Waris Sultan Zainal Abidin III tuntut harta pusaka

KUALA TERENGGANU: Setelah 66 tahun terpendam dalam khazanah negeri Terengganu, akhirnya perihal “Harta Pusaka Cap Zuriat Sungai Mengkuang” terbongkar.

Ini berikutan, penemuan dokumen pemilikan dan penyerahan yang dibuat secara “muslihat” oleh pihak Inggeris pada tahun 1923 telah diperolehi secara rasmi oleh pewaris yang berhak ke atas harta pusaka tersebut.

Wakil pewarisnya, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ibni Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata tuntutan harta pusaka ini berkait dengan sejarah Sultan Zainal Abidin III.

Katanya, seramai 350 orang pewaris Tuanku Sultan Zainal Abidin III menuntut agar pihak berwajib mengembalikan semula hak kepada mereka yang berhak mengikut hukum syarak (faraid).

“Kami dari waris keturunan Sultan Zainal Abidin III menuntut hak ke atas tanah seluas 13,500 ekar daripada bahagian asal 27,000 ekar mengikut pembahagian dari hukum syarak.

“Kami (pewaris) mahu supaya harta pusaka ini diletak atas landasan hokum syarak dari segi status sebagai harta pusaka (left unadministered) yang difaraid dan ditarekahkan kepada waris-waris berhak.

“Kita minta Mahkamah Syariah istiharkan 13,500 ekar itu adalah hak pewaris Sultan Zainal Abidin III mengikut pembahagian pusaka hukum (faraid) Islam,” jelasnya.

Menurutnya, pihak berwajib boleh menggantikan tanah lain seluas tuntutan tersebut setelah mendapati tanah asal itu telah dijadikan kawasan ladang kelapa sawit Felda.

Ini kerana, kata Tengku Ibrahim catatan sejarah pada tahun 1906 (2 Muharram 1324 Hijrah), Sultan Zainal Abidin III telah memberi dan menyerahkan sekeping tanah seluas 27,000 ekar kepada puterinya Yang Amat Mulia Tengku Besar Hafsah.

Menurutnya, tanah tersebut terletak di Sungai Mengkuang Cerul di daerah Kemaman sebagai pemberian dan serahan yang sah kepada anakanda baginda serta waris-waris keturunan zuriat selama-lamanya dikenali sebagai tanah ‘Cap Zuriat Sungai Mengkuang’.

“Pada tahun 1916 bersamaan 1334 Hijrah, YAM Tengku Besar Hafsah telah mangkat dan meninggalkan seorang puteri bernama Yang Mulia Tengku Embong Fatimah Tengku Besar Omar yang pada ketika itu berusia tiga tahun.

“Turut ditinggalkan adalah harta-harta almarhumah yang menjadi pusaka termasuk tanah ‘Cap Zuriat Sungai Mengkuang’ tidak terusik dan ditarekahkan kepada waris-waris berhak sejak kemangkatan Tengku Besar Hafsah,” ujarnya.

Dimaklumkan, pada 21 Julai 1923, seorang bernama YM Tengku Seri Bijaya Raja kononnya bertindak sebagai ‘kuasa’ bagi pihak YM Tengku Embong Fatimah telah menyerahkan balik Cap Zuriat Sungai Mengkuang kepada kerajaan Terengganu secara tidak sah.

Ini kerana, kata Tengku Ibrahim penyerahan balik tanah tersebut tanpa pengetahuan Tengku Embong Fatimah yang ketika itu berusia 10 tahun serta waris-warisnya yang berhak.

“Tindakan Tengku Seri Bijaya Raja itu tidak sah kerana tanpa watikah perlantikan yang sah sebagai ‘kuasa’ bagi pihak Tengku Embong Fatimah.

“Kes (tindakan) ini terbongkar apabila dokumen pemilikan dan penyerahan diperolehi secara rasmi oleh salah seorang pewaris yang berhak pada tahun 1989 iaitu kira-kira 73 tahun sejak kemangkatan YAM Tengku Besar Hafsah dan 66 tahun sejak peristiwa penyerahan balik kepada kerajaan Terengganu,” jelasnya.

Initiatif menuntut ini dimulakan oleh YM Tengku Ahmad iaitu putera kepada YM Tengku Embong Fatimah dan pada tahun 2003, initiatif tuntutan tersebut diteruskan oleh YAM Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim.

Perbicaraan kes akan disambung semula pada 18 Mei 2011 ini dihadapan Hakim Mahkamah Syariah, Yang Arif Rosdi Harun melalui Tetuan Zamani & Co.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top