‘Minor Stroke’ boleh ‘serang’ siapa sahaja


Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir kini dinasihatkan oleh doktor pakar agar ‘berehat’ buat seketikanya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu dimasukkan ke HSNZ pada jam 11.30 pagi Khamis, 7 Januari 2009 lalu yang ‘dipercayai’ akibat serangan ‘Minor Stroke’ (angin ahmar ringan).

Sehubungan itu, beliau dinasihatkan oleh doktor pakar agar ‘berehat’ buat seketika bagi mengembalikan semula kesihatan akibat tekanan darah tinggi yang dialaminya.

Awang diberitahu, Ustaz Harun mengalami tekanan darah tinggi yang berlebihan dan keadaannya stabil serta tidak membimbangkan ahli keluarganya.

Namun begitu, jika dibiarkan tanpa rawatan susulan boleh membawa kepada ‘minor stroke’ (angin ahmar ringan).

Tindakan ‘pantas’ ahli keluarganya mendapatkan rawatan di HSNZ berjaya mengelakkan keadaan dari terkena penyakit tersebut.

“Jika saya banyak berjalan dan kurang rehat tekanan darah naik semula dan saya dinasihatkan oleh doktor supaya berehat dulu di sini (HSNZ),” ujarnya.

Sementara itu, Awang diberitahu oleh anaknya iaitu Mohd Hamdi Harun bahawa tahap kesihatan ayahandanya (Ustaz Harun) semakin baik dan tidak membimbangkan ahli keluarga.

Katanya, tekanan darah tinggi naik akibat pemakanan tidak seimbang, banyak aktiviti parti serta kurang waktu rehat yang mencukupi.

Menurutnya, akibat serangan awal ‘minor stroke’ tersebut kaki dan tangan sebelah kiri ayahanda terasa kebas-kebas.

“Lihat keadaannya (Ustaz Harun) hari (kedua) ini semakin baik dan segar. Ayahanda dinasihatkan oleh doktor supaya banyak berehat dan kurangkan aktiviti buat seketika.

“Ayahanda boleh bangun, makan dan berjalan seperti biasa, Cuma tekanan darah tinggi lebih sikit (naik) dan tidak perlu risaulah, Insya’Allah,” ujarnya ketika ditemui di HSNZ.

Menurutnya, kejadian berlaku pada hari Rabu (7 Januari) selepas menyampaikan kuliah maghrib dan solat isyak di Markaz Tarbiyyah Kubang Lembek kelihatan letih dan kurang bermaya.

Pada hari Khamis, sekitar jam 11.30 pagi selepas mendapat rawatan susulan doktor memberi nasihat agar Ustaz Harun segera mendapatkan rawatan lanjut dan ‘berehat’ di HSNZ.

Awang diberitahu, antara pimpinan PAS yang mengunjunginya di HSNZ iaitu Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ketua Kebajikan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah serta beberapa orang pimpinan negeri lagi.

Selain itu, antara pemimpin Pakatan Rakyat yang turut menziarahinya Pengerusi DAP Terengganu, Encik Ng Chai Hing serta kaum keluarga Ustaz Harun yang terdekat sahaja dibenarkan masuk ke biliknya.

SESUNGGUHNYA,…Penyakit boleh ‘menyerang’ siapa sahaja sama ada seseorang itu beriman kepada Allah SWT atau kufur dengan-Nya (Tuhan). Dan Allah Ta’ala jadikan pelbagai jenis penyakit sebagai ujian kepada hamba-hambaNya yang beriman bagi menguji kesabaran dan ketaqwaan kepada Allah Azzawajalla.

Pengorbanan seseorang pemimpin pula terlalu besar apatah lagi kepada perjuangan Islam bagi menegakkan Syariat-Nya di atas muka bumi ini tertegak dan sebagai penyambung tugas para Nabi-nabi dan Rasul-Nya.

Oleh itu, jangan persiakan masa hidup mu sebelum tiba masa mati, jangan abaikan masa muda mu sebelum tiba masa tua mu, jangan kamu permudahkan masa senang mu sebelum datang masa susah mud an jangan kamu alpa masa sihat mu sebelum tibanya masa sakit mu.

RENUNG-RENUNGLAH DAN FIKIR-FIKIRKAN BERSAMA…Sekian

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top