“Terima kasih” orang muda-DPPP

KEMAMAN: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan khusus kepada golongan anak-anak muda yang bersama menyokong perjuangan Islam.

Timbalan Ketuanya, Ustaz Azman Shapawi Abd.Rani berkata hari ini anak-anak muda telah yang menyokong dan bersama dengan PAS.

Katanya, mereka sama-sama menyokong perjuangan Islam setelah melihat kepincangan yang berlaku dalam pemerintahan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Hari ini, anak-anak muda telah menyokong PAS, hari ini pekerja-pekerja kilang memberi sokongan kepada PAS. Hari ini orang yang bukan Islam juga memberi sokongan kepada PAS.

“Terima kasih kepada semua anak-anak muda yang sanggup bersama kita (PAS) dan kami Dewan Pemuda PAS Pusat, Insya’Allah akan bersama dengan pemuda untuk meraikan suatu kejayaan yang dijanjikan oleh Allah SWT,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konsert Keinsafan Malam Kesenian Islam anjuran Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai, di Dataran Surau Haji Muda Geliga, Kuala Kemaman.

Ustaz Azman yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang menegaskan PAS tidak pernah mengubah dasar dan matlamat perjuangan parti.

Malah, katanya pendekatan yang dilakukan lebih terbuka bagi menarik sokongan masyarakat bersama dengan perjuangan Islam.

Menurutnya, dakwah Islam sangat luas dan PAS mempunyai pelbagai cara mengajak serta mendekati rakyat.

“PAS tidak pernah mengubah dasar perjuangan parti, PAS juga tidak pernah mengubah matlamat untuk menegakkan Islam.

“Cuma cara pendekatan yang kita (PAS) buat akhir-akhir ini dengan cara pendekatan yang berbeza untuk menarik masyarakat memberi sokongan kepada perjuangan Islam.

“Ada orang masuk Islam kerana perniagaan, ada orang menyokong perjuangan Islam kerana syarahan, ada orang menyokong perjuangan Islam kerana bacaan dan ada juga orang menyokong perjuangan ini kerana kesenian dan lain-lain lagi,” jelasnya.

Sehubungan itu, kata beliau sokongan masyarakat terhadap PAS menjadi semakin luas setelah mencecah usianya 60 tahun kewujudan parti ini.

“Semua orang bercakap apa yang dibawa oleh PAS. Setelah mereka (rakyat) tengok hampir 60 tahun lebih cara yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) gagal untuk menyelesaikan masalah masyarakat.

“Terutama yang melibatkan orang-orang muda. Hari ini orang-orang muda kena sedar kita sedang berdepan dengan masalah yang begitu banyak dan banyak isu yang dicetuskan sekarang adalah isu yang melibatkan orang muda,” ujarnya.

Menurutnya, dengan perkembangan politik yang berlaku semakin ramai orang menyertai PAS termasuk di kalangan artis dan ahli sukan.

Mudah-mudahan, katanya sokongan anak-anak muda, sumbangan daripada artis-artis, ahli sukan dan semua pihak akan memberi kejayaan kepada PAS dalam pilihan raya akan datang.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top