LAGU ALI BABA BUJANG LAPOK “Beginilah nasib diriku yang malang-Oh! Tuhan”


BEBERAPA hari lalu, sebuah saluran tv saluran Astro ada menayangkan filem-filem Allahyarham Seniman Agung, Tan Sri P.Ramlee.

Boleh dikatakan sebahagian besar dari rakyat Malaysia dari dulu hingga sekarang, dari yang tua hingga yang muda sekarang masih ada yang meminati lagu-lagu dan filem-filem ‘hitam-putih’ P.Ramlee ini.

Antara filem yang menjadi kesukaan ramai dan jika ditayangkan setiap minggu pun masih orang tidak jemu dengan gelak ketawanya ialah filem ‘Ali Baba Bujang Lapok’.

Filem ini mengisahkan bagaimana dengan kehidupan Ali yang miskin, dhaif dan susah akhirnya mendapat kesenangan untuk hidup mewah setelah mendapat ‘Dana Khas’ atau ‘Wang Ehsan’.

Apa yang menarik perhatian Awang melalui filem tersebut ialah sebuah lagu yang dinyanyikan oleh Si Ali Baba (Aziz Satar yang pinjam suara P.Ramlee) bertajuk ‘Beginilah nasib’.

Senikata lagunya, ‘Beginilah nasib diriku yang malang, Oh! Tuhan’,’Tak boleh bersenang-lenang’… ini antara ungkapan yang sesuai untuk ‘dihadiahkan’ kepada Menteri Besar Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Ahmad Said.

Beliau yang baru sahaja balik dari Mekah buat haji, bau minyak ‘attar’ dan buah kurma serta air zam-zam pun belum habis. Tiba-tiba dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu kali ini teruk ‘dibelasah’ oleh beberapa orang Adun BN dari kumpulan ‘10 Budak Hitam’.

Apa sudah jadi dengan ‘banner’ bagi menyambut kepulangan Ahmad dengan cogan-kata Sambutan Selamat Pulang Serta Baiah Siasah untuk Y.A.B Menteri Besar Terengganu dan To’ Puan “Atas Semangat Makkah al-Mukarramah”.

Kain pemidang itu dibuat kononnya sebagai tanda taat setia daripada Pegawai-pegawai serta Kakitangan Kerajaan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-ahli Parlimen, Pegawai-pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Umno Bahagian serta Ahli-ahli Umno dan Seluruh Rakyat Terengganu.

Awang ada dengar, kawan-kawan Awang pun dengar dan semua orang boleh dengar jika kita ikuti siaran langsung Sidang Dun tersebut selama tiga hari itu walau pun mutu siarannya sangat lemah.

Persidangan Dun Terengganu Ke-12 Penggal Kedua kali ini membuat pembentangan Bajet 2010 dengan anggaran RM1.8 bilion bakal dibelanjakan pada tahun tersebut.

Beberapa orang Adun BN yang dilihat membuat kritikan ‘pedas’ serta puji-pujian yang penuh dengan sindiran ketika di dewan (Sidang Dun) ialah Adun Alor Limbat, Alias Abdullah, Dato’ Din Adam (Bukit Besi), Mohammad Ramli Nuh (Tepoh), Exco Penerangan dan Agama, Karzan Che Mat (Batu Rakit), bekas Exco Islam Hadhari, Dato’ Rosol Wahid dan Adun Paka, Ariffin @ Zakaria Jusoh.

Namun begitu, ‘Tok Dalang’ bagi kumpulan tersebut buat senyap sahaja macam ‘lembu kenyang’ dan dibiarkan kepada ‘ayam tambatannya’ berkokok di gelanggang.

‘Tok Dalangnya’, walau pun tidak boleh jadi orang nombor satu di negeri ini dan sebagai membalas jasa orang yang memperkenalkan slogan ‘Memahat Sejarah, Mencipta Tamadun’, dia (bekas MB) diberi jawatan penting di MARA.

HANCUR! RUNTUH! TUMBANG!

Bila sahaja ‘Tok Dalang’ ini diberi satu jawatan penting di MARA. Kawan-kawan Awang pun pakat-pakat mengeluh. Ada yang kata ‘hancur’ pulok, ada yang kata ‘runtuh’ habis dan ada yang lata ‘tumbang’ lagi.

Rupa-rupanya ketiga-tiga perkataan ‘hancur, runtuh dan tumbang’ itu dilabelkan kepada ‘Tok Dalang’ ini. Sebab, zaman dia jadi MB-lah banyak projek-projek Mega dan ‘dok’ (tidak) Mega tumbuh macam cendawan lepas hujan.

Tetapi, apa yang menggusarkan rakyat banyak projek-projek tersebut tidak tahan lama. Ada yang ‘umur setahun Stadium’ pun sudah runtuh. Nilaian projek bukan ‘komang’ (lekeh) tapi ratusan juta Ringgit Malaysia pun tidak tahan.

Hinggakan, ada orang luar dari Terengganu Kite ini menggelarkan negeri Terengganu ‘Darul Runtuh’ dan bukan ‘Darul Iman’ lagi. Malunya Awang bila orang kata macam itu.

Sebenarnya, ini semua kerana angkara ‘R.A.S.U.A.H’ dan bagi pemimpin-pemimpin Umno yang tidak ada maruah dan harga diri. Soal rasuah itu perkara biasa. Jika tidak ada rasuah bukan Umno namanya. Umno akan mati tanpa rasuah. Betul ke macam itu..agak-agak Awang ada betulnya.

Bahkan, seorang lagi Exco Kerajaan BN Terengganu yang ‘Cap Ayam’, Yahya Khatib Mohammad yang juga Adun Pengkalan Berangan anggap kejadian runtuh demi runtuh yang berlaku di Terengganu sebagai ‘satu rahmat’.

‘Rahmat’ yang dimaksudkan oleh Exco tersebut sudah tentu kontraktor-kontraktor atau kroni-kroni atau pemimpin Umno Terengganu akan dapat projek baru pula. Projek baru untuk baiki kerosakkan atau buat projek baru yang lain. Itulah ‘cerdik’ namanya pemikiran pemimpin Umno hari ini.

Kembali kita pada isu di Dun Terengganu tadi. Kebetulan pula, pada petang 21 Disember 2009 itu berlaku pula satu malapetaka tragedi runtuhnya Sengkuap Terminal Pengangkutan Awam di Kuala Berang.

Awang dimaklumkan, empat orang pekerja kontrak terbabit tercedera yang terdiri dari tiga warga Bangladesh serta seorang rakyat tempatan.

Kejadian yang entah ke berapa selepas berlakunya bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Gong Badak runtuh, bumbung Masjid Kampung Batu Putih, Kertih runtuh, menara komunikasi di Hulu Besut tumbang, kolam renang di Pusat Arkuartik Batu Burok, Kuala Terengganu bocor dan banyak lagi berlaku di zaman pemerintahan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Atas pertanyaan serta asakan pihak media mengenai kejadian terbaru (stesyen bas) runtuh di Kuala Berang Ahmad menyifatkan faktor amanah dan pembinaan tidak mengikut spesifikasi menjadi punca bumbung Terminal Pengangkutan Awam Hulu Terengganu runtuh.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak bagi melindungi pesalahnya.

Menurutnya, kemungkinan tidak ada pengawasan di peringkat jabatan-jabatan terbabit menyebabkan berlaku kejadian seumpama itu.

“Saya selalu sebut supaya ada pengawasan. Adakah mereka (kontraktor) buat itu ikut spesifikasi (peraturan) yang ditetapkan.

“Inilah yang saya dapati bahawa kebanyakkan di tapak pembinaan kita, saya jarang bertemu dengan orang yang buat (pegawai) ini. Saya selalu tegur.

“Biasanya, projek yang dibuat itu diserahkan kepada kontraktor pegawai datang dan selepas itu dia tidak datang-datang lagi hinggalah masa hendak serah balik,” jelasnya pada satu sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu Ke-12 (Bajet 2010) di Wisma darul Iman, 22 Disember lalu.

Beliau turut meluahkan rasa kesal kerana pendapat serta pandangannya sebagai Menteri Besar tidak diberi perhatian kerana tidak mempunyai kelulusan sebagai kontraktor.

“Sebab itu, ada saya temui apabila buat pentas lain sebelah. Mungkin silap baca pelan. Tetapi jika pegawai kita ada yang mengawasi, dia (pegawai) boleh tegur dari awal.

“Ini siap hendak serah baru sedar ada perbezaan antara sebelah kanan dengan sebelah kiri.

“Saya selalu memberi penekanan dan teguran kepada pihak-pihak teknikal ini. Tetapi susahlah, sebab saya tidak ada ‘ir’ dalam perkara ini,” ujarnya.

Menurutnya, kontraktor yang melaksanakan mana-mana projek perlu bersifat amanah serta bertanggungjawab.

Manakala, katanya setiap pembinaan yang dibuat mesti mengikut spesifikasi yang ditetapkan agar tidak timbul masalah.

“Dua perkara, pertama soal amanah dari segi kontraktor itu sendiri. Dia (kontraktor) perlu rasa bertanggungjawab.

“Setiap pembinaan yang dibuat mesti mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan jika berlaku sesuatu dia (kontraktor) akan rasa bersalah.

“Kedua, pegawai yang jaga projek ini perlu amanah. Jika berlaku penyelewengan dan tidak spesifikasi dia (pegawai) kena tegur,” ujarnya.

Akhirnya, Dato’ Ahmad terpaksa akur semua kejadian runtuh berlaku yang melibatkan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, bumbung Masjid Kampung Baru Kertih, menara komunikasi tumbang, kolam renang di Pusat Arkuartik Batu Burok bocor dan banyak lagi berlaku di zaman pemerintahannya sebagai Menteri Besar Terengganu.

“Saya tidak bernasib baiklah hendak buat macam mana. Apabila berlaku (runtuh) ini, berlaku di zaman saya jadi Menteri Besar,” ujarnya dengan nada hiba.

Dalam kejadian 21 Disember lalu, kira-kira jam 3.00 petang Kompleks Terminal yang berharga RM4.2 juta itu bagi menempatkan operasi pengangkutan awam termasuk bas dan teksi ke daerah-daerah runtuh.

Seramai empat pekerja terbabit cedera termasuk tiga warga Bangladesh yang terjatuh ketika melakukan kerja-kerja pemasangan sengkuap kaca sepanjang 150 meter.

Projek tersebut di bawah Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) yang sepatutnya akan diserahkan pada Januari 2010.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top