Nyanyian lagu kuno Umno

KUALA TERENGGANU: PAS mengulangi penegasannya menolak “lagu” lama yang dimainkan semula oleh Umno dan Barisan Nasional mengajak PAS menyertai parti itu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan berkata iklim politik negara sekali lagi disogokkan oleh Umno-BN dengan lagu lama tersebut.

Malah, katanya PAS telah ‘muak’ (jemu) dengan lagu lama itu kononnya atas nama perpaduan Melayu bersama Umno-BN.

“Iklim politik negara kita hari ini sekali lagi disogok oleh Umno dan Barisan Nasional dengan lagu ‘lama’ yang telah didendangkan.

“Kita pun telah ‘muak’ mendengarkan lagu itu. Di mana Umno telah mengajak supaya PAS menyertai Barisan Nasional kerana perpaduan Melayu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis Ceramah Isu Semasa di perkarangan Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu, pada bulan Mei lalu.

Menurutnya, pemimpin Umno memujuk PAS keluar dari Pakatan Rakyat kerana tidak ada masa depan bersama gabungan tersebut.

Bahkan, katanya PAS diingatkan bahawa DAP sebuah parti yang menolak dan menentang Islam yang diperjuangkan oleh parti ini.

“PAS dituduh telah menggadaikan prinsip perjuangan Islam setelah berkawan dengan DAP. PAS tidak ada masa depan bersama dengan Pakatan Rakyat. Sebab, DAP menolak dan menentang Islam,” ujarnya mengulangi tuduhan Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Tun Razak di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Hakikatnya, kata Ustaz Nasaruddin kerjasama PAS, DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) boleh menyaingi kekuatan BN.

Menurutnya, Pakatan Rakyat mampu menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.

“Apabila PAS, DAP dan PKR bersama dalam Pakatan Rakyat ia menjadi satu parti yang kuat dan boleh menyaingi BN. Inilah yang memungkinkan BN tumbang dalam pilihan raya ke-13 akan datang, Insya’Allah,” ujarnya.

Kata beliau, paling tidak pun BN menghadapi kesukaran untuk mengembalikan semula 2/3 majoritinya yang telah hilang daripada sebagaimana tahun 2008, lalu.

Menurutnya, Pakatan Rakyat mesti dipecah-belahkan dan PAS mesti dikeluarkan dari pakatan tersebut.

Selain itu, katanya antara parti PAS, PKR dan DAP mesti dilaga-lagakan agar tidak wujud kerjasama yang baik dalam Pakatan Rakyat.

“Caranya, mesti pecah-belahkan Pakatan Rakyat. Dia (BN) mesti keluarkan PAS dari Pakatan Rakyat, dia mesti lagakan PAS dengan KeADILan (PKR), dia mesti lagakan PAS dengan DAP,” ujarnya.

Ustaz Nasaruddin menegaskan PAS tidak menolak perpaduan keran Islam mengajar bersatu-padu tetapi mestikan atas dasar dan prinsip perjuangan Islam.

Katanya, syarat pertama yang mesti dipenuhi bagi menjalinkan perpaduan atas dasar pegangan al-Quran dan Islam.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top