Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata isu mutakhir ini mengenai Kristian agama rasmi cukup bahaya yang boleh mencetus isu perkauman.
Menurutnya, laporan seumpama itu sengaja dilakukan bertujuan membakar semangat orang Melayu Islam dengan isu negara Kristian.
Malah, katanya ini suatu bentuk pemberitaan yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab serta memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum.
“Kita lihat hari ini dimainkan isu Kristian hendak dijadikan agama rasmi. Ini cukup bahaya yang boleh mencetuskan sentimen perkauman dalam negara berbilang kaum.
“Ini (laporan) berita yang tidak amanah, tidak bertanggungjawab dan boleh memecah-belahkan masyarakat.
“Seandainya ada mana-mana pihak, mana-mana kelompok, mana-mana parti atau pihak tertentu yang mahu jadikan Malaysia sebagai Negara Kristian. Kitalah (PAS) antara orang pertama yang akan mempertahankan kedaulatan Islam dan masa depan orang Melayu,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan titah ucapan Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Bendahara Raja, Tengku Mustafa Kamel Sultan Mahmud pada Persidangan Yang Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu Ke-12, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Namun begitu, katanya jika isu tersebut sengaja ‘dimain’ dan ‘diapi-apikan’ bagi kepentingan politik sempit, ia adalah suatu yang amat malang bagi masa depan negara.
0 comments:
Catat Ulasan