Projek Fertigasi tidak berjaya




Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), Mesyuarat Yang Ketiga Penggal Persidangan Yang Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu 2009 yang lalu seorang wakil kerajaan mengakui bahawa projek Fertigasi Mega tidak berjaya.

Jika selama ini, apa yang orang kata selalunya dinafikan oleh pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) dan mendakwa pihak yang berkata demikian sengaja memburuk-burukkan kerajaan.

Tetapi, kali ini pihak wakil BN sendiri, orang Umno sendiri yang membuat pendedahan dan mendakwa projek-projek tersebut gagal dan tidak berjaya.

Di sini, Awang dedahkan apa yang pernah berlaku di Dewan Undangan Negeri Terengganu tersebut dan boleh buat pengesahan dengan ‘hanset’ dewan jika masih ada yang tidak percaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Besut, Nawi Mohamad pernah memberitahu sidang Dun dan sekaligus mengesahkan para peserta program pertanian tersebut merungut kerana ianya adalah projek yang gagal.

”Kebetulannya di kawasan saya (YB Nawi-Hulu Besut) juga ada projek Fertigasi, hari ini bila saya (YB Nawi) berjumpa dengan peserta, mereka katakan kerajaan negeri seolah-olah menyuruh mereka berdikari, tidak ada lagi bantuan,

“Pada pandangan merekanya (peserta) oleh kerana projek ini projek yang pertama, tidak ada pengalaman, penyakit-penyakit baru tidak diketahui oleh pegawai pertanian,

“Kesimpulannya mereka (peserta) katakan bahawa projek ini tak berapa berjaya,”ujarnya ketika mengemukakan soalan tambahan.

Sebelum itu, Exco Pertanian Negeri, Rozi Mamat (gambar di atas) telah mendedahkan RM15.5 juta telah dibelanjakan untuk projek fertigasi yang melibatkan 249 peserta dari pelbagai golongan.

Nawi juga meminta kerajaan menjelaskan apakah tindakan kerajaan terhadap projek Fertigasi Mega yang dilancarkan semasa kerajaan Terengganu di bawah pemerintahan mantan Menteri Besarnya, Dato’ Seri Idris Jusoh pada Tahun Pertanian Terengganu 2006.

“Jadi apakah langkah kerajaan bagi mempastikan perbelanjaan yang hampir RM16 juta yang melibatkan hampir 249 peserta,

”Kalau dikira di situ hampir RM300,000 satu peserta, dibelanjakan untuk projek fertigasi, jadi kalau kerajaan kata supaya berdikari tidak lagi mengambil perhatian kepada projek ini, akhirnya perbelanjaan RM16 juta bagi projek ini akan jadi sia-sia” ujarnya.

‘Dan Sebenarnya’…bukan satu projek rugi, bukan dua yang bangkrap dan bukan tiga yang lingkup…tetapi berpuluh-puluh projek yang gagal dan tidak berjaya.

Ini, tidak termasuk semua projek yang gagal sepanjang pemerintahan kerajaan BN Terengganu sejak di zaman MB Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Dato’ Ahmad Said.

Rakyat kena persoalkan, ke mana pergi wang hasil royalti yang pernah dinikmati oleh Terengganu sejak mula hingga sekarang berjumlah lebih RM20 bilion.

Apakah, kerajaan yang menguruskan wang royalti itu dengan betul, telus, berhemah, tidak membazir, tidak dicuri atau hilang sebagaimana yang didakwa oleh orang ramai. Dan pihak berkenaan kena jawab dengan jujur dan ikhlas.

Sebab, jika tidak…rakyat sebagai hakim akan menghukum mana-mana kerajaan yang korupsi dan tidak amanah itu dengan satu ‘pakah’ yang pernuh bermakna.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top