Genap 10 tahun hak royalti Terengganu dinafikan



SYABAS dan TAHNIAH…kepada Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) kerana berjaya menganjurkan Dialog Perdana Isu Royalti & Solat Hajat di di Dewan Besar Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, dekat sini, pada 18 Mac lalu.

Penaung Mampat, Tengku Seri Paduka Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasaruddin berkata bulan ini (Mac) 2010, genaplah 10 tahun hak royalti rakyat Terengganu dinafikan dan belum dikembalikan semula meski pun kerajaan negeri telah diperintah oleh Barisan Nasional (BN).

Sebenarnya, kata beliau banyak kesan yang timbul dari wang royalti ditukar menjadi ‘wang ehsan’ dari sudut pembangunan dan keberkatan.

Ini termasuklah, katanya kejadian bangunan runtuh sejak akhir-akhir ini dilihat lebih dominan kesannya berbanding kurang kelihatan dengan mata kasar.

“Kata sesetengah orang ‘wang ehsan’ ini tidak berkat dan mungkin ramai yang tidak tahu perbezaan antara wang ehsan dengan wang royalti yang dituntut oleh Gegar dan Mampat.

Tengku Seri Paduka menyifatkan pemberian wang ehsan kepada menyebabkan rakyat Terengganu berdiam diri serta tidak berani menuntut hak royalti.

“Wang Ehsan dilihat lebih dinikmati oleh rakyat, ada yang dapat RM300 ada yang dapat RM500. Inilah yang menyebabkan ramai rakyat Terengganu berdiam diri dalam isu tuntutan ini. Jika royalti mungkin mereka (rakyat) tidak akan mendapat imbuhan sebegini,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana pengurusan wang royalti itu dikendalikan dari mula penerimaan hingga pengagihan sejak ditukarkan kepada wang ehsan.

Menurutnya, laporan audit mengenai perjalanan wang ehsan langsung tidak ada yang berkemungkinan akan berlaku penyelewengan.

“Kita (rakyat) mahu tahu bagaimana pengagihan wang ini berjalan dari penerimaan hinggalah wang ini diagih-agihkan kepada mereka (rakyat) yang berhak dan layak.

“Adakah ianya diaudit dengan baik atau sebaliknya. Jika diaudit kenapa tidak dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu atau diumumkan kepada rakyat Terengganu khususnya dan rakyat Malaysia amnya melalui media,” tegasnya.

Katanya, kerajaan pusat tidak wajar menganayai negeri Terengganu dan Kelantan yang kedua-dua itu majorit 90 peratus orang Melayu dan beragama Islam.

Menurutnya, pertikaian mengenai hak mendapat serta menguruskan royalti di Terengganu telah memakan masa yang lama genap 10 tahun.

“Ingin saya ingatkan kepada pihak berkuasa (kerajaan pusat) yang mengendalikan wang ini. Ingatlah, rakyat negeri Terengganu berjumlah hampir 1.5 juta orang dan 95 peratus rakyat Terengganu adalah orang Melayu dan beragama Islam.

“Yang seagama dengan mereka (pemimpin) yang berkuasa di Kuala Lumpur. Begitu juga saudara-saudara kita di Kelantan. Kenapakah kita (rakyat) dianiayai sebegini.

“Apa bezanya ‘royalti’ dengan wang ‘ehsan’ yang hendak dipertikaikan begitu lama. Berilah…harta rakyat negeri Terengganu,” ujarnya.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top