OKU mangsa diskriminasi JKKK


Sikap tidak bertanggungjawab pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta amalan diskriminasinya sudah menjadi ‘buah mulut’ rakyat di negeri ini.

Sebuah keluarga Orang Kurang Upaya (OKU) suami isteri menjadi mangsa diskriminasi pihak tertentu sehingga dipotong bantuan zakat pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (Maidam).

Awang pernah bertemu dengan seorang mangsa diskriminasi kerajaan Umno-BN iaitu Encik Mat Awang, 55, dari Kampung Paya Datu.

Encik Mat ini tergolong di kalangan OKU sejak dilahirkan dan adalah tidak wajar sama sekali dipolitikkan bantuannya.

Beliau mendakwa telah dipotong bantuan zakat dari Maidam yang diperolehinya sejak zaman pemerintahan kerajaan PAS Terengganu tahun 1999 hingga 2004.

“Masa kerajaan PAS perintah Terengganu saya dapatlah bantuan zakat dari Maidam tetapi terus dipotong sebaik sahaja kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah semula Terengganu tahun 2004,” ujarnya.

Katanya, pihak pejabat Maidam sendiri menjelaskan pemotongan bantuan zakat itu dibuat atas cadangan pihak tertentu (JKKK) di kampung berkenaan.

Menurutnya, kecacatan beliau suami-isteri telah ‘dipolitikkan’ oleh pihak Umno dan JKKK kerana tidak sehaluan dengan parti itu.

Encik Mat kini menyara keluarganya dengan menggunakan kemahiran bertukang membuat ‘rehal’(tempat letak al-Quran).

Isterinya, Puan Wan Zaimah Wan Zainal, 53, juga tergolong dalam kategori OKU namun kedua-dua anak pasangan tersebut normal.

Katanya, sudah ditakdirkan tidak ada rezeki untuk dapat bantuan zakat Maidam lagi tetapi yakin pertolongan Allah SWT bersama orang yang beriman.

“Kami terima dengan redha tidak ada rezeki dengan bantuan Maidam (zakat) hendak buat macam mana lagi.

“Saya yakin rezeki Allah luas dan kami hidup sekadar yang termampu untuk membesar dua orang anak yang masih bersekolah,” ujarnya.

Selain itu, katanya bantuan anak sekolah yang pernah diperolehi sebanyak RM1,200 setahun turut dipotong oleh pihak berkenaan.

Namun begitu, keluarga terbabit masih menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Kini kedua-dua anak pasangan tersebut Mohd Ridzuan, 18, dan Ahmad Mustaqin, 16, kini berada di Sekolah Menengah Manir dan Ma’ahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah (MTT) Darul Iman.

Jika ada mana-mana pihak yang bersimpati serta ingin membantu keluarga OKU ini bolehlah hubungi Awang ditalian 019-933 1688 atau fax: 09-667 3351. Sekian, SELAMAT BERAMAL.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top