Pilihlah cara damai…

KUALA NERUS: PAS mengajak rakyat membuat perubahan secara damai melalui jalan demokrasi dengan menyertai pilihan raya yang diadakan di negara ini.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan Islam menyuruh memilih cara damai selagi mempunyai saluran tersebut.

Sebab itu, katanya para ulama’ dan pendokong gerakan Islam dalam PAS memilih jalan pilihan raya bagi berdepan dengan orang Islam yang jahil.

“Islam menyuruh kita memilih cara damai selagi ada cara damai. Jika tidak ada cara damai barulah dengan cara perang. Kalau ada cara damai, pilih cara damai dulu.

“Kita pilih demokrasi, kita pilih pilihan raya kerana kita bukan berdepan dengan orang musyrikin kafir yang lawan (menentang) ‘totok’ (kekerasan),” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Gerak-kerja Pilihan Raya Peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Takir, di Markaz Tarbiyyah PAS Dun Seberang Takir, dekat sini, baru-baru ini.

Dato’ Seri Abdul Hadi menjelaskan PAS berhadapan dengan golongan Islam yang jahil dengan agamanya sendiri.

Meski pun, katanya di kalangan orang Islam tersebut melakukan ibadah solat, puasa dan menunaikan haji yang terdapat dalam ajaran Islam.

“Kita berdepan dengan orang Islam yang jahil, orang Islam yang tidak tahu, orang Islam yang tidak faham. Dia Islam, sembahyang macam kita, puasa macam kita, pergi umrah acap kali dari kita kerana dia ‘pitis’ (wang) banyak tetapi tidak faham, dia tidak ‘reti’ (tahu) sungguh.

“Jangan kita berkasar, jangan ingat orang reti (tahu) macam kita belaka. Mereka adalah anak-beranak kita, keluarga kita, sebangsa dengan kita. Mereka mengaku Islam tetapi tidak faham. Nabi (Muhamad) mengajar pujuk adalah yang pertama,” ujarnya.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa kemerdekaan negara telah diatur oleh penjajah melalui anak didiknya.

Katanya, kemerdekaan yang diperolehi oleh pemimpin Umno itu adalah dengan cara yang mudah serta terancang.

“Mereka (penjajah) mengatur supaya kemerdekaan itu diberi kepada anak-anak negeri yang dilatih, dididik dan diajar oleh mereka dengan fahaman mereka.

“Mereka (pemimpin) yang dilantik jadi ketua negara selepas merdeka ialah orang yang berkhidmat dengan penjajah melalui parti-parti kebangsaan seperti Umno.

“Umno menerima kemerdekaan yang diserah oleh British bukan dengan perjuangan menentang British, bukan dengan jihad.

“Kemerdekaan yang diserah dengan ‘dulang emas’ dengan mudah supaya penjajah balik tetapi pemerintahan negara bukan mengikut hukum Islam,” jelas Ustaz Abdul Hadi di hadapan lebih 300 petugas parti.

Menurutnya, di Tanah Melayu ini pemimpin-pemimpin Islam yang berjuang menentang penjajah masuk penjara, dihukum gantung serta dibuang negeri.

Justeru itu, Ustaz Abdul Hadi mengajak ahli dan pendokong PAS berjuang dengan penuh yakin kerana parti ini ditubuhkan oleh para ulama’ yang mendokong gerakan Islam.

Hadir sama pada majlis tersebut Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Shukrimun Shamsudin, Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang dan Timbalan Ketua PAS Kuala Nerus, Dr Alias Razak.

Pada gimik pelancaran tersebut seramai enam wakil Unit Peti Undi (UPU) Dun Seberang Takir menerima penyerahan bendera parti oleh Dato’ Seri Abdul Hadi serta melafaz ikrar dihadapan Presiden PAS.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top