PAS Terengganu sedia ganti kerajaan BN?




PAS Terengganu sekali lagi mengulangi kesediaannya mahu memimpin serta mengambil-alih kerajaan negeri dari Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

Kesediaan itu dilihat berdasarkan ‘mood’ rakyat yang semakin bosan dengan corak pentadbiran serta krisis kepimpinan dalaman Umno Terengganu.

Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu, Hanafiah Mat berkata demikian selepas Majlis Ceramah Maulidur Rasul di Surau Nelayan Kuala Kemaman, pada 4 Mac lalu.

Persoalannya, benarkah PAS Terengganu ini benar-benar bersedia ke arah itu atau sekadar ‘retorik’ untuk menyedapkan halwa telinga semata-mata.

Awang bukan tidak bersetuju dengan hasrat dan cita-cita seperti itu tetapi gerak kerja ke arah menuju serta mencapai kemenangan yang dipersoalkan oleh banyak pihak.

Kadang-kala sampai ketelinga Awang cerita-cerita yang tidak sedap telinga mendengar dan tidak manis mata memandangnya.

Apa yang orang kata itu harus dipandang dengan hati yang terbuka dan usah cepat ‘panas telinga’ kerana kita mengamalkan demokrasi. Sesiapa pun bebas memberi pandangan dan kritikan. Kita tidak boleh sekat itu semua.

‘Dan Sebenarnya’…Umno-BN Terengganu kini berada dalam suasana yang ‘kritikal’ dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan sebagai tali hayatnya.

Isu-isu terlalu banyak tetapi PAS Terengganu…’apa yang orang kata’ sama ada Pemudanya..Muslimatnya…Nisanya…dan jentera partinya agak lesu dan tidak mendepani isu.

Kita jangan sekadar ‘SYOK’ sendiri dengan program-program yang kita buat sesama sendiri sahaja. Walau pun ramai yang datang tetapi apa guna jika yang hadir berduyung-duyung itu hanya di kalangan ahli-ahli PAS tegar atau penyokong-penyokong fanatik kita sendiri.

Apakah, ada usaha PAS mendekati serta menarik sokongan rakyat di kalangan ahli-ahli Umno atau penyokong-penyokong Umno-BN agar dapat bersama dengan PAS?

Kata mahu memasyarakatkan PAS tetapi hanya berlegar di kalangan ahli-ahli dan penyokong PAS sahaja tidak akan ke mana dan sukar untuk menang.

Adakah PAS telah berjaya menarik kembali sokongan pengundi dan rakyat yang pernah memberi undi itu kepada PAS pada tahun 1999?...kerana waktu itu ‘gelombang’ serta ‘aura’ Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dinafikan.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang ini, PAS atau Pakatan Rakyat mungkin sukar juga untuk mencipta sejarah sebagaimana PRU ke-12 tahun 2008 yang lalu jika tidak kena gayanya.

Sebabnya, ‘apa yang orang kata’…gerak kerja PAS dibanyak tempat tidak menampakkan ke arah untuk mencapai kemenangan. Maknanya, PAS bercakap untuk menang…untuk menang. Tetapi apa kerja yang PAS buat untuk menang.

Kita tidak cukup sekadar ceramah demi ceramah sahaja. Siri penerangan dan penjelasan turut terjah ke sasaran itu lebih penting. Masa dan ruang kelapangan perlu diperuntukkan untuk bertemu dengan rakyat dan pengundi dari sekarang.

Janganlah bila tiba satu atau dua minggu menjelang tarikh pilihan raya barulah kita semua ada masa untuk bertemu rakyat dan pengundi. Paling lama pun dua minggu itu tidak cukup untuk menyakinkan rakyat dan pengundi memilih kita.

Walau macam mana pun, Awang menyokong serta mengharapkan apa yang PAS cakap untuk menang itu bukan lagi sekadar retorik tetapi realiti hendaknya, Insya’Allah.

Kata Hanafiah lagi, PAS Terengganu hanya memerlukan sebanyak 9 kerusi tambahan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi menjadikan 17 kerusi Dun dengan majoriti mudah sahaja.

“Kita (PAS) sudah sedia untuk jadi kerajaan semula di Terengganu. Kita (PAS) hanya perlu 9 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan mempertahan lapan kerusi Dun sedia ada sekarang.

“Kita (PAS) hanya perlu 9 kerusi yang baru untuk jadi 17 kerusi Dun dengan majoriti mudah sahaja memerintah negeri (Terengganu) ini,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai menegaskan sasaran 17 kerusi Dun itu boleh dicapai dalam PRU ke-13 akan datang.

Katanya, PAS Terengganu tidak bimbang meski pun menang dengan majoriti mudah kerana yakin tidak ada ahli yang akan lompat parti serta enakmen penting telah digubal.

“Kita (PAS) tidak bimbang walau pun menang dengan majority mudah sahaja kerana segala Enakmen Perundangan telah kita (PAS) gubal sebelum ini.

“Lagi pun, wakil-wakil rakyat PAS mempunyai ‘ketahanan’ diri (iman) dan tidak akan lompat parti, Insya’Allah,” tegasnya.

Menurutnya, pergolakkan dalaman parti Umno Terengganu antara ‘puak’ (kumpulan) Idris Jusuh dengan Ahmad Said belum ada jalan penyelesaian selepas PRU ke-12 lalu.

Kata Hanafiah, krisis hilang keyakinan terhadap Menteri Besar Terengganu serta perbalahan politik antara kumpulan tersebut kekal hingga ke pilihan raya akan datang.

“Kita (PAS) tidak mengharapkan masalah dalaman Umno itu untuk menang tetapi penyusunan gerak kerja parti dalam PAS dan Pakatan Rakyat diutamakan.

“Sekarang ini, puak Idris Jusoh kata puak ‘Mat’ (Ahmad) Said tidak betul dan tidak pandai (boleh) memerintah dan mereka (Umno) saling berbalah sesama sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, senario tersebut berpanjangan dari awal selepas PRU Ke-12 lalu dan rakyat semakin bosan, ‘muak’ (benci) dengan perkembangan itu.

Katanya, rakyat Terengganu tidak sabar lagi menunggu tarikh pilihan raya (PRU Ke-13) dan PAS telah bersiap sedia dengan jentera parti.

MTD Chukai kini dalam rangka siri program Operasi al-Falah peringkat Unit Peti Undi (UPU) Kuala Kemaman anjuran Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) PAS Terengganu.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top