Umno salahguna hak istimewa orang Melayu


Hak Keistimewaan Orang Melayu sebenarnya telah termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan sesiapa pun tidak boleh mencabarnya kerana orang Melayu sebagai ‘tuan’ di tanahair ini.

Namun begitu, Umno yang diharapkan dapat membela nasib serta hak-hak keistimewaan orang Melayu sebenarnya telah menyalahgunakannya untuk kepentingan politik.

Hak keistimewaan bumiputra sebenarnya hanya berlegar di kalangan pemimpin-pemimpin Umno serta kroni-kroninya sahaja.

“Yang jadi masalahnya, Umno telah menyalahgunakan hak istimewa orang Melayu (Bumiputra). Bila kata untuk Bumiputra bukan untuk orang Melayu tetapi untuk Umno-putra.

“Yang rapat dengan Umno, yang pandai ‘bodek’ (puji) Umno dan kroni-kroni Umno dapat ‘habuan’ (untung). Golongan ini yang dapat tetapi yang lain tidak dapat...,”kata Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Setiausaha Agung PAS dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, di Restoran Bangkok, Chukai, Kemaman, baru-baru ini.

Meski pun, katanya ahli-ahli serta penyokong PAS yang terdiri dari kalangan orang Melayu dan beragama Islam juga ditindas dan didiskriminasikan.

Katanya, rakyat menghadapi masalah tanah, cukai pintu, subsidi, penafian bantuan kebajikan dan yang paling besar isu ‘rampasan’ royalti minyak Terengganu.

“Kita sendiri sebagai orang Melayu dalam PAS yang beragama Islam. Apa yang tidak dilakukan terhadap kita (PAS), sangat kita (PAS) memahaminya.

“Masalah tanah, masalah agihan bantuan dan yang paling besar ialah isu royalti minyak di Terengganu yang masih menjadi isu dan tidak ada jalan penyelesaiannya lagi hingga hari ini,” ujarnya.

Awang bukan hendak mengata sangat tetapi ‘apa yang orang kata’ dan menjadi buah mulut rakyat seluruhnya memang begitu.

Jika tidak kerana kroni-kroni kepimpinan tertentu…’tobak lahum’ kata orang Tranung projek itu tidak akan dapat diperolehi oleh kontraktor terbabit.

Biar pun bapak kontraktor itu tidak ada pengalaman kerja atau punya Syarikat RM2.00 sahaja pun boleh dapat projek bernilai juta-juta ringgit itu.

Itulah sebab, puncanya…buat stadium…stadium runtuh, buat masjid…masjid runtuh, buat kolam renang…kolam renang bocor, buat dewan sekolah…dewan sekolah runtuh.

‘Dan Sebenarnya’…buat apa pun jika kerana ada unsur-unsur rasuah sudah pasti pembangunan yang dibuat itu tidak ada kualitinya. Barang kali jika buat kandang ‘babi’ pun boleh roboh…kata oranglah.

Justeru itu, Awang ingatkan kepada rakyat dan pengundilah. Sebenarnya, mereka (pengundi + rakyat) juga yang salahnya. Sebab, pemimpin seperti ini, parti seperti ini yang diberi pilihan untuk mewakili rakyat membangun dan mentadbir negeri.

Jika kita (rakyat) terus-menerus memberi peluang dan ruang kepada puak-puak yang tidak tahu memerintah tetapi buat-buat ‘reti’ (tahu), maka tunggulah ‘kehancuran’ yang lebih dahsyat bakal berlaku di negeri Terengganu Darul Iman.

Akhir kata, marilah sama-sama kita renung dan berfikir sejenak dengan sebaik-baiknya. Adakah, kita akan terus ‘bersama’ kumpulan perasuah atau bersama membina harapan baru untuk negeri dan negara tercinta dengan kumpulan pendakwah.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan al-Tantawi, bekas Ahli Exco Kerajaan PAS Terengganu, Ustaz Awang Yusuf dan Pengarah MTD Chukai, Hanafiah Mat.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top