Abang Man Janggut Dalam Kenangan

KUALA TERENGGANU: PAS Cawangan Mengabang Tengah dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Burok khususnya menyifatkan pemergian seorang veteran PAS, Haji Osman Ngah, 74, sebagai suatu kehilangan besar kepada parti.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Abang Man’ disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8.00 malam dan sempat menunaikan solat maghrib meski pun dalam keadaan keuzurannya.

Beliau merupakan bekas Imam Masjid Mengabang Tengah sejak lebih 50 tahun serta pernah memegang beberapa jawatan penting lain yang disegani dalam masyarakat baik kawan dan lawannya.

Difahamkan, allahyarham Abang Man juga merupakan pengasas PAS cawangan Mengabang Tengah, pengerusi Pasti Al-Khausar dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) ketika kerajaan PAS Terengganu 1999-2004.

Beliau meninggalkan seorang balu, Puan Aishah Mohd, 69, bersama 13 orang anak, 20 cucu serta seorang cicit.

Anaknya, Mohd Zilkarnain, 34, berkata allahyarham deman sejak lebih seminggu lalu serta mengidap sakit ghout dan kencing manis.

Katanya, seperti biasa selepas solat maghrib kebiasaan allahyarham bapa turut membaca al-Quran bersama anak-beranak.

“Ayah (Osman) deman lebih seminggu selain ada penyakit ghout dan kencing manis. Pada malam itu selepas solat maghrib sakitnya semakin menjadi dan emak (Aishah) sempat ajar ayah mengucap hingga akhir hayatnya,” jelas Zilkarnain.

Menurutnya, sebelum allahyarham meninggal dunia semua anak-anak yang berada di Melaka, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sempat pulang.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dato’ Wan Abdul Mutalib Embong turut menyifatkan pemergian allahyarham Haji Osman suatu kehilangan besar kepada perjuangan Islam.

Kata beliau mempunyai kenangan paling berharga dengan allahyarham abang Man yang disifatkan sebagai “abang” dalam perjuangan PAS.

“Dia (Osman) orang lama dalam PAS dan semasa saya diminta balik ke Terengganu supaya cergas dalam politik, allahyarham ‘Pok Su Daud’ iaitu bekas Menteri Besar kerajaan PAS Terengganu meminta saya mencari ‘abang Man’ ini.

“Orang yang boleh buat rujukan dalam PAS adalah ‘abang Man’. Alhamdulillah, sejak dari itu dia bersama-sama dengan ‘ayah wan’ (saya).

“Dia menjadi Ketua cawangan PAS Mengabang Tengah hinggalah dia benar-benar uzur dan digantikan orang lain, jelasnya ketika ditemui selepas pengkebumian allahyarham Osman.

Selain itu, kata Dato’ Wan Mutalib allahyarham Osman juga mempunyai ilmu agama yang boleh membimbing masyarkat setempat.

Menurutnya, pengorbanan allahyarham dalam perjuangan Islam cukup besar bersama isteri dan ahli keluarga.

“Kelebihan yang ada pada dia (Osman), ilmu yang membimbing masyarakat setempat dengan ilmu agama.

“Dalam perjuangan PAS ini tidak pernah dia bermasam muka atau tunjuk keletihan dengan kerja-kerja parti, bukan dia sahaja tetapi seluruh keluarganya bersama dengan PAS. Dia jadi pemimpin (Imam) masjid lebih 50 tahun,” ujarnya.

Justeru itu, kata beliau Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah dan setinggi penghormatan kepada allahyarham dan keluarganya.

Jenazah allahyarham disembahyangkan di Masjid Mengabang Tengah, Batu Burok kira-kira jam 10.00 pagi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Burok, Kuala Terengganu.

Antara pimpinan PAS yang menziarahi allahyarham Osman iaitu Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dan Pengerusi DHPP Terengganu, Dr B.Chandran.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top