Saya BUKAN anti MELAYU & ISLAM




APA yang Awang tahu dan diberitahu oleh ustaz-ustaz yang mengajar mata pelajaran ugama Islam di sekolah sejak lebih 30 tahun lalu mengenai bahaya fitnah sangat besar dan mengerunkan.

Ustaz mahu pun Ustazah memberitahu anak-anak muridnya di sekolah bahawa bahaya fitnah sangat besar sehingga bahayanya lebih besar dari ‘membunuh’.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jikadatang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik(untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatukaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu(mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamulakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan dengar khabar mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar.

Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

Baru-baru ini, Awang sendiri dengar dari ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng yang menafikan segala tomahan serta fitnah yang melabelnya sebagai anti Islam dan anti Melayu.

Sebaliknya, kata beliau merupakan anti Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan politik perkauman serta rasuah ditahap membimbangkan.

“Tomahan dan fitnah kepada saya sebagai anti Melayu dan anti Islam. Saya bukan anti Melayu dan saya bukan anti Islam tetapi saya anti Barisan Nasional (BN). Saya anti BN ini sebab, BN parti perkauman yang mengamalkan rasuah dan mereka (BN) tipu rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Pakatan Rakyat ‘Selamatkan Malaysia’ di perkarangan pejabat Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Batu Burok, Kuala Ibai, 23 Mac lalu.

Menurutnya, tomahan serta fitnah sebagai anti Melayu ternyata tidak benar melalui bukti pengagihan kontrak kepada kontraktor Melayu di Pulau Pinang.

Katanya, melalui sistem tender terbuka kontraktor kelas F dari golongan Melayu Bumiputera buat pertama kali berpeluang tanpa menjadi kroni mana-mana parti politik.

“Hasil tender terbuka Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang yang dapat 60 peratus Bumiputera dengan nilaian RM67,837,302.54 dan bukan Bumiputera 40 peratus (RM45,335,093.50).

“Bilangan kontraktor perolehan bekalan, perkhidmatan bagi tahun 2008 dan 2009 Majlis Perbandaran Pulau Pinang 69.03 peratus Bumiputera dan 30.97 peratus bukan Bumiputera tahun 2008. Manakala, 82.4 peratus Bumiputera dan 17.6 peratus bukan Bumiputera tahun 2009,” ujarnya.

Menurutnya, bilangan struktur haram yang dirobohkan dikepulauan Pulau Pinang tahun 2008 pula Melayu tiga buah, bukan Melayu lima buah dan tahun 2009, Melayu empat buah dan bukan Melayu 16 buah.

Katanya, tindakan tersebut terpaksa dibuat di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 Pejabat Daerah dan Tanah.

Sementara itu, katanya fitnah sebagai anti Islam pula boleh dibuktikan dengan pemberian bantuan kepada 18 buah Sekolah Agama Rakyat sebanyak RM1.75 juta.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Rakyat menambah peruntukan hal ehwal agama dari RM12.5 juta pada tahun 2008 naik kepada RM20.5 juta tahun 2009 dan RM24.3 juta tahun 2010 ini.

“Kerajaan Pakatan Rakyat memartabatkan para huffaz yang selama ini tidak pernah diberikan status melalui penganugerahan, pengiktirafan sijil dan penghargaan wang khas,” ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP menjelaskan orang Melayu di Pulau Pinang tidak menjadi masalah serta memahami segala tindakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Namun begitu, katanya apa yang dibimbangi adalah masyarakat Melayu dan rakyat di negeri-negeri lain ‘termakan’ dengan tomahan serta fitnah tersebut.

“Orang Pulau Pinang tidak percaya dengan fitnah dari Barisan Nasional kerana mereka (rakyat) memahami keadaan sebenar.

“Kita (Pakatan Rakyat) bimbang orang Melayu di luar dari Pulau Pinang yang tidak dapat maklumat dan percayakan fitnah itu,” ujarnya di hadapan lebih 10,000 orang hadirin.

Kesimpulannya, apa yang Awang faham dari ucapan ‘si cina’ (Lim Guan Eng) ini bahawa pemimpin Umno-BN yang menguasai media cetak dan elektronik telah membuat fitnah terhadapnya.

Tujuannya, untuk melemah serta menjatuhkan kembali kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh DAP di Pulau Pinang, sebuah negeri yang paling maju dan membangun.

Jadi, Awang harap sangat mana-mana orang yang sebangsa dengan Awang, keturunan Melayu Islam walau pun sesetengahnya mungkin hanya Islam ‘baka’ supaya tidak mempercayai fitnah atau menyebarkan fitnah yang tidak betul seperti itu.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top