SALAM FOR ALL…
BEBERAPA hari lalu, Awang dihubungi oleh seseorang dan diberitakan satu kejadian pencerobohan terhadap Tanah Perkuburan Islam di Kampung Rantau Abang, Dungun.
Penduduk di Kampung Rantau Abang mendakwa jalan utama ke projek pembinaan Pusat Latihan Polis DiRaja Malaysia Zon Tenggara dibina di atas tanah perkuburan Islam.
Pembinaan jalan serta longkang besar tersebut di atas tanah perkuburan Islam Rantau Abang sepanjang 300 meter melibatkan puluhan kubur-kubur lama.
Bahkan, ketika kerja-kerja menggali tanah bagi pembinaan longkang besar tersebut sebanyak tiga buah kubur ditemui dengan cebisan tulang-belulangnya.
Seorang penduduk, Encik Mat Zin Mat Noor, 53, melahirkan rasa dukacita serta mahukan pihak berkuasa tempatan segera bertindak.
Ini kerana, katanya melibatkan maruah serta kesucian agama Islam yang menuntut agar tanah perkuburan Islam dipelihara dengan baik.
“Saya rasa sangat tidak puas dan dukacita dengan tindakan sambil lewa pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah tanah perkuburan Islam yang diceroboh.
“Saya anak jati kelahiran di Kampung Rantau Abang ini tahu dengan yakin masih banyak kubur yang ‘terkorban’ di sini,” jelasnya.
Menurutnya, pihak pejabat agama wajar mengambil tindakan mengalih terlebih dahulu kubur-kubur lama sebelum projek dimulakan.
Beliau melahirkan rasa tanggungjawab untuk menegur kerajaan serta pihak berkenaan agar tidak mengambil mudah soal maruah dan agama Islam.
Katanya, tiga buah kubur ditemui bersama rangka tulang-belulang yang berselerakan ketika kerja menggali longkang dilaksanakan.
Encik Hazim Ismail, 54, dari Kampung Rantau Abang menyifatkan pihak berkuasa Pejabat Agama Daerah Dungun tidak serius meski pun tiga buah kubur ditemui pekerja pembinaan tersebut.
Katanya, kerja-kerja pembinaan jalan serta longkang besar termasuk dalam kawasan tanah perkuburan di kampung ini.
“Saya hairan kenapa pihak pejabat agama Dungun tidak ambil langkah serius setelah tiga buah kubur ditemui ketika kerja menggali longkang.
“Kawasan (perkuburan) ini patut dibersihkan dengan memindahkan terlebih dahulu kubur-kubur yang sedia ada sebelum dimulakan projek,” ujarnya.
Menurutnya, penduduk tidak kisah serta mengalu-alukan sebarang projek pembangunan tetapi bukan dengan cara mencerobohi tanah perkuburan Islam.
Awang diberitahu Mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta jamaah Masjid Rantau Abang sedia maklum masalah tersebut tetapi enggan ‘bersuara’.
Meski pun pemimpin masyarakat setempat itu bersetuju agar dipindahkan mana-mana kubur terbabit tetapi tidak berani bertindak menghalangnya.
Apa hendak jadi dengan masyarakat Melayu-Islam hari ini yang seolah-olah langsung tidak sensitif dengan masalah berkaitan agamanya.
Rasa sensitiviti telah hilang di dada orang Melayu terutama ‘Melayu Bersongkok Hitam’. Apa tidaknya, kata orang tua-tua bila doh ‘makang-kedaroh’ macam-macam dok kira ‘halal-haram’ begitilah jadinya.
Apa yang pelik laginya, kawasan pencerobohan tanah perkuburan itu berlaku di Kampung Wakil Rakyat Umno iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang, Dato’ Za’bar Mohamed Adib.
Beliau juga merupakan salah seorang Ahli Exco Kerajaan Negeri yang jaga pelancongan dan kebudayaan seni warisan negeri Terengganu. Tapi sayang, orang besar ini tidak boleh jaga kampung.
Ada orang kata, BERUK lebih baik dari manusia Melayu Bersongkok Hitam. BERUK cukup sayang harta bendanya tetapi manusia ini lebih teruk dari BERUK.
Awang juga diberitahu oleh teman-teman di Rantau Abang bahawa kawasan tanah perkuburan tersebut luasnya dua hektar dan dipercayai wujud sejak lebih 100 tahun lalu dan masih diguna-pakai hingga hari ini.
Projek Kerajaan Barisan Nasional di bawah Kementerian Dalam Negeri tersebut dikendalikan oleh Syarikat Denrich Naluri Rezeki J.V dari Kuala Lumpur secara rundingan terus yang berharga ratusan juta.
Pembinaannya dimulakan pada 1 April 2009 dan dijangka siap pada 29 Mac 2011 tahun hadapan.
Awang yakin dan percaya jika orang dalam kubur itu boleh keluar dan beritahu kepada orang yang masih hidup. Sudah tentu dia (mayat) akan berkata, “Wahai manusia, kenapa kamu yang masih hidup tidak boleh untuk jaga batu-batu nisan kami yang terpacak kaku ini. Tergamak kamu melihat pelbagai jenis jentera dan kenderaan memijak-mijak tempat persemadian kami. Maka, benarlah kata-kata orang…BERUK lebih baik dari kamu manusia yang ‘buta mata hatinya’.
RENUNG MAHU INGAT….FIKIR MAHU BUAT
0 comments:
Catat Ulasan