KUALA TERENGGANU: Negara menghadapi krisis keyakinan yang “parah” sehingga rakyat sudah tidak mempercayai kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini.
Ahli Dewan Undngan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut berkata rakyat hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap cara urus-tadbir pemimpin negeri dan negara.
Malah, katanya Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri telah hilang ‘integriti’ serta ‘reputasi’ dalam menyelesaikan masalah ekonomi negara dan negeri.
“Kita menghadapi satu krisis keyakinan yang parah. Rakyat sudah tidak yakin dan hilang kepercayaan terhadap pemimpin kerajaan dan cara pemimpin urus tadbir negeri.
“Mereka hilang keyakinan terhadap cara pemimpin menyelesaikan masalah ekonomi negara dan negeri.
“Rakyat hendak yakin macam mana, Perdana Menteri (Najib) sendiri boleh ‘pelawok’ (bohong) dan cakap menipu dalam isu royalti,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahas titah ucapan Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Bendahara Raja, Tengku Mustafa Kamel Sultan Mahmud pada Persidangan Yang Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu Ke-12, di Wisma Darul Iman, 10 Mei lalu.
Menurutnya, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah berjanji akan menyerah kembali hak royalti minyak Terengganu.
Bahkan, Dato’ Seri Najib yang ketika itu Timbalan PM dan Menteri Kewangan pernah menyerahkan ‘mod cek’ (replika) berjumlah RM408.6 juta kepada Menteri Besar Terengganu.
“Najib sewaktu dia jadi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan waktu itu, mari (datang) berkempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu.
“Pada 13 Disember 2008, di Stadium Negeri dan buat satu majlis penyerahan royalti ‘mod cek’ separuh kedua kepada Menteri Besar Terengganu berjumlah RM408.6 juta.
“Itu (mod cek) RM408.6 juta yang diterima oleh Ahmad (Menteri Besar), itu pun tipu. Ketua Audit Negara dalam laporannya mengatakan bahawa itu ialah baki bayaran ‘dana khas’ untuk tahun 2007,” jelasnya.
Katanya, fakta tersebut yang tidak boleh dinafikan sekali pun dengan menggunakan slogan “gagasan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan”.
Hakikatnya, kata Abdul Wahid gagasan tersebut merupakan cerita lama yang dikitar, dikisar dan ditayangkan semula.
“Hilang rugi duit adalah suatu yang tidak baik tetapi hilang integriti dan reputasi adalah lebih parah.
“Krisis yang berlaku sekarang ini dan dipersoalkan oleh rakyat walau pun kita bercakap soal slogan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan,” ujarnya.
Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu berlangsung selama empat hari bermula 9 hingga 12 Mei 2011.
0 comments:
Catat Ulasan