SEHARI…selepas tragedi perobohan rumah penduduk yang berstatus Lesen Menduduk Sementara (LMS) di Kampung Paya Bunga ‘selamat dirobohkan’ tiba-tiba Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said cuba membohongi rakyat.
Awang diberitahu, ‘Mat’ Said cuba menyembunyikan fakta sebenar bagi ‘menghalalkan’ cara pentadbirannya bertindak diluar batasan perikemanusiaan dan undang-undang.
Hakikatnya, Ahmad disifatkan oleh penduduk serta orang awam terbabit cuba menegakkan ‘benang basah’ dalam isu perobohan 11 buah rumah penduduk di Kampung Paya Bunga, dekat sini.
Hinggakan insiden tersebut menyebabkan Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Fariz Musa ditangkap polis bersama seorang pemilik rumah, Mohd Zamri Sulaiman dibawah Seksyen 186 kerana menghalang tugas Penjawat Awam.
Fariz mendakwa Ahmad cuba membohongi fakta sebenar yang dikelirukan dengan mendakwa tuan rumah dan penyewa sedia berpindah secara sukarela.
Bahkan, katanya penduduk di Kampung Paya Bunga tersebut disifatkan oleh Menteri Besar itu menetap secara haram di tanah kerajaan sejak puluhan tahun lalu.
“Saya sifatkan Menteri Besar Terengganu (Ahmad) berbohong kepada rakyat dan cuba menegakkan ‘benang basah’ dalam isu (perobohan rumah) ini.
“Fakta sebenar, mereka (penduduk) dan pewaris telah menduduki di atas tanah di Kampung Paya Bunga sejak tahun 1933 dan sebelum merdeka lagi.
“Tarikh terakhir diberi sambungan Lesen Menduduki Sementara (LMS) pada 31 Disember 1989 dan penduduk masih membayar dan menerima resit cukai pintu rumah kediaman pada awal Januari 2009 lalu,” jelasnya.
Menurut Fariz, penduduk telah lama mendiami penempatan di kampung berkenaan tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu disifatkan ‘menghalaunya’.
Beliau yang juga Presiden Ikatan Anak Watan Darul Iman (Ikhwan) mempersoalkan kenapa kerajaan tidak mahu membayar pampasan kepada semua mangsa terbabit.
Katanya, terdapat di kalangan penghuni dan penyewa rumah berkenaan merupakan penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (Maidam).
“MB (Ahmad) buat dakwaan tuan rumah dan penyewa terbabit tiada masalah dan sedia berpindah itu juga bersifat ‘pembohongan’ sama sekali.
“Mereka (penduduk) terpaksa pindah di saat akhir hari perobohan dan masih banyak barang-barang berharga milik penghuni rumah gagal diselamatkan.
“Harta benda orang-orang miskin yang dhaif banyak yang tidak sempat diselamatkan dan di bawah runtuhan rumah itu,” ujarnya.
Jika tidak, katanya kenapa salah seorang pemilik rumah berkenaan terpaksa ditangkap dan ditahan polis bersamanya pada hari kejadian perobohan.
Menurut beliau bukan mahu menjadi ‘hero’ membela rakyat tetapi kerajaan negeri langsung tidak mahu berunding dan menyelesaikan masalah penduduk.
Katanya, pihak Ikhwan membela nasib rakyat miskin tanpa mengira fahaman politik meski pun 80 peratus penghuninya penyokong parti kerajaan sebelum ini.
Tambahnya lagi, pihak Ikhwan sebagai badan bukan kerajaan (NGO) dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) akan membawa isu perobohan ini hingga ke pihak Suhakam.
RENUNG MANA YANG BAIK....FIKIR MANA YANG JAHAT
0 comments:
Catat Ulasan