muda hingga akhir hayat.

Seorang anaknya, Mohd Saiful Islam, 19, berkata pada pagi tersebut Allahyarham kelihatan sihat dan masih boleh makan.

“Pagi itu, ayah kelihatan sihat dan masih boleh makan-minum dan jam 10.00 pagi emak ada beritahu ayah untuk tinggal (ayah) sekejap untuk ke dapur mencuci pakaian dan ayah izinkan.

“Tiba-tiba beberapa minit selepas itu, ayah kelihatan sakit (nazak) yang ibu ada disisi ayah untuk mengajarnya mengucap kalimah syahadah. Kami semua redha pemergian ayah,” jelasnya ketika ditemui di rumahnya.

Jenazah Allahyarham dimandikan di rumahnya jam 3.00 petang dan disembahyangkan oleh 1000 para jemaah di Masjid at-Taqwa, Batu Enam selepas solat asar yang diimamkan oleh Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Husin Awang.

Allahyarham Ustaz Kasim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Che Limah, Batu Enam, pada 19 Mei lalu.

Mengimbas kembali sejarah penglibatan beliau diarena politik PAS bermula tahun 1958 secara rasminya melalui PAS Cawangan Pekan, Pahang.

Ustaz Kasim dilahirkan pada 11 September 1937 di Kuala Rompin, Pahang. Anak sulung dari enam adik-beradik. Bapanya, Ahmad Idrus atau dikenali “Che Mat JP” sangat dikenali ramai. Ibu allahyarham pula bernama Fatimah Sulaiman.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Rompin, Pahang. Kemudian melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Menengah Agama Mersing dan Sekolah Menengah Agama Al-Attas, Johor Bharu. Pada tahun 1958, beliau berjaya memasuki Kolej Islam Kelang.

Selepas tamat pengajiannya, beliau bertugas sebagai guru agama di Pahang sebelum berhijrah ke Terengganu.

Ketika bertugas di Dungun, Ustaz Kasim pernah berada dalam Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Kawasan Dungun dan dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Dungun dalam usianya 20-an ketika itu.

Pada tahun 1966, Ustaz Kasim telah ditukarkan ke sebuah sekolah di Hulu Terengganu. Namun, beliau masih bergiat aktif dalam politik serta istiqamah dalam perjuangan PAS. Bahkan, beliau pernah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu.

Setahun kemudian, allahyarham Ustaz Kasim ditukar sekali lagi ke Marang. Apabila Marang dijadikan sebagai kawasan Parlimen yang baru, beliau turut memindahkan keahliannya ke kawasan Parlimen Marang.

Ustaz Kasim juga pernah menerajui PAS Kawasan Marang sebagai Yang Dipertuanya. Antara jawatan penting yang pernah diamanahkan kepada beliau iaitu Pesuruhjaya PAS Terengganu dari tahun 1971 hingga 1974.

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Bendahari PAS Terengganu, Ketua Penerangan PAS negeri, Yang Dipertua PAS Dungun, Hulu Terengganu dan Marang.

Allahyarham Ustaz Kasim juga pernah menjadi wakil rakyat PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Marang pada tahun 1969. Beliau memperolehi sebanyak 3,775 undi menewaskan Abdullah Haji Mohamad dari Perikatan dengan majoriti 1,075 undi.

Apabila berlaku Kerajaan Campuran antara PAS-Perikatan tahun 1972, Ustaz Kasim yang juga Adun Marang ketika itu dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Campuran Negeri Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1974, beliau berjaya mempertahankan kerusi Dun Marang tetapi atas tiket Barisan Nasional (BN) apabila PAS menyertai BN pada tahun tersebut. Beliau menang bersama lapan orang lagi calon BN dari parti PAS di kerusi Dun masing-masing.

Allahyarham Ustaz Kasim turut bertanding dalam pilihan raya umum lain tahun 1978, 1982, 1986 dan akhir sekali 1990.

Prinsip perjuangan semasa hayatnya, “Berpegang teguh pada aqidah. Perjuangan tanpa aqidah tidak dapat bertahan dan mungkin gugur di tengah jalan” ujarnya ketika menjadi YDP PAS Marang.

Selain itu, beliau juga merupakan Bendahari Pembangunan Ma’ahad Darul Quran (MDQ) Rusila dan Pengerusi Koperasi Insaf Negeri Terengganu (KoINSAF).

Allahyarham mula mendirikan rumahtangga pada tahun 1959 bersama isteri pertamanya Puan Noraidah Sulaiman yang juga seorang guru agama. Hasil perkahwinan tersebut dikurniakan lapan orang anak dengan tiga lelaki dan lima perempuan.

Pada tahun 1990, beliau berkahwin pula dengan Puan Zainab Awang dan dikurniakan cahaya mata seramai lima orang iaitu dua lelaki dan tiga perempuan. Kesemua anak-anaknya berjaya dalam kerjaya masing-masing seperti peguam, pendidik dan usahawan.

Antara pimpinan PAS yang menziarahi jenazah Allahyarham Ustaz Kasim di rumahnya iaitu bekas Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ketua Muslimat PAS Terengganu dan Setiausahanya, Safinah Jusoh dan Raja Endun Raja Abdul Rahman, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr B.Chandran dan Ketua Penerangan PAS Kuala Nerus, Ustaz Ismail Dagang.

Manakala, hampir semua pimpinan PAS negeri dan kawasan hadir ketika solat jenazah Allahyarham Ustaz Kasim di Masjid at-Taqwa kecuali Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berada di Kedah.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top