Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing mendakwa Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengkhianati amanah rakyat dan wajar dijatuhkan dalam pilihan raya akan datang.
Katanya, rakyat mempunyai kuasa dan senario tersebut perlu dikekalkan hingga ke Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Mana-mana parti yang mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat, rakyat boleh tukar dan jatuhkan kerajaan itu dengan undi dalam pilihan raya. Kita harus kekal senario politik ini hingga pilihan raya akan datang,” tegasnya.
Beliau berkata demikian pada Ceramah Pakatan Rakyat di Kampung Maras, Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit, Setiu, baru-baru ini.
Menurutnya, bagi mengekalkan kuasa pemerintahan Umno-BN menggunakan isu perkauman menakut-nakutkan rakyat di negara ini.
“Umno-BN akan terus menggunakan isu perkauman untuk menakut-nakutkan masyarakat di Malaysia ini untuk memecah-belahkan masyarakat di negara ini.
“Mereka (Umno) ugut masyarakat Melayu jika Pakatan Rakyat memerintah Melayu akan kehilangan kuasa politik dan ekonomi. Ini satu tuduhan yang tidak berasas.
“MCA, MIC dan Gerakan pula mengugut masyarakat Cina dan India, jika sokong PAS dan Pakatan Rakyat menang dan memerintah Putrajaya (Malaysia), orang Cina dan India akan kena potong sini, potong sana,” ujarnya.
Katanya, jika Umno-BN benar-benar jujur dan ikhlas selama lebih 50 tahun memerintah masyarakat Melayu sudah lama hidup senang.
Malah, kata beliau mungkin 30 tahun dahulu telah senang jika pemimpin Umno jujur dan ikhlas untuk membantu masyarakat Melayu.
“Tetapi telah terbukti mereka (pemimpin) hanya membantu kroni-kroni mereka (Umno) jadi kaya-raya.
“Sedangkan, majoriti masyarakat Melayu masih berada ditahap kemiskinan dan menderita kerana Barisan Nasional khianat amanah yang diberi oleh rakyat Malaysia dalam pilihan raya,” jelasnya.
Menurutnya, telah tiba masa rakyat bangkit bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan “gergasi” Umno-BN dalam pilihan raya akan datang.
Katanya, jika rakyat terus memberikan kuasa politik kepada pemimpin Umno-BN rakyat akan terus menderita dengan kenaikan harga barang sepanjang masa.
“Rata-rata rakyat mengeluh, hidup hari ini susah kerana harga barang naik ‘sokmo’. Harga gula sudah tiga kali naik, harga gas dua kali naik, harga minyak petrol juga sudah naik dua tiga kali. Semua harga barangan lain naik dari masa ke semasa.
“Ini sudah terbukti pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional gagal dalam tanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir kewangan negara kita pada hari ini.
“Rakyat merasa derita, kerajaan BN gagal dalam usaha meningkat taraf hidup rakyat di negeri Terengganu walau pun kaya dengan hasil minyak dan gas,” ujarnya.
Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafie dari Parti KeADILan Rakyat (PKR) Selangor, Yang Dipertua PAS Setiu, Ustaz Mohd Pauzi Muda dan Timbalan Pengerusi, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Balachandran.
0 comments:
Catat Ulasan