PAS dakwa Umno-BN parti perkauman


Senario politik mutakhir ini lebih menjurus ke arah perkauman yang jika silap hari bulannya boleh mencetuskan ketegangan kaum serta perbalahan yang mirip kepada tragedi 13 Mei 1969.

Permainan ‘api perkauman’ ini bukannya berlaku secara tidak langsung tetapi terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan serta mengharapkan ‘keuntungan’ dari Sejarah Hitam tersebut.

Namun begitu, alhamdulillah…Awang melihat masa kini rakyat berbilang kaum telah celik minda serta mempunyai maklumat yang benar.

Rakyat di negara kita seperti kaum lain dari Melayu terutama Cina dan India telah mula faham dan ‘mengenali’ siapa PAS?.., apa PAS?...bagaimana PAS?...di mana PAS?..dan kenapa mesti bersama dengan PAS?

Benteng dan tembok pemisah yang selama ini mereka (Cina & India) kabur, keliru dan dikelirukan oleh pihak parti pemerintah seperti Umno, MCA dan MIC di bawah payung Barisan Nasional (BN) telah runtuh dan roboh.

Rakyat berbilang kamu di negara ini telah mula mengenali dan ‘mencintai’ PAS kerana parti itu akan menjadi harapan baru rakyat selepas Umno-BN.

Ini kerana, ‘tembelang’ Umno yang menjadi peneraju serta tulang belakang pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) masih mengamalkan sikap parti perkauman.

Awang masih ingat kata-kata seorang pimpinan PAS Terengganu yang berucap dikhalayak ramai di hadapan kaum tionghua, India dan Melayu di Kampung Cina, baru-baru ini.

Tokoh tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya (I) PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik yang menjelaskan bahawa politik baru hari ini tidak boleh lagi berdasarkan perkauman.

Katanya, Umno masih lagi mengamalkan politik perkauman hingga tidak berlaku keadilan dalam pemerintahan parti tersebut.

“Kita (PAS) hari ini politik baru tidak boleh lagi berdasarkan perkauman seperti mana Umno yang mengamalkan politik perkauman. Perkauman yang sampai ke tidak menjalankan keadilan apabila mereka (Umno-BN) memerintah.

“Pakatan Rakyat yang berasaskan hendak menegakkan keadilan, kita (PAS) di atas dasar Pakatan Rakyat dan dasar Nasional.

“Parti-parti kita (Pakatan Rakyat) bersatu hendak menegakkan keadilan untuk semua. Ini tujuan Pakatan Rakyat dan tujuan diadakan majlis ini supaya dapat berkenal-kenalan dan beramah mesra,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama dan Ramah Mesra Bersama Y.A.B Encik Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang di Kampung Cina, dekat sini, 23 Mac lalu.

Justeru itu, Ustaz Abu Bakar memberi jaminan bahawa partinya akan mengukuhkan Pakatan Rakyat yang terjalin antara PAS, Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan DAP.

Menurutnya, penyertaan PAS kali ini dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk menang dan boleh memerintah negeri dan negara.

“Saya beri jaminan, kita (PAS) akan mengukuhkan Pakatan Rakyat ini. Kami, pimpinan PAS akan mengukuhkan Pakatan Rakyat.

“Kita (Pakatan Rakyat) betul-betul pada kali ini kita hendak berhadapan dalam pilihan raya akan datang untuk menang dan bukan lebih kurang sahaja,” tegasnya.

Oleh itu, kata Ustaz Abu Bakar bagi mencapai hasrat dan cita-cita murni itu hubungan antara kaum Melayu, Cina dan India perlu dipereratkan.

Menurutnya, kerja-kerja kemasyarakatan dapat diperbanyakkan serta melibatkan semua kaum dalam masyarakat majmuk di negara ini.

“Jika kita hendak mencapai ke arah itu hubungan di antara masyarakat tionghua dengan masyarakat Melayu dan masyarakat India dipereratkan.

“Dan kerja-kerja kemasyarakatan dapat dibuat lebih banyak terutama di kalangan masyarakat majmuk yang berbilang kaum ini. Kita tingkatkan dan buat secara bersama jika tidak ada halangan,” ujarnya.

Apa yang penting, katanya dalam pilihan raya umum akan datang Pakatan Rakyat mendapat sokongan dan mandat rakyat di negeri ini.

Menurutnya, PAS akan memperkuatkan usaha menyatupadukan rakyat Terengganu bagi memenangi serta meraih sokongan dalam PRU Ke-13 akan datang.

Majlis jamuan tersebut anjuran Badan Perhubungan PAS Terengganu dengan kerjasama Lajnah Perpaduan Nasional negeri Terengganu dan Kelab Penyokong PAS.

Maknanya, Umno-BN yang masa kini mendabik dada dengan slogan 1Malaysia itu sebenarnya suatu pembohongan yang amat nyata.

Di hadapan orang Cina, orang India dan kaum-kaum lain muka Umno-BN ‘manis-manis’ belaka tetapi di sebalik itu, mukanya ‘masam mencuka’ serta berniat tidak baik demi kepentingan politik murahannya.

0 comments:

 
Powered By Blogger | Original Design By Far East Technologies | Modified By iEn © 2008 | Resolution: 1024x768px | Best View: Firefox | Top