TRAGEDI serta kejadian roboh-meroboh sama ada bangunan-bangunan kerajaan atau harta benda rakyat sememangnya banyak berlaku di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu.
Kejadian yang tidak diingini itu berlaku baik ketika pemerintahan mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Idris Jusoh atau MB sekarang, Dato’ Haji Ahmad Said.
Bezanya cuma mungkin di zaman Idris jadi MB Terengganu dia banyak ‘mengarahkan’ rumah-rumah rakyat di bawah skim Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) dirobohkan.
Rakyat masih ingat dan tidak lupa sebenarnya bukan sekadar rumah-rumah rakyat yang mustad’afin tetapi rumah Allah iaitu Masjid Bujal, di Kijal, Kemaman.
Baik rumah rakyat atau masjid roboh tetap roboh. Atas nama ‘dendam’ dan pembangunan mana-mana premis atau bangunan yang tidak sealiran dengan fahaman perkauman Melayu Umno akan diambil tindakan.
Namun begitu, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 yang lalu. Apabila Idris menerima ‘tuloh’ atau ‘kifarat’ dari dosa serta terkena badi doa ‘senjata’ para peserta RTB-RTB berkenaan.
Maka, naiklah Mat Said yang pada waktu itu Ketua Umno Bahagian Kemaman. ‘Untung Sabut Timbul, Untung Batu Tenggelam’ dan ‘Tuan Ayam Nampak Dikaki, Tuah Manusia Siapa Tahu’.
Mat Said dinobatkan jadi ‘MB Sultan’ kata orang sebab waktu itu hanya dia (Ahmad Said) yang diperkenankan oleh pihak Istana Terengganu.
Maka, jadilah dia (Mat Said) sebagai Menteri Besar walau pun pelbagai tribulasi serta karenah oleh puak-puak yang tidak puas hati dan pro-Idris. Waktu, tersedarlah Idris yang dia sudah ‘terpecat’ dan tidak diperkenankan Tuanku Sultan.
Hari ini, Dato’ Haji Ahmad Said dikatakan orang terkena pula ‘badi’ peninggalan Dato’ Seri Idris Jusoh yang pernah menerajui bumi bertuah ini Terengganu Darul Iman.
Sebagai MB Terengganu, selaku Ketua Kerajaan Terengganu segala yang berlaku baik sekecil-kecil ‘kurma’ hingga sebenar-besar ‘stadium’ akan dipertanggungjawabkan di atas bahu Mat Said.
Dalam masa sama, pelbagai siri-siri penentangan terhadap beliau (Ahmad) terus berlaku dan 1001 macam ‘mimpi-mimpi ngeri’ terus menghantui kepimpinannya.
Kali ini dan terbaru bagaimana suatu siri perobohan terhadap harta rakyat miskin di sebuah daerah di Hulu Terengganu pula menjadi mangsanya.
Sama ada kejadian tersebut sememangnya hasil ‘buah tangan’ atau idea ‘gila’ MB Terengganu sendiri atau ada pihak-pihak tertentu yang cuba ‘mensabotajnya’ tiada siapa yang tahu.
Namun begitu, kebarangkalian dia (Ahmad) disabotaj oleh pihak-pihak tertentu atas nama peraturan dan undang-undang yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai kerajaan pun boleh jadi.
Atau kebarangkalian berlaku ‘bias’ hasil dari percaturan dan pertukaran besar-besaran pegawai serta kakitangan kerajaan negeri yang baru pun boleh jadi.
‘Dan Sebenarnya’…apa yang ingin Awang kongsi bersama satu cerita dan tragedi yang dilaporkan kepada Awang pada 21 Januari 2010 lalu sebenarnya di luar kewarasan dan rundingan ihsan.
Impian sebuah keluarga penerima bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang berhasrat meningkatkan taraf hidup ekonomi keluarganya tidak kesampaian.
Ini kerana, sebuah premis kedai kopi yang dibina hasil wang simpanan mengambil upah menorah getah dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan pada 20 Januari lalu.
Premis kedai kopi tersebut terletak di hadapan Sekolah Sains Kuala Berang yang sedang dalam pembinaan serta belum sempat menjalankan perniagaannya.
Pemiliknya, Encik Abu Bakar Musa, 43, dari Kampung Tajin melahirkan rasa kecewa dan dukacita kerana kedai yang sedang dalam pembinaan dirobohkan.
Menurutnya, kedai warung tersebut dibina sejak tahun 2007 dan hampir siap telah menerima notis roboh dari pihak Majlis Daerah Hulu Terengganu.
Katanya, selama hampir dua tahun dibina dengan wang pendapatan menorah getah musnah sekelip mata sahaja.
“Saya orang miskin anak ramai dan bekerja mengambil upah menorah getah berhasrat untuk baiki ekonomi keluarga.
“Sedihnya, selama hampir dua tahun kumpul duit dan buat sedikit demi sedikit untuk siapkan sebuah kedai warung kopi tiba-tiba dirobohkan,” ujarnya ketika membawa Awang ke lokasinya.
Malangnya, kata beliau premis tersebut telah dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan tanpa pertimbangan dan budi bicara.
Menurutnya, arahan notis dipatuhi dan ketika dalam proses kerja-kerja memunggah premis tiba-tiba pihak berkenaan datang meroboh.
“Dua minggu sebelum ini saya terima notis roboh dan saya buat rayuan kepada pihak majlis (Pejabat Daerah).
“Dalam masa sama saya patuhi arahan roboh dan kerja-kerja memunggah sedang dilakukan sendiri.
“Tiba-tiba pada 21 Januari lalu, saya balik menorah getah jam 11.00 pagi terkejut melihat premis kedai saya telah dirobohkan,” jelasnya.
Katanya, kerugian ditaksirkan sekitar RM5,000 dan sekaligus memusnahkan harapan untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
Menurut Abu Bakar, tindakan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan itu amat mendukacitakan rakyat serta pengundinya.
‘Dan Sebenarnya’…dimaklumkan juga pendapatan Abu Bakar bekerja mengambil upah menorah getah tidak menentu serta mempunyai tanggungan keluarga yang ramai.
Keluarga berkenaan mempunyai lapan orang anak berusia satu setengah tahun hingga berumur 20 tahun serta masih ramai yang bersekolah rendah dan menengah.
Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid menyifatkan tindakan meroboh premis tersebut tidak wajar serta ‘gelojoh’.
Ini kerana, katanya pemilik premis tersebut berada dalam kelompok penerima bantuan PPRT yang wajar dibantu meningkatkan ekonomi keluarga berkenaan.
“Saya rasa tidak wajar pihak berkuasa tempatan bertindak meroboh premis orang yang dapat bantuan PPRT.
“Tindakan gelojoh itu memusnahkan harapan rakyat untuk berubah dan baiki kehidupan keluarga miskin,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan perlu memberi perhatian kepada golongan yang miskin serta memberi peluang dan tempat untuk mereka.
Setelah Awang selidiki sebenarnya lokasi perobohan premis milik Encik Abu Bakar itu berada di luar lingkaran operasi Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT).
Difahamkan, di luar dari kawasan tersebut tidak berlaku kutipan serta penyelenggaraan pembuangan sisa-sisa sampah dan pembersihan kawasan pihak MDHT.
Manakala, premis kedai itu ‘terbengkalai’ seperti ‘gajah putih’ yang tidak siap selama dua tahun tanpa diusik-khabar oleh pihak berkuasa tempatan.
Tiba-tiba apabila melihat sahaja kelibat Abu Bakar yang merupakan salah seorang peserta PPRT bersungguh untuk membaiki tahap ekonomi keluarganya.
Satu tindakan drastik pihak tertentu terpaksa dilakukan atas nama perundangan serta tiada kelulusan dengan tindakan bodoh dan gelojoh dengan meroboh.
Natijah dari kerja-kerja perobohan tersebut tidak dapat tidak Menteri Besar akan dikaitkan, Dato’ Ahmad Said dipertanggungjawabkan dan nama baiknya turut tercalar.
Awang simpulkan di sini bahawa ada ‘dendam bersarang’, ada ‘gunting dalam lipatan’ dan ada ‘beruk yang menggoncang’ sama ada yang tersurat mahu pun yang tersirat disebalik kejadian yang menimpa Encik Abu Bakar.
RENUNG BUKAN MENGHUKUM…FIKIR BUKAN MERANCANG
0 comments:
Catat Ulasan