KEMAMAN: Kekalahan PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 di Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai ditangan Barisan Nasional (BN) kerana kelebihan parti Umno di “kubu” kuatnya Paya Berenjut.
Pada pilihan raya 2008, Calon PAS, Hanafiah Mat gagal merampas kerusi Dun Chukai dari penyandangnya, Dato’ Mohamed Awang Tera yang hanya kelebihan dibawah 700 undi sahaja.
Bedah siasat pilihan raya mendapati Kampung Paya Berenjut merupakan antara beberapa “kubu” kuat Umno yang terdiri di kalangan nelayan yang berasal dari Kuala Kemaman.
Pengundi di kampung berkenaan seramai 1759 orang dan PAS kalah dengan 94 undi sahaja. Manakala, culaan terakhir yang dilakukan mendapati PAS bakal menang dengan kelebihan 3 undi.
Hari ini, kubu tersebut telah berjaya “dipecahkan” dan senario pergolakan ‘dalaman’ Umno-BN yang tidak ada kesudahan bakal memberi harapan serta peluang kepada PAS dalam pilihan raya akan datang.
Sehubungan itu, Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai telah mengadakan program al-Falah di Unit Peti Undi (UPU) Banggol selepas UPU Pengkalan Pandang, baru-baru ini.
Awang dimaklumkan, program bermula dengan bacaan Ya’asin oleh kumpulan Muslimat PAS di rumah-rumah terpilih secara berkelompok serta tazkirah maghrib oleh pendakwah bebas, Ustaz Ismail Dagang.
Aktiviti pemuda pula diadakan perlawanan Futsal Muhibbah yang disertai oleh 18 pasukan bertanding termasuk di kalangan pemuda Umno setempat.
Pasukan futsal Arena Berenjut dinobatkan sebagai johan, di tempat kedua kumpulan Pemuda Hijau dan Peteh di tempat ketiga.
Pada satu majlis penyampaian sumbangan, seramai 80 orang penerima fakir miskin dan 20 orang anak yatim menerima bahagian masing-masing berupa beras dan keperluan dapur serta wang tunai kepada anak-anak yatim tersebut.
Disamping itu, diadakan juga jamuan rakyat. Manakala, rombongan MTD dan Muslimat mengadakan lawatan ziarah ke rumah orang sakit di kampung berkenaan.
Seorang warga emas, Omar Mohamad, 65, yang mengidap sakit ghout kronik sehingga tidak mampu berjalan seperti biasa.
Beliau menangis ketika Hanafiah melawatnya kerana sedih tidak dapat memberi sumbangan khidmat bekerja untuk jamaah kerana keuzuran.
“Jika boleh, sebelum saya meninggal nok tengok Islam menang. Setiap kali selepas sembahyang, saya selalu doakan supaya Islam (PAS) menang.
“Saya rasa sedih sebab lama tidak dapat bersama dengan jamaah (PAS) di luar untuk buat kerja-kerja parti,” ujarnya dengan nada sedih.
Katanya, bukan kerana Islam tidak baik tetapi kerana orang Melayu “degil” dan menolak perjuangan Islam.
Bekas Pegawai Bank, Wan Lokman Wan Yahya, 64, menghadapi masalah glaukoma mata akibat kerosakan saraf optik yang gagal berfungsi untuk membawa pesan-pesan cahaya dari mata ke otak.
Menurutnya, kedua-dua matanya gagal berfungsi secara normal sejak tahun 2001 dan diistilahkan ‘buta’ tiga tahun lalu.
“Masalah mata saya ini telah lama sejak tahun 2001 lagi, glaukoma mata rosak dan makin teruk sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.
“Isteri saya, Rafikah Abdullah pula mengidap kanser payu dara dan ketumbuhan dalam perut yang dikesan sejak lima bulan lalu,” ujar ketika ditemui di rumahnya.
Kata Lokman, kunjungan pimpinan masyarakat PAS melawat dan menziarahi keluarganya amat dihargai dengan ucapan terima kasih.
Turut serta dalam program ziarah tersebut Ketua Muslimat PAS Cawangan Paya Berenjut, Fatimah Juaris dan Ketua Muslimat Cawangan PAS Batu 3, Wan Noraini Wan Yahya.
0 comments:
Catat Ulasan