Ma’ahad Salih al-Islame Shariff Sekolah pondok penyelamat aqidah


COTABATO; Secara geografinya Filipina terbagi kepada dua wilayah kepulauan besar iaitu di sebelah utara kepulauan Luzon dan gugusannya serta di selatan dengan kepulauan Mindanao dan gugusannya.

Islam Moro atau bangsa Moro merupakan komuniti Muslim yang berada di kepulauan Mindanao-Sulu serta gugusannya di Filipina bagian selatan.

Sejarah membuktikan, Islam masuk ke wilayah Filipina Selatan khususnya di kepulauan Mindanao-Sulu tersebut pada tahun 1380.

Seorang ulama’ keturunan Arab bernama Karimul Makhdum dan Raja Baguinda dicatat sebagai orang pertama yang menyebarkan ajaran Islam di kepulauan tersebut.

Menurut catatan sejarah tersebut Raja Baguinda merupakan seorang pangiran dari Minangkabau (Sumatera Barat). Beliau tiba di kepulauan Sulu-Mindanao sepuluh tahun selepas Zamboanga dan Basilan.

Akhirnya, hasil kerja keras tersebut juga menyebabkan Kabungsuwan Manguindanao iaitu Raja terkenal dari Manguindanao telah memeluk Islam.

Maka, bermulalah peradaban Islam di wilayah berkenaan dan pada waktu itu telah diperkenalkan sistem pemerintahan dan kodifikasi hukum iaitu Manguindanao Code of Law atau Luwaran yang berlandaskan Minhaj dan Fathu-i-Qareeb, Taqreebu-i-Intifa dan Mir-atu-Thullab.

Manguindanao kemudian menjadi seorang Datu yang berkuasa atas propinsi Davao di bagian tenggara pulau Mindanao.

Setelah itu, Islam disebarkan ke pulau Lanao dan bagian utara Zamboanga serta daerah-daerah lainnya. Sepanjang pantai kepulauan Filipina semuanya berada di bawah kekuasaan pemimpin-pemimpin Islam yang bergelar Datu atau Raja. Bahkan, Manila (ibu negara Filipina sekarang) berasal dari perkataan Amanillah (negeri Allah yang aman).

Namun begitu, kepulauan tersebut pernah dijajah oleh penjajah dari Sepanyol sejak lebih 400 tahun selepas itu. Ini menyebabkan, Islam serta segala peradabannya menjadi asing dan terpinggir.

Difahamkan, bangsa Moro di kepulauan Mindanao di sebelah Selatan masih mampu bertahan serta berpegang dengan ajaran Islam tersebut hingga ke hari ini.

Rombongan tiga kumpulan yang diketuai oleh Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad mewakili Muslim Care Malaysia dan Jundi Resausess, Ustaz Haji Awang Ibrahim Embong mewakili Lepasan Siswa-Siswi Institut Berakan Negeri Terengganu (Sisbakti) dan Wartawan dari Terengganu, Khairul Azlam Mohamad meninjau sebuah sekolah rakyat di sebuah daerah Cotabato.

“Kami sempat berkunjung ke sebuah madrasah yang dikendalikan 100 peratus oleh penduduk setempat untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak di Mindanao,” kata Ustaz Awang Embong.

Menurutnya, sebuah sekolah agama rakyat yang dikenali dengan nama Ma’ahad Salih al-Islame Shariff terletak di Kabunsuan, Cotabato.

Katanya, Ma’ahad tersebut dibina di atas sebidang tanah wakaf serta mempunyai seramai 450 orang pelajar muslimin dan muslimat.

“Sekolah Agama Rakyat (SAR) seperti ini mesti dipertahan dan diteruskan di Mindanao dan kepulauan sekitarnya.

“Hanya dengan sekolah ini sahaja yang mampu mempertahankan aqidah umat Islam di Mindanao,” ujarnya.

Menurutnya, institusi pondok dan pendidikan Islam sahaja yang akan mempertahankan aqidah serta syariatNya.

Seorang pelajar, Junayde Kadir, 23, bercita-cita menjadi seorang pendakwah Islam yang hebat dan berjaya.

Katanya, ilmu sangat penting dan masyarakat di Mindanao masih ketinggalan dalam pendidikan.

“Saya mahu jadi ‘Ustaz’ dan pendakwah yang hebat dan berjaya. Sebab itu, saya sangat minati pelajaran bahasa Arab dan Inggeris,” jelasnya.

Rakannya, Abdul Alim Talusob, 19, berkata cita-cita untuk jadi doktor sangat tinggi jika diizinkan Allah SWT.

Katanya, masyarakat umat Islam di Mindanao masih ketinggalan dalam serba kekurangan dan perlu perubahan.

“Saya jika diizinkan mahu jadi doktor tetapi terserah kepada Allah SWT dengan usaha dan ikhtiar di masa hadapan,” ujarnya.

Mudir Ma’ahad Salih ai-Islame Shariff, Sheikh Zakaria Maido berkata bahasa pengantar yang diajar di sekolah tersebut menggunakan bahasa Arab.

Katanya, penekanan kepada bahasa Arab lebih diutamakan melalui pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Sekolah ini dibina di atas tanah wakaf penduduk yang dikendalikan secara persendirian tanpa bantuan kerajaan Manila (Filipina).

“Pelajar di kalangan anak-anak yatim dan golongan miskin yang perlu diberi pendidikan agama dan Islam,” jelasnya.

Katanya, pihak ma’ahad amat memerlukan sokongan dan dokongan semua pihak terutama para dermawan yang cintakan Islam.

Beliau turut mengharapkan bantuan serta sumbangan dari kalangan umat Islam di seluruh dunia terutama Malaysia.

Menurutnya, masalah kemiskinan sangat ketara akibat konflik politik berpanjangan serta tahap pendidikan masih lemah.

Katanya, peperangan serta penindasan terhadap umat Islam Mindanao oleh kerajaan Manila masih berterusan.

Setiausahanya, Abu Bakar Esmael menyeru semua pihak terutama umat Islam di Malaysia dapat membantu saudaranya di Mindanao.

Katanya, kehidupan masyarakat Moro terutama di kawasan konflik politik amat menyedihkan dengan serba kekurangannya.

“Saya fakir di Malaysia tidak ada lagi rumah penduduk dibuat dari batang kelapa, berdinding buloh dan beratap nipah.

“Di sini (Mindanao) majoriti umat Islam memiliki rumah seperti itu dengan kemudahan asas yang terhad,” jelasnya.

Apa yang penting, katanya pendidikan Islam serta fardhu air mesti diberikan kepada rakyat bagi menjaga aqidah dan syariatNya.

Justeru itu, mana-mana pihak yang sedia menyumbang kepada umat Islam di Mindanao sila hubungi Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad di talian 019-961 9876, Ustaz Awang Embong (019-928 4609) dan Khairul Azlam (013-980 0957).

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top