Lenyaplah Satu Lagi Warisan Sejarah Kita


Pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu bercakap tidak serupa bikin dan didakwa membelakangi slogan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

Hasrat Presiden Umno itu agar ‘Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan’ langsung tidak diendahkan oleh pemimpin kerajaan di negeri ini.

Hari ini satu lagi bangunan bersejarah yang berusia lebih 100 tahun ‘dirobohkan’ atas nama pembangunan meski pun mendapat tentangan dari pemiliknya.

Sebahagian besar bangunan tersebut terletak di atas tanah milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) di Jalan Bandar, dekat sini.

Sebelum ini, Badan Bertindak Peniaga pernah mengadakan satu sesi dialog dengan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) sebagai ‘orang tengah’ antara peniaga dengan pihak berkuasa.

Seorang peniaga emas, Puan Som Ali, 56, mendakwa telah berniaga di bangunan milik Lembaga Tabung Warisan sejak lebih 17 tahun lalu.

Menurutnya, tindakan mengarahkan dikosongkan bangunan tersebut seolah-olah kerajaan menutup periuk nasi para peniaga dan pekerja Melayu.

Puan Najah Yasin, 44, pula memohon agar kerajaan negeri sedia memberikan tempat baru bagi menjalankan perniagaannya.

Namun begitu, katanya kadar sewa bulanan premis baru tersebut biarlah berpatutan serta tidak membebankan peniaga Melayu.

“Kami (peniaga) mohon sangat-sangat supaya kerajaan negeri buat pertimbangan semula dengan menyediakan tapak baru perniagaan.

“Orang Melayu tidak mampu untuk sewa kedai yang mahal-mahal apatah lagi hendak membeli bangunan yang ditawarkan,” ujarnya.

Katanya, tindakan tersebut jauh terpesong dari slogan yang mahu menolong rakyat terutama orang-orang Melayu.

Seorang lagi peniaga emas, Puan Kasiah Che Mat, 40, pula diibaratkan nasibnya seperti pepatah Melayu ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

“Pada 5 Ogos 2009 lalu, kedai saya di Jalan Banggol ini dirompak oleh penjenayah bersenjatakan pisau dan melarikan dua dulang emas bernilai RM250,000,” jelasnya.

Menurutnya, jika kerajaan tidak menyediakan tempat ganti amat sukar bagi para peniaga mencari premis baru dengan harga berpatutan.

Peniaga alat penyaman udara, Encik How Kok Kong, 65, melahirkan rasa kesal dengan tindakan LTAWNT mengarahkan para peniaga berpindah segera.

“Keluarga saya telah lama berniaga di sini sejak lebih 40 tahun lalu dan banyak kenangan nostalgia yang mengusik jiwa,” ujarnya.

Menurutnya, sebaik sahaja menerima notis pindah serta arahan dikosongkan segera bangunan oleh LTAWNT terasa amat sedih kerana negeri bakal kehilangan nilai sejarah.

Beliau sering kali menangis teringatkan nostalgia silam, nasib pekerja serta belum ada tempat baru untuk berpindah.

Seorang warga emas, Chong Lai Lian, 65, mendakwa hilang selera makan serta bersedih sejak menerima notis pindah 15 Julai lalu.

“Saya sangat sedih, menangis dan hilang selera makan bila teringatkan nasib kami semua kerana notis itu,” ujarnya.

Seramai lebih 35 peniaga di bangunan kedai berkenaan terpaksa memberhentikan khidmat pekerja masing-masing.

Bangunan bersejarah yang berusia lebih 100 tahun itu akan dirobohkan oleh kerajaan negeri bagi membina bangunan serta rumah kedai yang baru.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top