BN Terengganu ‘kuburkan’ SRAB


Hari ini pada 3 Januari 2010, persekolahan baru bagi sesi tahun 2010 dibuka semula. Oleh itu, secara rasminya juga Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Terengganu yang pernah diwujudkan semasa kerajaan PAS pada tahun 2001 ‘berkubur’ setelah berakhir penggal persekolahan tahun 2009 lalu.

Sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-11 pada 21 Mac 2004 lalu, satu demi satu usaha Kerajaan PAS negeri sebelum itu dikhianati oleh Umno termasuk dalam bidang pendidikan.

Kerajaan BN Terengganu yang pernah diketuai oleh Dato’ Idris Jusoh menghentikan pengambilan pelajarnya bermula tahun 2005 menjadikan pelajar ‘bongsu’ SRAB adalah yang berdaftar pada 2004 serta akan menamatkan pembelajaran di sekolah rendah pada tahun 2009.

Bahkan, Dato’ Ahmad Said yang menerajui kerajaan negeri selepas PRU ke-12 tahun 2008 lalu turut meneruskan usaha tidak mengambil pelajar Tahun Satu SRAB bagi sesi persekolahan tahun 2010 ini yang akan menyaksikan sekolah tersebut luput dari bumi Terengganu.

Berikutan itu, bekas pelajar SRAB terbabit menaikkan satu kain rentang bagi menyatakan kesedihan atas penutupan sekolah berkenaan kerana sentimen politik.

Malangnya, usaha tersebut cuba ditutup dari pengetahuan umum kerana kain rentang yang dipasang di beberapa lokasi termasuk dipagar sekolah berkenaan dibuang pihak tidak bertanggungjawab dalam tempoh 24 jam sahaja.

Seorang bapa pelajar, Encik Mohamad Ali, 40, menyifatkan penutupan sekolah SRAB di seluruh negeri ini sebagai satu peristiwa malang dalam pendidikan negara.

Katanya, prestasi para pelajar SRAB setanding dengan sekolah-sekolah rendah kelolaan kerajaan pusat malah lebih baik dalam pencapaian Ujian Penilaian Sijil Rendah (UPSR).

“Saya rasa penutupan SRAB ini hanya kerana sekolah ini diwujudkan oleh kerajaan PAS Terengganu waktu itu dan usaha menghapuskan jasa PAS melalui penutupan SRAB.

“Jemaah IbuBapa dan Guru di sekolah ini pun tidak setuju SRAB ditutup tetapi kerajaan negeri ‘berkeras’ tidak mahu meneruskan,” jelasnya.

Sebenarnya usaha untuk menyekat masyarakat menghantar anak-anak ke SRAB telah bermula sebaik ia beroperasi melalui suara-suara sumbang di kalangan mereka yang menentang perubahan yang dilakukan oleh PAS setelah berjaya memerintah selepas PRU ke-10 pada 29 November 1999.

Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dalam satu kenyataan yang disiarkan sebuah akhbar pada 16 Januari 2002 yang bertajuk ‘GPMS bimbang nasib murid SRABT’ dilihat bertujuan untuk menakut-nakutkan ibu bapa dan masyarakat supaya tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah berkenaan.

Namun begitu, kenyataan GPMS itu mendapat reaksi daripada seorang bapa yang penuh sedar dan merasa bertanggungjawab menyekolahkan anak-anak supaya menjadi seorang muslim atau muslimat yang berilmu menyatakan rasa gembira kerana anaknya diterima belajar di SRAB.

Encik Abdul Razak Wahab, 46, berkata pencapaian di SRAB jauh berbeza dan mempunyai prestasi pelajaran yang sangat cemerlang.

“Anak saya sudah boleh menguasai bacaan jawi dengan baik dan boleh menyebut banyak perbendaharaan kata bahasa Arab, selain boleh membaca frasa-frasa pendek bahasa Quran itu.

“Jika bidang pelajaran yang selama ini dianggap sukar oleh semua orang dapat dikuasai apalah sangat dengan kemahiran menulis, membaca dan mengira bahasa ibunda sendiri.

“Kemampuan menguasai bahasa Inggeris di sekolah ini juga lebih baik. Saya amat bersyukur kerana anak-anak saya di sekolah biasa hanya ketika Tahun Empat atau Tahun Lima baru boleh membaca,” ujarnya.

SRAB diperkenalkan semasa Kerajaan PAS Terengganu bertujuan memberi pendidikan asas kurikulum Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan akademik Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada semua kanak-kanak Islam di negeri ini.

Hasrat kewujudan sekolah berkenaan untuk melahirkan pelajar yang berilmu dan berakhlak mulia, kukuh dalam nilai-nilai Islam bagi mencapai muslim yang bertaqwa dan mendapat keredhaan Allah.

Harakah difahamkan, SRAB juga berhasrat menyediakan sistem persekolahan agama negeri yang lebih teratur bermula daripada peringkat rendah bagi membolehkan pelajar-pelajarnya meneruskan pembelajaran di peringkat menengah dan seterusnya ke pusat pengajian tinggi dalam dan luar negeri.

Sebanyak enam buah SRAB berjaya diwujudkan iaitu Khairiah, Kuala Terengganu; SRAB Al-Falah, Kemaman; SRAB Sultan Ismail, Dungun; SRAB Mahmudiah, Kuala Berang; SRAB Maarif, Besut dan SRAB Ittifakiah, Jertih.

Syarat kemasukan ialah pelajar atau bapa dilahirkan di negeri Terengganu berumur tujuh tahun pada tarikh pengambilan manakala tempoh pengajian selama enam tahun dan masa belajar bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.

Mata pelajaran KBSR yang diajar ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan seni dan Pendidikan Jasmani. Manakala Kurikulum Bersepadu Sekolah Agama (Arab dan Agama) pula terdiri daripada al-Quran, Tauhid, Ibadah, Akhlak, Tulisan Jawi, Sirah dan Tajwid.

Meski pun Kerajaan PAS yang menubuhkan SRAB, namun tidak semua ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah tersebut terdiri di kalangan penyokong parti itu.

Bahkan, ramai juga di kalangan orang Umno yang cerdik turut berbuat demikian kerana percaya akan kebaikan dan keunggulan kurikulum SRAB yang sebelum itu sangat ditunggu-tunggu oleh masyarakat di negeri ini dalam pendidikan anak-anak mereka.

Sehubungan itu, Awang juga mempunyai kenangan manis di SRAB apabila turut mendaftarkan anak sulong Awang menduduki persekolahannya tahun pertamanya pada 2004 lalu.

Hari ini dalam sejarah, sessi persekolahan tahun 2010 telah melenyapkan nama SRAB yang ‘harum’ dan diibaratkan gugur ‘Syahid’ di medan pendidikan setelah ‘dibunuh’ secara ‘halus’ oleh pemerintah yang berimankan ‘Islam Hadhari Terengganu Bestari’ dan berqiblatkan ‘Satu Malaysia’. Awang dan ibubapa bekas-bekas pelajar SRAB sekalian akan terus berdoa semoga ‘tangan-tangan’ jahat dan kotor itu dibalas oleh Allah SWT dengan sehina-hinanya...AMIN.

Marilah, sama-sama kita mendoakan agar ‘orang’ (parti) yang banyak berjasa dan pernah menghidupkan SRAB enam tahun lalu itu diberi kekuatan dan karamah dapat kembali ke tampuk pemerintahannya dalam PRU Ke-13 akan datang, Insya’Allah.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top