KUALA TERENGGANU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang dikatakan cekap memerintah negeri telah membuka ‘pekung di dada’ sendiri.
Ini kerana, pelaburan kerajaan negeri ketika dibawah pemerintahan mantan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Idris Jusoh terhadap Taman Tamadun Islam (TTI) bernilai RM249.3 juta langsung tidak membawa pulangannya.
Pelaburan bernilai ratusan juta itu disifatkan oleh pembangkang PAS sebagai pelaburan ‘Pak Pandir’ sahaja.
Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu yang lalu, Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak bertanyakan soalan jumlah pungutan hasil yang diperolehi oleh kerajaan negeri dari Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu mengikut tahun sejak 2008.
Namun begitu, jawapan bertulis yang dikemukakan oleh kerajaan negeri sendiri menjelaskan bahawa tidak pernah memungut hasil dari Taman Tamadun Islam tersebut.
Dr Alias menyifatkan jawapan pihak kerajaan itu sebagai membuka ‘pekung di dada’ sendiri yang selama ini mendakwa pandai memerintah negeri.
Katanya, kerajaan BN Terengganu hanya pandai membazirkan wang rakyat hingga ratusan juta tetapi langsung tidak membawa hasil pulangan.
“Kerajaan negeri tidak pandai memerintah macam ‘Pak Pandir’. Dia (pemimpin) hanya pandai membazirkan wang rakyat sahaja.
“Ratusan juta wang rakyat dibazirkan untuk pelaburan projek Taman Tamadun Islam (TTI) hingga RM250 juta tetapi tidak ada hasil pulangan untuk negeri,” jelasnya.
Malah, beliau diberitahu bahawa bahan-bahan yang digunakan bagi membina Pusat Konvensyen dan Masjid Kristal tidak mengikut spesifikasi asal yang tercatat dalam pelan.
Dr Alias mendakwa kos pembinaan Masjid Kristal itu sahaja sebenarnya tidak lebih RM30 juta, bahkan ada laporan yang menyatakan bahawa kos pembinaan masjid tersebut RM22 juta.
Selain itu, katanya kos pembinaan Pusat Konvensyen adalah RM 9 juta dan Perumahan Khas Imam serta Bilal adalah RM3 juta.
Menurutnya, pembinaan 21 replika yang terdapat dalam kompleks TTI itu dianggarkan tidak melebihi RM1.5 juta setiap satu dengan menjadikan kos keseluruhan RM31.5 juta.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Nerus berkata majoriti rakyat Terengganu menyifatkan pelaburan kerajaan terhadap TTI sebagai satu projek yang membazir.
Ini kerana, katanya kontrovesi kos perbelanjaan yang terlalu tinggi dan tidak munasabah dengan keadaan realiti yang sebenar.
0 comments:
Catat Ulasan