Isu hak dan ketidaksamarataan sering kali berlaku dan terus berlaku serta telah menjadi amalan kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu sejak dari ‘DULU, KINI dan SELAMANYA’.
Yang menjadi mangsa amalan diskriminasi pemimpin Umno-BN tersebut ialah rakyat yang mungkin tidak sehaluan dengan parti pemerintah.
‘Dan Sebenarnya’…dalam negara yang mengamalkan konsep demokrasi tidak sepatutnya berlaku lagi amalan-amalan ‘kuno’ dan ‘jakun’ seperti itu.
Jika itu terus menjadi amalan serta sikap pemimpin-pemimpin Umno-BN terutama di Terengganu Darul Iman dan bukan lagi Terengganu Hadhari sangat malanglah kita.
Ini kerana, amalan ‘primitif’ seumpama itu tidak harus lagi wujud kerana dunia sudah maju dan maklumat kini berada di hujung jari sahaja.
Justeru itu, Awang teringatkan kata-kata serta ungkapan dari salah seorang pimpinan tertinggi PAS di peringkat pusat yang mengetuai Dewan Ulama’.
Dan beliau juga merupakan pimpinan parti di Terengganu yang menjawat jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu.
Beliau ialah Dato’ Harun Taib tetapi kini sedang ‘berehat’ buat seketika sambil menerima rawatan susulan akibat ‘serangan’ penyakit minus-stroke yang ringan sahaja.
Awang doakan semoga Ustaz Harun cepat sembuh dan meneruskan perjuangan menentang kebobrokan dasar Umno-BN sepertimana ketika usia masih muda dahulunya.
Ustaz Harun pernah berkata rakyat terutama di kalangan ahli-ahli PAS dan para penyokongnya telah menghadapi kezaliman dari Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, kezaliman dan ketidaksamarataan oleh tindakan Umno dan kerajaan BN Terengganu berlaku teruk dari tahun 2004 hingga Mac tahun 2008.
Waktu itu, jika tidak silap Awang di zaman pemerintahan Dato’ Seri Idris Jusoh yang menjadi ‘kepala bapak’ atau Menteri Besar Terengganu ini.
Oleh itu, kata Ustaz Harun kerajaan yang dipimpin oleh Menteri Besar Dato’ Ahmad Said ini diharapkan dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi, kesan dari tindakan yang rakus kerajaan penggal lalu itu.
“Kami (PAS) harap kerajaan baru (Ahmad) ini dapat membantu orang-orang kami, kami (PAS) ada cara tersendiri untuk membebaskan kemiskinan iaitu dengan memberikan tanah kepada para petani.
“kami (PAS) menyediakan tapak-tapak rumah kepada orang-orang miskin, orang yang tidak ada tapak rumah, ada yang sudah dilulus, ada yang sudah dibayar, tetapi tindakan rakus kerajaan negeri 2004 – 2008 telah merampas semua sekali,” jelasnya.
Katanya, apa salah jika Menteri Besar serta barisan Exconya dan pegawai tertinggi kerajaan negeri membantu orang-orang miskin dikembalikan hak masing-masing.
“Menyemak semula segala keputusan yang telah lalu (zaman Idris) itu. Apa salahnya, itu rakyat kita (Terengganu).
“Inilah sebabnya tiap-tiap tahun (kita) bercakap, basmi kemiskinan, basmi kemiskinan, kenapa tak dapat (membasmi kemiskinan) kerana tidak sampai kepada sasaran,”tegasnya.
Dato’ Harun berkata jika kerajaan negeri mempunyai perancangan yang baik PAS akan menyokong demi keadilan dan hak kepada yang berhak.
“Jika ada sesuatu agenda yang baik, kita (PAS) harap Yang Amat Berhormat (MB) dapat teruskan, terutama sekali untuk mengembalikan dan mengujudkan keadilan,”ujarnya.
Namun begitu, katanya segala usaha tersebut mestilah dihadapi dengan tenang, gigih dan bersungguh-sungguh.
Semoga dengan kata-kata dan semangat beliau itu rakyat mudah faham dan boleh buat perubahan jika tiba waktunya, Insya’Allah.
0 comments:
Catat Ulasan