Bubar saja MCA selesai masalah


PEPATAH Cina ada menyebut… “Ikan Buruk Kepala”… maknanya jika seekor ikan yang sudah buruk di kepalanya membawa erti langsung tidak boleh disimpan lagi, apatah lagi untuk dimakan.

Begitulah, barang kali inilah kata-kata ‘pembayang’ yang sesuai dilabelkan kepada salah satu dari parti kompunan Barisan Nasional (BN) iaitu MCA.

Hari ini, dikhabarkan kepada kita bahawa krisis yang melanda MCA iaitu sebuah parti yang didominasikan oleh masyarakat tionghua di negara ini semakin parah, kronik dan tidak dapat diselamatkan lagi.

Tsunami politik yang melanda MCA itu sejak beberapa bulan lalu dan mula terkesan sejak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 tahun 2008, apabila banyak calon MCA yang bertanding atas tiket BN kecundang.

Timbalan Presidennya, Dato’ Dr Chua Soi Lek yang pernah menghadapi skandal seks DVD lucah di sebuah hotel mengumumkan bahawa parti (MCA) tidak akan dapat mengadakan pemilihan baru dalam masa terdekat.

Alasannya, kerana hanya 13 dari 31 anggota CC yang meletak jawatan sedangkan perlembagaan parti menetapkan dua pertiga anggotanya iaitu 21 anggota CC.

Awang difahamkan, hanya 13 dari 31 anggota CC menghantar surat perletakan jawatan tanpa tarikh dan mereka itu terdiri dari Naib Presidennya, Dato’ Seri Liow Tiong Lai bersama 12 anggotanya.

Bagaimana pun, Dr Chua tidak menolak kemungkinan pemilihan baru diadakan sekiranya lebih ramai anggota CC meletak jawatan dalam tempoh beberapa bulan selepas ini.

"Dalam bahasa mudah, sangat sukar untuk adakan pemilihan baru dalam bulan ini," ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas selama satu jam untuk menghadapi situasi itu di ibu pejabat MCA, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebenarnya, orang tionghua (Cina) termasuk di kalangan ahli-ahli MCA sendiri sangat merasa bosan dan ‘muak’ dengan perkembangan yang berlaku dalam parti tersebut.

Pada pendapat mereka, krisis yang berlaku dan berlarutan hingga sukar diselesaikan secara baik itu kerana masalah kepentingan peribadi masing-masing.

Di kalangan pemimpin-pemimpin MCA yang bertelagah itu, mereka ‘berebut’ dan ‘berbalah’ sesama sendiri kerana jawatan, pangkat dan harta hingga mengabaikan kepentingan ahli dan parti.

“Saya kalau sebut nama MCA dan pemimpin MCA yang ada hari pun rasa hendak termuntah, ‘muak’.

“Saya ahli MCA tetapi tengok perangai dan tingkah laku mereka buat saya cukup marah sekarang.

“Mereka (pemimpin MCA) bukan sayangkan parti dan ahli-ahli tetapi ‘berperang’ kerana hendak pangkat, jawatan dan projek (harta) sahaja,” kata pemimpin MCA bahagian yang enggan disebut namanya.

Masalah tidak akan selesai selagi pemimpin-pemimpin MCA pusat ini mementingkan diri sendiri.

Sementara itu, Awang ada juga cakap-cakap dengan dan sembang-sembang dengan Pengerusi DAP Kuala Terengganu, Encik Ng Chai Hing mengenai perkembangan politik semasa dan pergolakkan dalam MCA.

Encik Ng menyifatkan kemelut dalaman parti MCA semakin kusut dan sukar diselesaikan meski pun diadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang baru.

Menurut beliau rakan-rakannya dalam MCA khususnya di Johor, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu dan Selangor meluahkan perasaan marah, benci dengan perkembangan terbaru partinya.

Katanya, kemarahan di kalangan pimpinan dan ahli pertengahan serta bawahan MCA berada ditahap maksima serta menunggu masa sahaja.

“Jika masih berpanjangan dengan krisis dalaman MCA dan tidak ada perubahan baru masyarakat tionghua akan mengubah pendirian masing-masing,” jelasnya.

Awang diberitahu masyarakat tionghua terutama di kalangan ahli-ahli MCA kini sudah bersedia membuat perubahan serta meninggalkan ‘bahtera’ parti yang bermasalah.

Pada pendapat dan pandangan Encik Ng sendiri kemelut dalaman MCA tidak ada ‘ubatnya’ lagi melainkan ‘dibubarkan’ sahaja parti tersebut.

“Saya berpendapat lebih baik MCA dibubarkan sahaja untuk selesai masalah kerana parti itu telah hilang keyakinan rakyat.

“Rakyat terutama masyarakat tionghua kini sudah beralih arah kepada DAP, PKR dan kepada PAS sendiri melalui Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan,” ujarnya.

Kesimpulannya di sini, Awang melihat ‘peluang’ kepada Pakatan Rakyat seperti PAS, PKR dan DAP sangat cerah jika boleh ‘digarap’ dengan baik serta berkesan.

Kompunan Barisan Nasional (BN) seperti Umno, MCA dan MIC di tanahair semenanjung ini semakin bercelaru, goyah dan longgar kesatuan mereka.

Dan, mereka (BN) perlu mengambil masa paling kurang 18 bulan tempoh ‘bertenang’ untuk membetul serta mengembalikan semula sokongan rakyat terhadap parti tersebut.

Pakatan Rakyat tidak harus lagi ‘mencipta’ pelbagai isu dan selisih pendapat di kalangan pimpinan ‘atasan’ (pusat) walau pun sebesar ‘jerawat batu’ di muka masing-masing.

Ini kerana, jika ‘jerawat batu’ itu dibiarkan singgah ke muka kita dan dibiarkan…. pelbagai masalah akan timbul serta persepsi orang terhadap kita pun dipelbagaikan.

Persepsi orang luar terhadap ‘jerawat batu’ kita nanti ada yang kata mungkin kerana suka mengurat, mungkin kerana makanan berminyak, mungkin kerana darah kotor dan 1001 macam mungkin yang wujud.

Padahal, ‘jerawat batu’ itu tumbuh kerana masalah kita sendiri dan yang sakit kita sendiri dan yang tahu juga kita sendiri. Oleh itu, sebelum tumbuhnya ‘jerawat batu’ itu…kita selesailah sendiri. :

Renung-renung dan fakir-fikirkanlah….wahai pemimpinku.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top